Expert Column

Tingkah-laku kanak-kanak : Apa yang perlu kita tahu?

Nur Arzuar Abdul Rahim
USM Expert :
NUR ARZUAR BIN ABDUL RAHIM - https://experts.usm.my/cvitae/arzuar


Published : 03 April 2024

Tingkahlaku kanak-kanak

Dr Nur Arzuar Abdul Rahim, Pensyarah Perubatan/Pakar Pediatrik, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia

Sebagai seorang pakar kanak-kanak saya berkesempatan bertemu dengan ramai kanak-kanak, remaja, ibu bapa , guru-guru , penjaga dan sebagainya. Isu masalah tingkah-laku kanak-kanak yang mencabar merupakan isu yang sering diadukan kepada saya. Bagi saya, sudah pastinya masalah tingkah-laku kanak-kanak ini suatu isu yang besar dan dibimbangi oleh mereka yang terlibat. Ia menjadi punca nombor satu tekanan kepada guru-guru yang menguruskan kanak-kanak di bilik darjah, juga kepada ibu bapa di rumah. Ia boleh menjadi penyebab guru berasa tidak bersemangat mengajar di kelas. Ibu bapa juga stress memikirkan apa yang akan dilakukan oleh anak-anak mereka. Dan faktor masalah tingkah-laku ini juga merupakan faktor kanak-kanak ini dirujuk kepada saya.

Tingkah laku kanak-kanak merujuk kepada tindak balas yang ditunjukkan oleh mereka dalam pelbagai situasi dan persekitaran. Perkembangan tingkah laku kanak-kanak merentasi sepanjang hayat daripada tingkah laku yang asas kepada tingkah laku yang lebih kompleks. Ia merangkumi corak tingkah laku yang tipikal atau tidak tipikal yang berkembang dari peringkat bayi sehingga remaja. Tingkah laku yang tidak tipikal atau kesukaran tingkah laku adalah suatu keadaan tingkah laku yang mengganggu kehidupan kanak-kanak itu sendiri atau orang lain.

 

Perkembangan tingkah laku ini penting kerana ia adalah asas interaksi sosial contohnya kemahiran tingkah laku sosial yang bersesuaian, kemahiran berkomunikasi dan memahami isyarat sosial atau “social cues”. Kemahiran ini penting bagi membentuk perhubungan sesama manusia dan kebolehan untuk mengambil bahagian atau “participating in social contexts”. Sebenarnya tingkah laku ini dipengaruhi oleh gabungan pelbagai faktor seperti , warisan genetik, ciri-ciri kongenital, persekitaran sosial, dinamik keluarga, konteks norma dan budaya di sekeliling dan pengalaman kanak-kanak itu sendiri yang memberi kesan kepada mereka. Kesan teknologi contohnya sosial media, “screen time” bersama smart phone juga telah mempengaruhi perkembangan kognitif dan sosial kanak-kanak. Ada kajian yang menunjukkan penggunaan sosial media dan smartphone tanpa kawalan telah meningkatkan kadar kemurungan, anxiety dan low confident dalam kalangan kanak-kanak terutamanya remaja. (1) Amat penting bagi kita untuk memahami dan mentafsir tingkah laku mereka untuk menyokong perkembangan mereka.

 

Antara tingkah laku yang tipikal bagi seorang kanak-kanak (1)

Tingkah laku meneroka :

Bayi dan kanak-kanak kecil sering meneroka semasa mereka sedang belajar tentang persekitaran mereka dan cuba berinteraksi dengan objek dan manusia.

Tingkah laku sosial:

Kanak-kanak belajar mengembangkan kemahiran sosial melalui interaksi dengan rakan sebaya, ahli keluarga atau orang yang lebih dewasa. Ini termasuk bermain dan bekerjasama, berkongsi , bergilir-gilir dan membina persahabatan

Tingkah laku ekspresi emosi:

Kanak-kanak meluahkan pelbagai emosi, termasuk kegembiraan, kesedihan, kemaharan, ketakutan atau kekecewaan. Kemahiran memahami dan menguruskan emosi mereka adalah penting dlam pembangunan sosial dan emosi.

Tingkah Laku mengikut peraturan (regulation) :

Apabila kanak-kanak makin membesar, mereka belajar mengawal tingkah laku dan dorongan (impulsive) mereka, mengikut peraturan dan norma yang telah ditetapkan oleh penjaga dan masyarakat.

Perkembangan bahasa :

Kemahiran bahasa memainkan peranan penting dalam komunikasi & interaksi sosial. Mereka belajar secara beransur-ansur kebolehan bahasa, perbendaharaan kata, tatabahasa dan kemahiran perbualan.

