
MOU USM X JORDAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Jun 2025 – IPPT terus memperkukuh kerjasama antarabangsa menerusi Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi Penyelidikan (Research Collaboration Agreement, RCA) dengan Mutah University di Jordan. Majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan Kampus ini telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang mewakili Naib Canselor. Pada masa yang sama, satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jordan University of Science and Technology (JUST) serta satu RCA dengan The University of Jordan turut dimeterai.
Photo By MPRC
MOU USM X JORDAN
Menurut Shaiful Bahari, MoU dan RCA ini mencerminkan komitmen bersama institusi pengajian tinggi dari dua negara untuk meneroka potensi kolaborasi dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan komuniti.
“Kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam usaha untuk mewujudkan hubungan akademik yang menyeluruh dan inklusif serta memberi manfaat bukan sahaja kepada pensyarah dan pelajar, malah kepada golongan masyarakat khususnya pelanggan yang berurusan dengan institusi kami,” katanya. Perjanjian ini juga bertujuan untuk menggalakkan mobiliti staf akademik dan pelajar, di samping membuka peluang kepada projek penyelidikan bersama yang berimpak tinggi.
Beliau berkata, kolaborasi antara USM dan tiga universiti tersebut telahpun membuahkan hasil awal yang memberangsangkan apabila enam projek penyelidikan menerima pembiayaan menerusi Dana Geran Pemangkin Malaysia–Jordan (Malaysia–Jordan Bridging Grants).
Photo By MPRC
MOU USM X JORDAN
Projek di bawah IPPT ialah 'Research Collaboration on Deciphering the Mechanisms of Flavonoids Against Breast Cancer Through Integrated Metabolomics and Network Pharmacology' – (kajian integratif menggunakan pendekatan metabolomik dan farmakologi rangkaian antara USM dan Mutah University). Projek ini diterajui oleh Prof Madya ChM. Ts. Dr Lim Vuanghao.
Shaiful Bahari turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha sama ini dan berharap agar perjanjian yang dimeterai menjadi asas kepada kejayaan bersama dalam bidang akademik dan inovasi masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Malaysia Jordan yang mewakili Duta Besar Malaysia ke Jordan dan Palestin, Profesor Madya Dr. Radzuwan Ab Rashid dalam ucapannya berkata, kolaborasi ini dimeterai melalui inisiatif Geran Pemangkin Malaysia - Jordan menerusi Education Malaysia Jordan (EMJ) yang telah diperkenalkan sejak tahun 2022 dan kini diteruskan dalam pusingan kedua bagi tahun 2024 sebagai usaha berterusan memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan antara Malaysia dan Jordan.
"Saya berharap agar kolaborasi antara USM dan ketiga-tiga universiti ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai penyelidik antara kedua-dua negara untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang lain pada masa akan datang.
"Semoga kerjasama ini memberi manfaat bersama kepada institusi pengajian masing-masing dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan penyelidikan serta mendorong ke arah pengantarabangsaan yang lebih efektif di samping jalinan persahabatan yang kukuh," katanya.
Photo By MPRC
MOU USM X JORDAN
Turut hadir dalam majlis secara maya ini ialah Naib Presiden JUST, Profesor Dr. Muna A. Abu-Dalo; Naib Presiden Hal Ehwal Kolej Sains, Mutah University, Profesor Dr. Amin Aqel; Dekan Penyelidikan Saintifik, The University of Jordan, Profesor Dr. Yaser Rayyan; Dekan, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Pengarah, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin; wakil dari Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan dan para penyelidik dari JUST, Mutah University, The University of Jordan dan USM.
Teks disediakan oleh: Cik Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Prof. Madya Ts. Chm. Dr. Lim Vuanghao
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
19 Jun 2025