Research On The Go

Kunjungan Susulan bagi Kolaborasi Penyelidikan antara IPPT dan Yayasan Restu Wilayah Utara

Published : 25 May 2025

Kolaborasi penyelidikan antara IPPT dan Yayasan Restu Wilayah Utara
YAYASAN RESTU WILAYAH UTARA, May 14 2025 -

BUTTERWORTH, 14 MEI 2025: Lawatan susulan ini merupakan kunjungan kedua yang diketuai oleh penyelidik utama, Dr. Noor Mastura Mohd Mujar, bagi memperkenalkan pelajar PhD merangkap pembantu penyelidik iaitu Cik Syahmi Afiqah, yang turut diselia bersama Dr. Mohd Afifuddin dan Dr. Rohayu Hami. Turut hadir dalam sesi perbincangan adalah Encik Anuar Omar, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Restu, bersama Saudara Zul Arham, penulis khat, yang telah memberikan penerangan asas mengenai seni kaligrafi Islam serta sesi demonstrasi penulisan khat.

Kunjungan kali ini memberi tumpuan kepada pembangunan modul intervensi bertajuk “Kesan Penyalinan Kaligrafi Ayat Al-Quran sebagai Terapi Sokongan bagi Mengatasi Risiko Dementia dalam Kalangan Warga Tua”. Modul ini dibangunkan berdasarkan tiga tahap keupayaan iaitu permulaan, sederhana, dan lancar yang dibina mengikut kesesuaian warga tua. Selain aktiviti penyalinan ayat-ayat Al-Quran terpilih, modul ini turut merangkumi terjemahan ayat serta sokongan daripada hadis bagi meningkatkan kemahiran menulis, membaca dan mengingat warga tua. Modul ini kemudiannya akan digunakan dalam program intervensi “Bengkel Kaligrafi Sejahtera” yang dijadualkan berlangsung selama tiga bulan di Kepala Batas.

Kajian ini penting dalam menilai kesan intervensi terhadap prestasi kognitif dan psikomotor peserta, serta menguji perubahan pada penanda biokimia seperti acetylcholine. Hasil akhir kajian dijangka dapat membangunkan satu model terapi tulisan berasaskan kaligrafi Islam (iCalli) yang berpotensi meningkatkan fungsi kognitif dan psikomotor dalam kalangan warga tua yang mengalami gangguan kognitif ringan (MCI). Kajian ini amat relevan dalam usaha Malaysia membuat persediaan menghadapi populasi menua menjelang tahun 2030, di samping menyumbang kepada pendekatan bukan farmakologi yang lestari dan mesra alam (SDG3), dalam penjagaan kesihatan warga tua yang berintegrasikan elemen seni dan sains.


SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
Scroll to Top