Kemahiran kognitif:

Tingkah laku kanak-kanak juga termasuk kebolehan kognitif seperti memori, fokus ( perhatian), penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Kemahiran ini akan berkembang secara progresif apabila kanak-kanak matang.

 

Bagi tingkah laku yang tidak tipikal, kanak-kanak mungkin menunjukkan perkembangan yang berbeza dari kanak-kanak lain (1)

Tingkah laku membangkang atau “agresif”:

Melakukan pencerobohan fizikal secara berterusan contohnya suka memukul, menggigit, menendang

Melakukan pencerobohan lisan contonya suka menjerit, memanggil nama, ugutan terhadap rakan sebaya, orang dewasa ataupun haiwan.

 

Kerap menentang atau bertengkar dengan orang dewasa, enggan mematuhi peraturan atau permintaan dengan sengaja.

 

Menentang orang lain yang lebih dewasa atau rakan sebaya mungkin menunjukkan  gangguan tingkah laku atau “conduct disorder”.

Tingkah laku “Destructiveness”

 

Suka memusnahkan harta benda dengan sengaja, seperti memecahkan mainan, merosakkan perabot, atau merosakkan barang-barang.

Tingkah laku suka berbohong & mencuri

Suka melakukan pembohongan, ketidakjujuran, atau penipuan yang berterusan.

Mencuri barang daripada ahli keluarga, rakan sebaya atau dari kedai.

Tingkah laku yang mengasingkan diri atau menyendiri dari sosial :

Menyendiri , enggan mengambil bahagian dalam aktiviti kumpulan

Sukar menjalinkan atau mengekalkan persahabatan.

 

Hiperaktif atau tidak dapat fokus :

Melakukan aktiviti secara berlebihan, impulsif dan kesukaran mengekalkan fokus atau perhatian, mungkin gejala ADHD atau gangguan berkaitan fokus/perhatian yang lain

Regresi perkembangan :

Regresi perkembangan yang telah progres seperti kencing malam atau betwetting selepas berjaya, hilang kemahiran yang diperolehi sebelum ini, mungkin memberi gambaran tekanan atau trauma yang menyebabkan regresi perkembangan

Tingkah laku berisiko atau memudaratkan diri sendiri :

Tingkah laku mencederakan diri sendiri, penyalahgunaan bahan terlarang atau terlibat dengan aktiviti berisiko

 

 

Sebenarnya, pembaca sekalian, saya percaya, anak-anak kita boleh bertingkah-laku baik jika mereka mahu melakukannya. Jarang kita berjumpa kanak-kanak yang benar-benar suka melakukan tingkah laku yang buruk, melainkan ada yang menghalang mereka berkelakuan baik. Ini kerana sepanjang proses perkembangan mereka, ada banyak kemahiran yang perlu mereka belajar contohnya kemahiran bersikap fleksible seperti bertoleransi menghadapi kekecewaan dan menyelesaikan masalah. Kita sebagai ibu bapa harus belajar mengenalpasti faktor tersebut. Kita sebagai ibu bapa juga, selalu juga menggunakan kaedah memberi ganjaran atau “reward” jika berkelakuan baik, memberikan hukuman jika tidak berkelakuan seperti yang dikehendaki. Semua ini pada kita, bertujuan untuk memberikan motivasi kepada anak-anak supaya berkelakuan baik. Kadang-kadang kaedah ini tidak berkesan kerana ada sesuatu yang mungkin menghalang mereka.

Anak-anak dapat belajar dengan terbaik “the best”, apabila mereka berada di zon dimana tugas yang diberikan tidak terlalu mudah dan tidaklah terlalu sukar.Di mana matlamat boleh dicapai dengan kesungguhan, keazaman dan semangat. Apakah peranan kita sebagai ibubapa atau penjaga sentiasa berasaskan perasaan ehsan, kebaikan dan murah hati? Atau kita lebih senang dengan sikap kritikal dan mewujudkan perasaan “tidak sukaanak-anak-anak pada kita dengan pelbagai alasan. Apa sebenarnya tabiat fikiran kita? Apa yang kita cari? Apakah kita mencari perkara yang boleh kita hargai dari anak-anak kita, atau sebenarnya kita sedang mencari kesilapan mereka?

Percayalah, perasaan ehsan dan kebaikan yang kita berikan pada anak-anak kita akan menyebabkan anak-anak berasa disayangi, bukan tingginya tingkat sijil akademia atau profesion kita, bukan segala kebimbangan dan kerisauan kita kepada mereka, bukan berapa banyak aktiviti kita bersama kita bersama mereka atau berapa kerap kita sering menyemak “homework” sekolah mereka.

