Expert Column

RAWATAN TANPA UBAT: POTENSI TERAPI HAIWAN DAN ROBOTIK DALAM PENGURUSAN DEMENSIA DI MALAYSIA

Ts. Dr. Syamimi Shamsuddin
USM Expert :
SYAMIMI BINTI SHAMSUDDIN - https://experts.usm.my/cvitae/syamimi.s


Published : 15 April 2025

An elderly lady interacting with a robotic cat

Demensia atau nyanyuk merupakan penyakit yang semakin meningkat di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Ia bukan sekadar masalah ingatan tetapi melibatkan perubahan tingkah laku, kehilangan fungsi kognitif dan akhirnya memberi kesan besar kepada kualiti hidup pesakit serta penjaga mereka.


Selama ini, pendekatan rawatan lebih banyak bergantung kepada ubat-ubatan dan penjagaan asas. Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pendekatan terapi bukan farmakologi seperti terapi haiwan sebenar dan haiwan robotik telah mula diteroka sebagai kaedah untuk meningkatkan kesejahteraan emosi pesakit demensia.


Terapi Haiwan Sebenar: Sentuhan yang Mengubat Emosi

Terapi haiwan melibatkan interaksi antara pesakit dengan haiwan seperti kucing, arnab atau burung dalam suasana terkawal. Kajian menunjukkan terapi ini boleh:

  • Mengurangkan keresahan dan tekanan,
  • Merangsang komunikasi sosial, dan
  • Meningkatkan emosi positif dan kesejahteraan.


Pesakit demensia yang terlibat dalam aktiviti bersama haiwan cenderung menunjukkan lebih banyak reaksi, senyuman, dan kadangkala mula bercakap semula selepas lama mendiamkan diri. Hal ini kerana sentuhan fizikal dan kehadiran haiwan dapat merangsang hormon seperti serotonin dan dopamine, dua hormon yang penting dalam pengurusan emosi manusia.


Haiwan Robotik: Alternatif Teknologi yang Comel dan Mesra Pengguna

Namun, terapi haiwan sebenar bukanlah pilihan yang sesuai dan boleh diaplikasikan untuk semua. Sesetengah pesakit mungkin mengalami alahan, manakala pusat jagaan pula menghadapi kekangan untuk menjaga kebersihan dan faktor logistik haiwan tersebut.


Sebagai alternatif, robot berbentuk haiwan peliharaan seperti PARO (robot anak anjing laut dari Jepun) dan Joy For All Cat telah diperkenalkan. Robot-robot ini direka dengan kebolehan untuk bertindak balas kepada suara, sentuhan dan gerakan. Hal ini membolehkan pesakit merasa seolah-olah mereka berinteraksi dengan haiwan sebenar.



Photo By Internet source (https://www.wired.com/story/covid-19-robot-companions/)
PARO: the robotic seal

Photo By Photo By Internet source (https://joyforall.com/products/companion-cats) The Joy for All robotic cat


Kajian oleh Koh et al. (2021) menunjukkan bahawa robot ini bukan sahaja mampu mengurangkan simptom kemurungan, malah membantu merangsang komunikasi dalam kalangan pesakit warga emas [1].

 

Cabaran dalam Konteks Malaysia: Sensitiviti Budaya dan Akses

Di Malaysia, pendekatan terapi berasaskan robot berbentuk haiwan masih belum diguna pakai secara meluas. Walaupun beberapa kajian tempatan menunjukkan potensi besar dalam penggunaan robot haiwan untuk pesakit demensia [2][3], ia masih belum dilaksanakan dalam kebanyakan institusi kesihatan atau rumah jagaan.


Tambahan pula, majoriti penduduk Malaysia adalah beragama Islam, maka penggunaan robot berbentuk anjing, seperti yang biasa digunakan di negara Barat, kurang sesuai dari sudut budaya dan syariah. Oleh itu, rekaan robot yang lebih sensitif terhadap nilai tempatan, seperti berbentuk kucing atau arnab, adalah lebih sesuai untuk diperkenalkan dalam sistem kesihatan kita.


Kesimpulan
Walaupun di Malaysia pendekatan terapi haiwan dan robotik masih di peringkat awal, terdapat potensi besar untuk kaedah ini diteroka sepenuhnya. Ia boleh memainkan peranan penting dalam pengurusan demensia, khususnya jika disokong oleh reka bentuk yang mengambil kira konteks budaya, sensitiviti agama, dan kebolehcapaian teknologi kepada kumpulan sasar.


Salah satu cabaran utama ialah kos. Robot haiwan berkualiti tinggi seperti PARO masih berada dalam lingkungan harga yang tinggi dan tidak mudah diakses oleh kebanyakan institusi penjagaan atau individu. Justeru, pembangunan robot terapi yang lebih mesra pengguna, mesra budaya dan berpatutan dari segi kos perlu diberi perhatian oleh penyelidik dan jurutera robotik.


Masa depan pengurusan demensia tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada rawatan ubat-ubatan semata-mata. Pendekatan yang merangkumi kesejahteraan emosi dan interaksi sosial harus dijadikan sebahagian daripada ekosistem penjagaan warga emas. Dalam landskap penjagaan kesihatan yang semakin dipacu teknologi, terapi berbantukan haiwan, sama ada sebenar atau robotik, boleh menjadi pendekatan yang berteraskan kasih sayang dan diharapkan boleh membantu melambatkan kemerosotan fungsi otak dalam kalangan pesakit demensia.


Rujukan

[1] W. Q. Koh, F. X. H. Ang, and D. Casey, “Impacts of Low-Cost Robotic Pets for Older Adults and People with Dementia: Scoping Review,” JMIR Rehabil Assist Technol, vol. 8, no. 1, e25340, 2021. [Online]. Available: https://rehab.jmir.org/2021/1/e25340

[2] A. M. Lokman, N. Ismail, N. N. Nabila, F. Redzuan, A. A. Aziz and T. Tsuchiya, “Spiritual Therapeutic Robot for Elderly With Early Alzheimer’s Disease: A Design Guide Based on Gender,” Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences, vol. 18, no. Suppl 11, pp. 184–190, 2022. [Online]. Available: https://medic.upm.edu.my/upload/dokumen/2022072214192911_1184.pdf

[3] S. Shamsuddin, S. R. Kamat, H. A. S. Sunhaji and M. S. Ibrahim, “Can Animal Robot Improve Cognitive Level?,” Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences, vol. 20, no. Suppl 1, pp. 22–29, 2024. [Online]. Available: https://medic.upm.edu.my/upload/dokumen/202410220921224_0194.pdf



SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
Scroll to Top