AMDI Story

SAMBUTAN HARI JURURAWAT SEDUNIA PERINGKAT PPUSMB DISAMBUT MERIAH

Published : 16 June 2025

SAMBUTAN HARI JURURAWAT SEDUNIA PERINGKAT PPUSMB 2025
PUSAT PERUBATAN USM BERTAM, May 16 2025 -

BERTAM, 16 Mei 2025 - Bagi menghargai jasa dan bakti jururawat, Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) mengadakan Sambutan Hari Jururawat Sedunia bersama warga staf PPUSMB, Pusat Sejahtera dan Transkrian pada hari ini.

Photo By NORIZAN ISHAK
SAMBUTAN HARI JURURAWAT SEDUNIA PERINGKAT PPUSMB 2025


Sambutan Hari Jururawat ini diadakan di Lobi PPUSMB bermula pada jam 08.30 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Pn Sharidah Shaari selaku Ketua Program Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat PPUSMB. Seterusnya, bacaan ikrar jururawat dan tayangan multimedia bersempena dengan Sambutan Hari Jururawat ini. Kemuncak kepada sambutan ini adalah ucapan daripada Pengarah IPPT/PPUSMB, Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin dan seterusnya pelancaran Dashboard Nursing Information System (NIS) serta pelancaran buku Polisi dan Prosedur Operasi Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan Edisi 2025. 

Photo By NORIZAN ISHAK
SAMBUTAN HARI JURURAWAT SEDUNIA PERINGKAT PPUSMB 2025


Dalam ucapannya, beliau memberikan penekanan kepada para jururawat untuk terus berusaha dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada pesakit di PPUSMB. 
“Kita perlu memahami bahawa jururawat bukan hanya penjaga kesihatan fizikal, mereka adalah barisan utama yang menyambut pesakit, menjadi tempat pesakit meluahkan rasa dan yang berjuang bersama pesakit dalam detik-detik yang mencabar. Mereka adalah tulang belakang sistem kesihatan negara khasnya”, katanya.




Tema sambutan Hari Jururawat Sedunia pada tahun ini adalah ‘Our Nurses: Our Future. Caring For Nurses Strengthens Economies’ di mana sambutan ini secara rasminya akan disambut serentak di seluruh dunia pada 12 Mei pada setiap tahun.
Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian Anugerah Jururawat Cemerlang, diikuti dengan penyampaian Sijil Penghargaan Pengarah (Akademik, Komuniti, Sukan, dan Penyelidikan) serta penyampaian QR code dan kek kepada setiap wad/unit/klinik di PPUSMB.

Photo By NORIZAN ISHAK
SAMBUTAN HARI JURURAWAT SEDUNIA PERINGKAT PPUSMB 2025

Hari Jururawat Sedunia dianjurkan bertujuan untuk mengiktiraf dan memberikan penghormatan kepada para jururawat di seluruh dunia yang telah menabur jasa dengan memberikan penjagaan dan perkhidmatan berkualiti kepada pesakit di samping memperingati Florence Nightingale, tokoh pengasas kejururawatan moden, sempena hari kelahiran beliau pada 12 Mei.
Melalui majlis ini juga berperanan dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain terutamanya antara jururawat yang berbilang kaum dan agama, barisan kepimpinan universiti serta warga staf di PPUSMB.
Para tetamu turut disajikan dengan reruai jualan yang menyajikan pelbagai jenis jualan makanan, minuman dan produk  seperti  aiskrim, bouquet, pastry, kopi gantung, rojak buah dan laksa, camera 360, dan aksesoris.
Hadir sama memeriahkan sambutan adalah Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Ahmad Zaimi; Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian, Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim; Timbalan Pengarah Pembangunan Projek Khas, Prof. Madya Dr. Siti Noor Fazliah Mohd Noor; Ketua Bahagian Perkhidmatan Perubatan dan Pembedahan, Prof. Madya Dr. Muhamad Yusri Musa; Ketua Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan jururawat, Puan Law Kim Sooi; Kakitangan Perubatan dan Pengurusan PPUSMB.

Teks disediakan oleh:  Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh:  Pn Sharidah Shaari 
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
16 Mei 2025

Scroll to Top