Expert Column

Cakna…Elak Stigma Pesakit COVID-19!

Noorsuzana Mohd Shariff


Published : 18 November 2021

Dr. Noorsuzana Mohd Shariff
Sedar tidak sedar, telah hampir dua tahun seluruh masyarakat dunia mengharungi episod kehidupan dengan kehadiran pandemik virus SARS-CoV-2 atau lebih dikenali sebagai COVID-19. Sejak bermulanya pengisytiharan penyakit tularan udara ini sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 11 Mac 2020, berikutan kadar jangkitan yang tinggi dan kemampuannya merentas sempadan geografi, pelbagai reaksi dan corak penerimaan dapat disaksikan di seluruh pelusuk dunia.

Di awal penularan wabak ini, ia telah mencetuskan rasa panik dan ketakutan dalam masyarakat dunia sehingga memaksa beberapa keputusan drastik di ambil oleh pemimpin-pemimpin negara atas nasihat pakar-pakar kesihatan dalam usaha mengekang penularan penyakit ini. Antara tindakan tersebut ialah dengan membina hospital dalam kadar segera seperti mana yang dilakukan China, pembinaan pusat-pusat kuarantin sementara di serata negara, penutupan pintu-pintu masuk negara, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dalam negara, dan pengasingan pesakit-pesakit serta kontak rapat yang disyaki dijangkiti Covid-19. Kini, setelah lebih setahun, pandemik ini masih berlarutan dan masih belum berjaya ditangani sepenuhnya serta terus menghadirkan rasa takut dalam kalangan masyarakat. Rasa takut dijangkiti dan takut akan impak-impak tidak langsung sekiranya dijangkiti (seperti kehilangan sumber pendapatan dan risiko kematian) yang terhasil daripada kurangnya kefahaman tentang penyakit ini, secara tidak sedar menyumbang kepada pembentukan satu perilaku sosial yang tidak sihat yang disebut sebagai stigma sosial.

Apakah itu stigma sosial?

Stigma sosial dalam konteks kesihatan ditakrifkan sebagai perilaku atau sikap negatif dengan mengaitkan seseorang individu atau kumpulan dengan sesuatu penyakit tertentu. Ia secara langsung mengakibatkan sikap-sikap seperti melabel, stereotaip, mendiskriminasi, atau memulau individu-individu ini hanya kerana mereka mempunyai ciri-ciri yang boleh dikaitkan dengan penyakit tersebut. Stigma sosial berkaitan penyakit bukanlah perkara baru. Menurut kajian-kajian saintifik tempatan dan antarabangsa, stigma sosial turut direkodkan dialami oleh mereka yang dijangkiti penyakit-penyakit lain seperti batuk kering, HIV AIDS, penyakit kusta serta pesakit mental. Melihat kepada konteks pandemik Covid-19, pada awal tahun 2020 ketika mana penyakit ini banyak tertumpu di negara China, kekasaran secara verbal dan fizikal  terhadap masyarakat Asia terutama mereka yang berasal dari China atau mempunyai rupa paras seperti orang China yang tinggal di luar negara telah direkodkan di beberapa buah negara seperti Itali dan Amerika Syarikat.

Di Malaysia, contoh mudah stigma sosial dalam konteks tempatan dapat disaksikan ketika mana berlakunya penularan Covid-19 dalam kluster terbesar Jemaah Tabligh di Petaling Jaya pada awal tahun 2020. Ahli jemaah tabligh yang positif, ahli keluarga mereka, juga tidak kurang mereka yang berpenampilan seperti ahli tabligh sekalipun tidak menghadiri majlis tersebut menerima kecaman, diskriminasi dan diberi pandangan negatif masyarakat seolah-olah ia suatu jenayah.

Selain itu, tidak hanya pesakit Covid-19, golongan lain yang turut menerima impak stigma sosial adalah para petugas kesihatan barisan hadapan seperti para doktor dan jururawat, rakyat Malaysia yang pulang dari bermastautin dari luar negara serta ahli keluarga mereka. Terdapat beberapa kejadian telah dilaporkan dalam artikel-artikel berita dari negara-negara seperti India, Filipina, Australia dan tidak kurang negara kita Malaysia di mana terdapat kes petugas kesihatan dikasari dan didisriminasi dek kerana stigma yang semakin meningkat dalam masyarakat. Kesannya, ada antara mereka tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam dan juga tidak dibenarkan menghantar anak-anak mereka ke taska kerana masyarakat takut mereka akan menjadi punca jangkitan Covid-19.

