Menderma darah adalah perbuatan memberi darah sendiri untuk kegunaan pesakit yang memerlukan. Pendermaan darah biasanya dilakukan secara septic dengan teknik yang betul oleh staf kesihatan yang bertauliah di Tabung Darah. Pendermaan darah juga kadangkala boleh dilakukan di luar Tabung Darah, seperti di pusat membeli belah, sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun di pejabat.
Namun tidak ramai yang tahu bahawa di sebalik setiap titis darah yang didermakan, tersembunyi sebuah keajaiban yang mampu menyelamatkan nyawa. Apa yang lebih bermakna daripada itu, penderma darah juga menerima ganjaran kesihatan yang luar biasa. Penulisan ini bertujuan untuk membuka mata masyarakat terhadap kelebihan menderma darah kepada penderma itu sendiri dan mengajak anda, pembaca budiman, untuk bersama kami dalam misi kemanusiaan yang penuh makna ini.
Mengikut data terkini, peratusan terkini penderma darah di Malaysia hanya mencatatkan 2.3 peratus berbanding kadar yang ditetapkan di peringkat antarabangsa iaitu 5 peratus. Pusat Darah Negara (PDN) mensasarkan 3.5 peratus rakyat Malaysia menjadi penderma darah menjelang 2030. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyahut seruan murni ini bagi memastikan kelestarian bekalan darah di seluruh negara.
1. Menderma Darah Menyihatkan Jantung Anda
Kajian menunjukkan bahawa pendermaan darah secara berkala boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok [1]. Bagaimana? Pendermaan darah membantu mengurangkan jumlah zat besi berlebihan dalam badan. Zat besi yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan oksidatif, yang seterusnya merosakkan dinding salur darah dan meningkatkan risiko penyakit jantung. Apabila seseorang menderma darah, tahap zat besi dalam badan dapat dikawal secara semula jadi — menjadikan pendermaan darah sebagai satu bentuk "penyucian dalaman".
2. Pendermaan Darah Menggalakkan Penghasilan Sel Darah Baharu
Setiap kali darah dikeluarkan dari tubuh, sumsum tulang akan segera bertindak menghasilkan sel darah merah baharu bagi menggantikan yang telah hilang. Proses ini membantu tubuh kekal aktif dan segar, seolah-olah badan anda menjalani satu bentuk "reset" semula jadi. Ini bermakna anda bukan sahaja membantu orang lain, tetapi juga memperbaharui sistem peredaran darah anda sendiri. Kajian terbaru dilakukakn oleh penyelidik dari Washington University pada tahun 2023 mendapati bahawa penderma darah berulang mempunyai kaitan dengan mutase gen DNMT3A yang bertanggungjawab terhadap sel yang menghasilkan sel darah baharu dan tiada kaitan dengan penyakit kanser darah.
3. Pemeriksaan Kesihatan Percuma Setiap Kali Menderma
Sebelum anda dibenarkan menderma darah, pemeriksaan kesihatan asas akan dilakukan, termasuk semakan tekanan darah, nadi dan tahap hemoglobin. Tambahan pula, darah anda juga akan diuji untuk mengesan penyakit berjangkit seperti Hepatitis B, Hepatitis C, HIV dan sifilis. Ini bermakna, anda menerima pemantauan kesihatan secara berkala tanpa sebarang kos, yang sekaligus membantu anda lebih peka terhadap keadaan kesihatan diri.
4. Mengurangkan Risiko Kanser
Beberapa kajian telah mencadangkan bahawa pendermaan darah boleh mengurangkan risiko beberapa jenis kanser yang berkaitan dengan kadar zat besi tinggi dalam badan termasuk kanser hati, paru-paru, dan limfoma [3]. Walaubagaimana pun, masih banyak lagi kajian yang dilakukan mengenai perkara ini. Kajian dari penyelidik Australia pula mendapati penderamaan darah tiada kaitan yang signifikan dengan risiko kanser dalam kalangan penderma darah tidak kerap berbanding penderma darah kerap [4]. Kajian dari penyelidik negara China mendapati penderma darah lelaki mendapat manfaat pengurangan risiko kanser yang lebih besar dari penderma darah perempuan [3].
5. Memberi Kesan Emosi yang Positif
Ramai penderma darah berkongsi bahawa mereka berasa lebih puas, tenang dan bersemangat selepas menderma. Kajian psikologi membuktikan bahawa aktiviti altruistic seperti membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan meningkatkan tahap hormon "feel-good" seperti endorfin dan oksitosin [5]. Menderma darah bukan sahaja menyihatkan badan, tetapi juga mententeramkan jiwa.
6. Mengukuhkan Rasa Kepedulian Komuniti
Setiap titis darah yang anda dermakan berpotensi menyelamatkan sehingga tiga nyawa. Dalam situasi kecemasan seperti kemalangan, pembedahan besar, kelahiran kritikal, atau penyakit seperti talasemia dan leukemia bekalan darah yang mencukupi boleh menjadi penentu antara hidup dan mati. Bayangkan jika ahli keluarga kita sendiri yang memerlukan darah, dan tiada stok tersedia. Inilah sebabnya pendermaan darah adalah tanggungjawab bersama, bukan pilihan semata-mata.
Akhir Kata: Anda Penyelamat yang Tidak Dikenali
Menderma darah bukan sekadar satu tindakan perubatan; ia adalah simbol kasih sayang terhadap insan lain, tanda kematangan sivik dan bukti kita masih punya empati. Di pusat-pusat darah seluruh negara, kami menyambut anda sebagai wira, bukan dengan pingat, tetapi dengan senyuman pesakit yang terselamat kerana anda.
Mari jadikan amalan menderma darah sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat dan penyayang. Kunjungilah Unit Perubatan Transfusi di Tingkat 2 Pusat Perubatan Transfusi (PPUSMB) atau hospital terdekat anda. Tangan anda mungkin kecil, tetapi kebaikannya cukup besar untuk mengubah dunia seseorang.
"Meraikan Sambutan ke-20 Hari Penderma Darah Sedunia: Terima Kasih, Penderma Darah! ".
14 Jun 2025
References:
1. Quee, F. A., Peffer, K., Ter Braake, A. D., & Van den Hurk, K. (2022). Cardiovascular Benefits for Blood Donors? A Systematic Review. Transfusion medicine reviews, 36(3), 143–151. https://doi.org/10.1016/j.tmrv.2022.04.004
2. Karpova D. (2023). Clonal hematopoiesis in frequent whole blood donors. Hematology. American Society of Hematology. Education Program, 2023(1), 299–304. https://doi.org/10.1182/hematology.2023000483
3. Su, S., Ma, T., Sun, Y., Guo, L., Su, X., Wang, W., Xie, X., Wang, L., Xing, L., Zhang, L., He, S., Yang, J., & Zhang, L. (2022). Association between Blood Donation and Malignant and Benign Tumour Risk: A Population-Based Study of 3.4 Million Participants in China. Journal of oncology, 2022, 7647431. https://doi.org/10.1155/2022/7647431.
4. Rahman MM, Hayen A, Olynyk JK, Cust AE, Irving DO, Karki S. Regular whole blood donation and gastrointestinal, breast, colorectal and haematological cancer risk among blood donors in Australia. Vox Sang. 2024; 119: 1234–1244.
5. Monteiro, T. H., Ferreira, Í. J. D. R., Junior, A. C. F. P., Chocair, H. S., & Ferreira, J. D. (2024). Barriers and motivations for blood donation: an integrative review. Hematology, transfusion and cell therapy, 46(3), 283–288. https://doi.org/10.1016/j.htct.2023.09.2366