
Image 1, Bengkel Pemurnian Dokumen Program Sarjana Sains (T&CM), Kompleks Penyelidikan Haiwan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia
Jabatan Toksikologi, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), dengan kerjasama Bahagian Akademik dan Antarabangsa IPPT, telah menganjurkan Bengkel Pemurnian Dokumen Program Baharu Sarjana Sains dalam Perubatan Tradisional dan Komplementari pada 6 hingga 7 Mei 2025, bertempat di Kompleks Penyelidikan Haiwan, IPPT. Selain penyertaan penuh daripada ahli akademik Jabatan Toksikologi, bengkel ini turut disertai oleh dua orang panel jemputan iaitu Dr. Nurulisa Zulkifle dari Jabatan Sains Bioperubatan dan Dr. Eva Nabiha Zamri dari Jabatan Kesihatan Komuniti.
Penganjuran bengkel ini bertujuan memperkemas dan menstruktur semula dokumen kurikulum selaras dengan keperluan Kerangka Kelayakan Malaysia versi 2.0 (Malaysian Qualifications Framework, MQF 2.0, 2024). Berdasarkan garis panduan terbaharu oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), setiap Penyedia Pendidikan Tinggi di negara ini diwajibkan mengintegrasikan dua elemen utama dalam hasil pembelajaran dan penilaian, iaitu Kompetensi Kemampanan (Sustainability Competencies, SC) dan Pendidikan Berasaskan Nilai (Value-Based Education, VBE).
Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (Education for Sustainable Development, ESD) bertujuan untuk membekalkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran, nilai, dan sikap yang diperlukan bagi menangani cabaran global masa kini. Matlamat ini direalisasikan melalui integrasi SC ke dalam lima kluster hasil pembelajaran utama dalam kurikulum, seperti yang digariskan dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) 2.0 (2024).
Selari dengan agenda global untuk pembangunan mampan, satu lagi komponen penting yang diberi perhatian ialah pemetaan kursus kepada Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG). Pemetaan ini membolehkan program pengajian dikenal pasti menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada SDG tertentu, sekali gus memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyokong agenda pembangunan lestari peringkat antarabangsa.
Sementara itu, VBE pula memberi penekanan kepada pembangunan nilai moral dan etika dalam kalangan pelajar. Pendekatan ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi) yang menekankan pembentukan graduan seimbang dan holistik—iaitu individu yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga beretika, berprinsip dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.
Sehubungan itu, Penyedia Pendidikan Tinggi digalakkan untuk menyepadukan kedua-dua elemen—kompetensi kemampanan dan nilai teras—ke dalam peringkat kursus melalui Hasil Pembelajaran Kursus (Course Learning Outcomes, CLO), yang seterusnya menyumbang secara signifikan kepada pencapaian Hasil Pembelajaran Program (Program Learning Outcomes, PLO) secara menyeluruh. Pemetaan SDG juga perlu dijalankan pada peringkat kursus dan program.
Melalui sesi intensif yang melibatkan perbincangan berkumpulan dan semakan silang, penerapan kedua-dua elemen penting ini dalam Hasil Pembelajaran Kursus dan pemetaan SDG bagi program Sarjana Sains T&CM telah dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Bengkel dimulakan dengan pendaftaran peserta seawal jam 8.30 pagi, diikuti ucapan aluan oleh Prof. Madya Dr. Eshaifol Azam Omar, selaku Ketua Program Sarjana Sains T&CM. Seterusnya, peserta diberikan taklimat menyeluruh mengenai keperluan MQF 2.0 (2024) oleh Dr. Siti Nazmin Saifuddin, yang memberi penerangan tentang SC dan VBE, penerapan dan pemetaan kepada hasil pembelajaran, pemetaan SDG, serta pelaksanaannya dalam kursus-kursus yang ditawarkan.
Disediakan oleh Dr Siti Nazmin Saifuddin dan PM Dr Eshaifol Azam Omar