Mengapa stigma terhadap Covid-19 terjadi?

Stigma boleh terjadi disebabkan oleh dua faktor utama; faktor intrinsik (individu) atau faktor ekstrinsik (persekitaran luaran).

Faktor intrinsik

Sudah menjadi lumrah manusia untuk berasa takut dan gelisah pada perkara yang tidak kita ketahui dan tidak dapat dikawal secara individu. Sifat virus SARS-CoV-2 yang merupakan virus baharu, misteri, mempunyai tahap keberjangkitan yang tinggi, kehadiran pesakit-pesakit Covid-19 tanpa simptom dan masih tiada penawar yang benar-benar terbukti berkesan amat mudah mengundang rasa takut dan persepsi negatif seseorang individu terhadap penyakit ini. Rasa takut dalaman ini akan lebih memuncak sekiranya individu terbabit mempunyai limitasi dari segi pendidikan atau kurang akses terhadap maklumat yang tepat serta terbabit kenal secara langsung ahli keluarga atau teman rapat yang pernah dijangkiti atau dikuarantin disebabkan oleh wabak ini. Pengalaman-pengalaman individu yang dibina sama ada secara pengalaman kendiri atau melalui pemerhatian ke atas orang-orang sekeliling ini dalam jangka masa panjang mampu mengakibatkan pembentukan stigma dalam diri seseorang.

Faktor Ekstrinsik

Stigma yang sedia ada pada seseorang seterusnya boleh dikukuhkan lagi dengan adanya unsur-unsur luar yang negatif yang menguatkan lagi kepercayaan atau persepsi negatif sedia ada.  Antara faktor luaran yang mampu menyuntik terjadinya stigma ialah seperti penyebaran berita-berita palsu di platform media sosial, penggunaan bahasa yang kurang sesuai dalam merujuk kepada pesakit Covid-19, faktor budaya tertentu serta sikap sambil lewa masyarakat dalam mematuhi prosedur-prosedur piawai pencegahan Covid-19 ketika berada di tempat awam.  Berita palsu yang disebarkan di saluran-saluran media sosial, contohnya penyebaran gambar-gambar pesakit Covid-19 yang bukan merupakan kejadian sebenar di Malaysia, gambar-gambar pusat kuarantin yang daif, menjadi antara cabaran besar kerajaan dalam mengawal stigma dalam masyarakat. Selain itu, sikap sambil lewa masyarakat seperti tidak memakai pelitup muka dengan betul, tidak menjaga penjarakan sosial, tidak mengendahkan arahan pengawasan dan pemerhatian di rumah (‘Home Surveillance Order’) bagi mereka yang mempunyai sejarah kaitan dengan pesakit Covid-19 menjadi antara faktor-faktor tambahan kepada rasa takut yang secara tidak langsung menjurus kepada sukarnya menghentikan stigma sosial.

Apakah kesan buruk stigma sosial dalam pencegahan COVID-19?

Kesan langsung stigma ialah perubahan sikap dan mengganggu proses rawatan dan pencegahan Covid-19 itu sendiri. Ia boleh menjurus kepada rasa takut yang keterlaluan, kemarahan dan sikap tidak bertoleransi kepada orang lain yang seterusnya mengakibatkan pesakit atau mereka yang memerlukan rawatan disisihkan dalam komuniti mereka sekalipun mereka telah sembuh dan disahkan negatif. Stigma sosial ini secara tidak langsung akan menyebabkan golongan yang sepatutnya tampil untuk saringan Covid-19 (seperti kontak rapat dan mereka yang dengan sejarah terdedah kepada pesakit Covid-19 positif) berasa enggan atau takut untuk tampil mendapatkan rawatan kerana tidak mahu status mereka diketahui oleh orang lain. Sikap merahsiakan sejarah perubatan ini seterusnya akan melambatkan proses rawatan, meningkatkan risiko penyebaran Covid-19 dalam komuniti dan boleh menjurus kepada peningkatan risiko hasil rawatan yang tidak baik dalam kalangan pesakit.  Di samping itu, stigma sosial yang keterlaluan sehingga boleh mengganggu aktiviti harian seseorang juga boleh memberi impak negatif kepada kesejahteraan psikologi dan kualiti hidup mereka yang terlibat.

