Announcement

IPPT DAN PPUSMB SENADAKAN TEKAD DAN HALA TUJU PERANCANGAN STRATEGIK MELALUI PERUTUSAN PENGARAH 2025

Published : 06 March 2025

MAJLIS PERUTUSAN PENGARAH 2025
DEWAN KULIAH A SAINS@BERTAM, February 27 2025 -



KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 27 Februari 2025: “BERSAMA MEMACU KECEMERLANGAN BERIMPAK” tema utama perutusan sempena Majlis Perutusan Pengarah 2025 pada hari ini bertujuan untuk menyampaikan perkembangan terkini IPPT dan PPUSMB, strategi serta amanat daripada Pengarah kepada semua warga staf bagi meletakkan sasaran dalam mendepani cabaran semasa sebagai sebuah institusi.

MAJLIS PERUTUSAN PENGARAH 2025


Majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah A, Blok C, Sains@Bertam ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Mohsin Sirun dan seterusnya ucapan Perutusan Pengarah oleh YBhg. Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin selaku Pengarah Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) membentangkan pencapaian IPPT dan PPUSMB sepanjang tahun 2024, memaklumkan hala tuju institut serta menggariskan perancangan strategik bagi tahun 2025.

Bakiah Shaharuddin dalam perutusannya berkata, IPPT dan PPUSMB kini telah dikenali ramai dan menjadi tumpuan. Sehubungan dengan itu, pelbagai perancangan pembangunan fizikal, inisiatif atau program telah dirangka dan bakal dilaksanakan tahun ini bagi menampung keperluan seiring dengan perkembangan institusi ini.

MAJLIS PERUTUSAN PENGARAH 202


Antara topik utama yang ditekankan adalah mengenai Tujuh (7) Fokus Utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)  Malaysia selaras dengan amanat dari Naib Canselor USM. Antaranya adalah Penyediaan Bakat Terbaik Negara; Kewibawaan Akademia dan Warga Kampus; Pemindahan dan Perkongsian Ilmu; Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi; Governan dan Kepimpinan; Kemampanan Kewangan IPPT; serta Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus.

Bakiah Shaharuddin turut menyeru kesemua staf IPPT dan PPUSMB untuk mengamalkan kebersamaan serta kesatuan yang tinggi kerana pasukan yang dapat berkerja bersama-sama dengan harmoni adalah seperti mesin yang ditala dengan halus di mana setiap bahagian memainkan peranannya, barulah mesin dapat menjalankan fungsinya sekali gus dapat memupuk persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan dan kejayaan bersesuaian dengan peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Selain itu, perlu diberi perhatian adalah dalam aspek kerja berpasukan yang berkesan. Ini menunjukkan bahawa, semua staf perlu bersedia untuk mendengar, berkompromi, dan mengetepikan ego peribadi untuk kebaikan yang lebih besar kerana kerja berpasukan sebenarnya bukan soal pengiktirafan individu, akan tetapi ia berkaitan kejayaan bersama yang dibina secara kolektif.

Dalam konteks IPPT dan PPUSMB pada tahun 2025, strategi ini perlu dititikberatkan dalam usaha untuk membawa organisasi yang disayangi ke peringkat yang tertinggi, bukan sahaja dalam negara malah ke peringkat antarabangsa.

“Dengan kejayaan pasukan pimpinan tertinggi USM membawa kertas kerja naik taraf IPPT kepada Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser (PPKPK), kita sekarang berada di bawah mikroskop dan diperhatikan oleh banyak mata, jadi beban ini perlu digalas bersama-sama”, ujar beliau.

Mengakhiri ucapan, beliau menyeru supaya semua staf berganding bahu kekalkan momentum dan pandangan positif terhadap USM@BERTAM, menjaga nama baik institusi, saling ringan tulang dan tidak berkira, mengamalkan pendekatan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk kemaslahatan semua, peka dengan perkembangan institusi, serta mencari ruang untuk menyumbang dan bekerja secara kolektif.

Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadhan yang disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah IPPT dan PPUSMB bersama-sama dengan Profesor Madya Dr. Hasni Arsad dan Ustaz Mohd Mohsin Sirun selaku Pengerusi dan Penyelaras Program Ihya’ Ramadhan 2025.

MAJLIS PERUTUSAN PENGARAH 2025



Turut hadir memeriahkan majlis adalah Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, Timbalan Pengarah (Klinikal, Kelestarian dan Piawaian); Profesor Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi, Timbalan Pengarah (Akademik dan Antarabangsa); Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan); Profesor Madya Dr. Siti Noor Fazliah Mohd Noor, Timbalan Pengarah (Pembangunan Projek Khas); Ketua-ketua Jabatan; Pegawai-pegawai Utama IPPT dan PPUSMB; warga kerja IPPT dan PPUSMB dan  warga pelajar IPPT. Majlis turut dipancarkan secara maya melalui platform Facebook.

 

Teks disediakan oleh:  Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Siti Meszaida Mohd Ehsan
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
27 Februari 2025

 

 


Scroll to Top