Penyertaan Staf PKTAAB Meriahkan Sambutan Hari Pekerja 2026 Bersama Kontinjen USM
May 01, 2026
February 23 2026
Kanser hati merupakan antara kanser yang paling berbahaya dan mencabar untuk dirawat. Di peringkat global, penyakit ini sering dikesan apabila sudah berada pada tahap lewat, menjadikan pilihan rawatan terhad dan kurang berkesan. Walaupun pelbagai pendekatan rawatan seperti pembedahan, kemoterapi dan terapi sasaran telah diperkenalkan, ramai pesakit masih berdepan masalah kanser berulang serta sel kanser yang menjadi kebal terhadap rawatan. Keadaan ini menunjukkan bahawa rawatan sedia ada masih belum mencukupi, sekali gus mendorong para saintis untuk memahami kanser dari sudut yang lebih asas, iaitu di peringkat gen dan sel.
Dalam usaha ini, teknologi suntingan gen yang dikenali sebagai CRISPR yang digunakan bersama protein dCas9 (dead Cas9) muncul sebagai satu terobosan penting dalam dunia sains bioperubatan. CRISPR pada asasnya ialah satu sistem yang membolehkan saintis mengenal pasti lokasi gen tertentu dengan sangat tepat menggunakan “pemandu” RNA. Biasanya ia digabungkan bersama protein Cas9, berfungsi sebagai “gunting” yang memotong DNA pada gen sasaran tersebut. Dalam satu kajian tempatan yang telah dijalankan, pendekatan pemotongan DNA tidak digunakan kerana matlamatnya adalah untuk mengawal tahap aktiviti gen dan bukan untuk mengubah kod gen secara kekal. Oleh itu, dCas9, iaitu versi Cas9 yang telah dinyahaktifkan digunakan di mana ia bertindak sebagai “pembawa” domain pengawal gen ke lokasi sasaran untuk mengurangkan (knockdown) atau meningkatkan (overexpression) ekspresi gen. Pendekatan ini bukan sahaja lebih selamat, malah mengurangkan risiko kesan sampingan seperti mutasi tidak dijangka atau sasaran tersasar. Gabungan kedua-duanya membolehkan gen tertentu dikawal dengan lebih bersasar, seolah-olah mengawal suis gen dari dalam sistem biologi itu sendiri.
Dalam konteks kanser hati, salah satu gen yang sering menarik perhatian penyelidik ialah SIRT1. Gen ini berperanan penting dalam pelbagai proses asas sel termasuk metabolisme tenaga, pembahagian sel, mekanisme pertahanan sel dan tindak balas terhadap tekanan. Dalam banyak kajian terdahulu, SIRT1 didapati berada pada paras yang tinggi dalam sel kanser hati dan dikaitkan dengan pertumbuhan tumor yang lebih agresif serta ketahanan terhadap rawatan. Namun begitu, peranan SIRT1 tidak sentiasa konsisten. Dalam sesetengah keadaan dan jenis kanser lain, gen ini dilaporkan memberi kesan yang berbeza, malah ada kalanya bertindak sebagai pelindung sel. Percanggahan inilah yang menimbulkan persoalan penting: apakah peranan sebenar SIRT1 dalam kanser hati?
Bagi menjawab persoalan ini, kajian berkenaan menggunakan pendekatan CRISPR/dCas9 untuk mengkaji peranan gen SIRT1 secara lebih terkawal dan sistematik. Sel kanser hati manusia yang dikenali sebagai HepG2 digunakan sebagai model kerana sifatnya yang stabil dan menyerupai ciri-ciri sel kanser hati sebenar. Melalui sistem CRISPR/dCas9, penyelidik membangunkan dua jenis sel HepG2 yang berbeza: satu kumpulan dengan ekspresi gen SIRT1 diperlahankan dan satu lagi dengan ekspresi gen tersebut ditingkatkan.
Pendekatan ini penting kerana ia membolehkan kesan perubahan ekpresi gen dikaji secara sistematik. Dalam kajian ini, CRISPR digunakan untuk menentukan lokasi gen SIRT1, manakala dCas9 bertindak sebagai platform pengikat DNA yang membawa domain pengawal gen. Bagi menghasilkan knockdown, dCas9 digabungkan dengan domain penindas KRAB, manakala bagi menghasilkan overexpression, dCas9 digabungkan dengan domain pengaktif VP64. Dengan kata lain, penyelidik dapat mengawal ekspresi SIRT1 dan memerhati bagaimana perubahan tersebut mempengaruhi tingkah laku sel kanser.
Hasil kajian menunjukkan bahawa sistem CRISPR/dCas9 berjaya mengubah tahap ekspresi gen SIRT1 seperti yang dirancang. Ini membuktikan bahawa pendekatan tersebut stabil dan sesuai digunakan untuk menghasilkan model sel bagi kajian jangka panjang. Walaupun kajian ini belum melibatkan pesakit secara langsung, pencapaiannya menyediakan asas yang kukuh untuk memahami peranan SIRT1 dengan lebih mendalam.
Kepentingan kajian ini terletak pada pembinaan model sel yang boleh dikawal. Dalam penyelidikan kanser, model sebegini sangat diperlukan kerana perkembangan kanser melibatkan interaksi kompleks antara pelbagai gen dan laluan biologi. Dengan adanya sel yang mempunyai tahap ekspresi SIRT1 yang berbeza, penyelidik boleh mengkaji bagaimana gen ini mempengaruhi gen lain, laluan isyarat sel, serta mekanisme yang terlibat dalam rintangan rawatan dan kanser berulang.
Dari sudut masa depan rawatan, teknologi CRISPR/dCas9 membawa harapan yang besar dalam pembangunan terapi yang lebih spesifik. Walaupun penggunaannya dalam rawatan manusia masih memerlukan kajian keselamatan dan etika yang menyeluruh, pendekatan ini selari dengan konsep perubatan tepat dan diperibadikan.
Kesimpulannya, kajian ini membuktikan bahawa teknologi CRISPR/dCas9 merupakan satu platform penting dalam usaha memahami dan melawan kanser hati. Dengan membolehkan gen seperti SIRT1 dikaji secara terkawal melalui pendekatan knockdown dan overexpression, penyelidik kini mempunyai asas yang kukuh untuk meneroka mekanisme kanser dengan lebih mendalam. Walaupun perjalanan ke arah rawatan klinikal masih panjang, setiap langkah kecil di makmal membawa sinar harapan yang besar kepada pesakit pada masa hadapan, dan CRISPR/dCas9 muncul sebagai antara pendekatan yang berpotensi dalam landskap perubatan moden.
Rujukan: Zulkifli ND, Yap SH, S, Theva Das K, Zulkifle N (2024). Establishment of CRISPR/Cas9-Mediated SIRT1 Knockdown and Overexpression in HepG2 Cells. Malaysian Journal of Biochemistry and Molecular Biology. 2024-67.