Sebuah kajian terkini yang diterbitkan pada tahun 2021 yang dijalankan oleh Yuan et al. di China telah cuba mendalami perbezaan pengalaman stigma antara pesakit COVID-19 yang telah sembuh dan kumpulan kawalan yang tidak dijangkiti ketika wabak ini sedang memuncak di negara tersebut. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa pesakit COVID-19 yang telah sembuh melaporkan pengalaman stigma yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak dijangkiti penyakit ini. Pesakit-pesakit ini melaporkan bahawa dek kerana status bekas pesakit COVID-19, mereka telah disisihkan dalam masyarakat, mengalami kesan kewangan yang tidak stabil, dan rasa dimalukan. Lebih membimbangkan, kajian ini turut menunjukkan bahawa terdapat perkaitan antara pengalaman stigma pesakit-pesakit COVID-19 dengan simptom kemurungan.

Langkah-langkah menghentikan stigma sosial

Stigma sosial yang terbentuk boleh diatasi secara bersama sekiranya pelbagai pihak memainkan peranan masing-masing. Peranan ini boleh dimainkan bermula dari pihak pentadbiran atasan sehinggalah kepada setiap individu dalam masyarakat itu sendiri.

Peranan kerajaan dan media

Tidak dinafikan bahawa kerajaan Malaysia melalui usaha Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara telah menjalankan tugasan yang cemerlang dalam menyebarkan maklumat-maklumat terkini dan sahih berkenaan perkembangan Covid-19 di negara kita. Hal ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan keresahan masyarakat tentang keadaan semasa dan juga membantu sebagai peringatan harian agar rakyat terus patuh pada arahan-arahan semasa dalam menghadapi Covid-19. Peranan kerajaan ini seterusnya dapat diluaskan dalam menyediakan saluran khas di media-media penyiaran negara atau saluran sosial dalam mencakna masyarakat tentang pentingnya untuk menghentikan stigma negatif berkaitan Covid-19 dalam bahasa yang mudah difahami, penggunaan perkataan yang sesuai dan lebih santai.

 Peranan pakar-pakar kesihatan dan ilmuwan

Seterusnya, peranan mencakna masyarakat tentang Covid-19 juga turut dapat dimainkan oleh para pakar kesihatan dan ilmuwan. Keterbukaan dan perkongsian sisi sebenar pengalaman yang dialami oleh para petugas barisan hadapan ini kepada masyarakat umum dapat membantu mereka memahami sisi lain yang lebih positif tentang wabak ini. Sebagai contoh, disebalik ketakutan masyarakat terhadap ahli petugas kesihatan yang berpakaian lengkap sut pelindungan diri (PPE), masyarakat perlu dicakna tentang kesukaran dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh wira-wira negara ini dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Selain itu, perkongsian tulus daripada bekas-bekas pesakit atau ahli keluarga mereka tentang pengalaman peribadi mereka dalam menghadapi wabak ini juga turut dilihat dapat melahirkan rasa prihatin masyarakat sekaligus mengatasi stigma yang tidak tepat tentang golongan ini. Untuk ini, para ilmuwan sama ada dari bidang akademik, sosial atau agamawan boleh menjadi medium yang baik sama ada melalui tinta penulisan, kuliah-kuliah atau perkongsian video-video pengajaran di platform internet bagi menyampaikan maklumat-maklumat ini kepada golongan sasaran iaitu masyarakat.

Peranan masyarakat

Selain itu, setiap daripada kita turut mempunyai peranan untuk turut sama menghentikan kesan stigma sosial ini daripada berterusan. Masyarakat Malaysia perlu bijak menilai dan memilih saluran maklumat yang boleh dipercayai dan tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu atau yang diragui kesahihannya sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Masyarakat juga perlu memainkan peranan sebagai satu sumber sokongan yang kuat kepada pesakit dan mereka yang terlibat secara langsung dengan Covid-19 untuk terus kuat melawan penyakit ini dan berani untuk tampil melakukan saringan dan rawatan awal tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.  

Kesimpulan

Perang menghadapi Covid-19 masih belum selesai. Selain daripada ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal, ia turut dapat membentuk stigma sosial dalam masyarakat. Oleh itu, adalah penting untuk kita sama-sama cakna dan memainkan peranan masing-masing agar usaha kita dalam menangani impak Covid-19 ini dan normalisasi kehidupan pasca Covid-19 dapat dijalani secara lebih positif.

Penulis Artikel
Dr Noorsuzana Mohd Shariff
Afiliasi:
Kluster Sains Gaya Hidup, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia
Bidang kepakaran:
Kesihatan Masyarakat
PDF
Scroll to Top