Percayalah, ehsan dan kebaikan itulah “memori” anak-anak kita. Saya pasti, anda mesti ingat berapa ramai guru yang hadir dalam  perjalanan hidup kita dan mungkin menjadi agen merubah kehidupan anda atau padangan anda tentang dunia ini. Saya juga ada. Bayangkan bagaimana dunia kita akan berbeza tanpa kehadiran mereka dalam hidup kita.

Cukup dahulu sedikit motivasi tips ibu bapa dalam mendidik anak-anak

Conduct Disorder – Kecelaruan Tingkah laku

Di kesempatan dan peluang penulisan ini, saya ingin berkongsi kepada semua berkaitan satu keadaaan yang kita kenali sebagai Conduct Disorder ataupun Kecelaruan Tingkah laku. Ia merupakan masalah tingkah laku dan emosi yang boleh berlaku kepada kanak-kanak atau remaja. Mereka mempunyai corak tingkah laku seperti anti-sosial, suka melanggar hak orang lain atau kebiasaan setempat. Biasanya mereka mempamerkan pelbagai tingkah laku yang mengganggu, menceroboh, engkar, tidak mengendahkan peraturan atau takut pada orang.

Beberapa gejala berkaitan dengan “conduct disorder” ini termasuklah, tingkah laku agresif terhadap manusia atau haiwan. Mereka sering terlibat dengan buli, pergaduhan secara fizikal dan kejam terhadap haiwan. Mereka kurang empati atau tidak menyesal setelah menyakiti orang lain. Sifat impulsif dan kesukaran mengawal emosi menyebabkan mereka terdedah kepada aktiviti vandalisme, suka musnahkan harta benda, penipuan dan kecurian seperti suka berbohong, mencuri di kedai atau lebih teruk lagi pecah masuk rumah atau kenderaan. (3)

Tidak semestinya kanak-kanak yang menunjukkan tingkah laku ini mempunyai masalah tingkah laku. Melanggar peraturan, degil dan melawan adalah perkara biasa dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Walau bagaimana pun jika tingkah laku ini teruk, berterusan dan menjejaskan fungsi kanak-kanak tersebut dengan ketara atau menyebabkan kemudaratan kepada orang lain. Ini merupakan “red flag” untuk kanak-kanak tersebut berjumpa dengan profesional kesihatan untuk dinilai.

Perlu diingatkan masalah kecelaruan tingkah laku atau “conduct disorder” ini boleh menjadi serius kepada individu, keluarga dan sekeliling. Ia sering dikaitkan dengan masalah akademik, konflik dengan sekeliling, pelanggaran peraturan atau undang-undang, kesukaran membina hubungan sosial yang sihat atau lebih teruk lagi terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang. Intervensi awal amat penting untuk membantu mereka, supaya mereka dapat menyesuaikan dan membangunkan kemahiran mengawal tingkah laku. Terapi “cognitive behavioral therapy” – CBT dan “family therapy” amat berkesan, namun ia amat memerlukan sokongan dan bimbingan dari ibu bapa dan juga penjaga. (3)

Sebagai kesimpulannya, terdapat banyak jenis masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak dan faktor penyebab yang pelbagai. Antaranya mungkin berkaitan masalah pembelajaran, lewat perkembangan. Kadang-kadang kanak-kanak hanya bertindak- balas terhadap situasi yang sukar atau tekanan yang dihadapi di persekitaran mereka

 

Jika anda mengesyaki anak anda mempunyai corak tingkah-laku yang luar biasa atau tidak tipikal contohnya susah untuk tidur, tidur banyak, “moody” atau reaksi negatif pada perkara-perkara kecil, kemurungan, atau sering gelisah, mereka mungkin menyendiri, pencapaian akademik yang “down”, atau sukar untuk disiplin. Jika ada mula melihat gejala-gejala yang saya sebutkan ini, silalah berjumpa doktor untuk mendapatkan bantuan. Jadi, cuba lihat insan-insan di sekeliling anda. Ada tak sesiapa yang anda rasa perlukan bantuan? Boleh jadi andalah yang seharusnya menjadi jambatan untuk mereka melalui jalan hidup yang lebih sejahtera.

 

Buangkan prejudis dan hulurkan tangan…

 

RUJUKAN:


1.Child Behavior; https://childdevelopment.com.au/areas-of-concern/behaviour/. Retrieved 1 April 2024
2.Conduct Disorder; https://www.youtube.com/watch?v=GkgtDmCuMDg/ Retrieved 27 Mac 2024
3.Masalah Tingkah-laku kanak-kanak; http://www.myhealth.gov.my/kelakuantingkahlaku/; Myhealth Kementerian Kesihatan Malaysia / Retrieved 23 Mac 2024


SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
PDF
Scroll to Top