Community

Dari Sisa ke Guna Semula: Memperkasa Komuniti melalui Kitar Semula

Published : 20 March 2025

Peserta Train-the-Trainer Projek Inovasi Lestari
DEWAN KULIAH A, SAINS@BERTAM, March 14 2025 -

Menangani Pencemaran melalui Inovasi Komuniti

Pembuangan sisa domestik seperti minyak masak terpakai dan fabrik lama semakin membimbangkan dan telah menjadi antara punca utama pencemaran alam sekitar. Minyak masak yang dibuang secara tidak terkawal boleh mencemarkan sumber air dan tanah, sementara industri fesyen menyumbang kepada 92 juta tan sisa tekstil setiap tahun, menjadikan sektor ini antara penyumbang utama jejak karbon global.

Menyedari cabaran ini, projek Inovasi Komuniti Lestari: Pemerkasaan Kitar Semula ke Arah Kesejahteraan Alam Sekitar dan Kualiti Hidup telah diperkenalkan dengan sokongan Seberang Perai Small Towns Grants Programme (Grant Award No: SPG/130). Projek ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap ekonomi kitaran, tetapi juga memberi ruang kepada komuniti untuk mengubah sisa menjadi produk bernilai tinggi yang boleh digunakan sendiri atau dijadikan sumber pendapatan tambahan.

Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG), projek ini menekankan:

SDG 8 - Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi: Meningkatkan potensi komuniti dalam menjana pendapatan melalui penghasilan produk kitar semula.

SDG 11 - Komuniti Mampan: Mewujudkan persekitaran lebih bersih dan lestari dengan mengurangkan pencemaran domestik.

SDG 12 - Penggunaan & Pengeluaran Bertanggungjawab: Menggalakkan kitar semula, mengurangkan pembaziran sumber, dan menggalakkan produk lestari.

SDG 14 - Pemeliharaan Alam Sekitar: Mengelakkan pencemaran sumber air akibat pembuangan minyak masak terpakai.


Bengkel Train the Trainer: Memperkasakan Komuniti melalui Kemahiran Kitar Semula

Sebagai langkah pertama dalam merealisasikan matlamat projek, bengkel Train the Trainer telah diadakan pada 14 Mac 2025 di Dewan Kuliah A, Sains@Bertam. Bengkel yang dikendalikan oleh Dr Siti Razila ini bertujuan melatih individu yang berminat untuk menjadi jurulatih komuniti dalam bidang kitar semula dan kesedaran alam sekitar, supaya ilmu ini dapat diperluaskan ke pelbagai kawasan.

Seramai 25 peserta telah mengambil bahagian dalam sesi hands-on, yang bermula dengan sesi penerangan mengenai bahan dan alatan, serta kaedah pembuatan sabun serbaguna daripada minyak masak terpakai. Setiap peserta menerima set peralatan dan bahan yang diperlukan bagi menjalankan aktiviti ini.

Seterusnya, peserta mengikuti sesi praktikal (hands-on), di mana mereka diberikan tunjuk ajar dan masa yang mencukupi untuk menghasilkan sabun sendiri. Sepanjang sesi, tenaga pengajar memberikan bimbingan serta tips untuk memastikan setiap peserta memahami teknik asas pembuatan sabun dengan betul. Bengkel ini berlangsung selama 1 jam 30 minit, diakhiri dengan sesi pembersihan dan perkongsian pengalaman daripada peserta. Semua peserta dapat membawa pulang sabun yang mereka hasilkan sebagai bukti kejayaan mereka dalam mengaplikasikan kemahiran ini.

Dengan latihan yang diberikan, peserta kini bersedia untuk melaksanakan bengkel mereka sendiri di komuniti masing-masing, memperluaskan impak projek ini secara berterusan.

Sertai Kami: Bersama Menyebarkan Ilmu dan Meningkatkan Taraf Hidup!

Kami percaya bahawa perubahan bermula dari komuniti, dan setiap individu mempunyai peranan dalam menjadikan kitar semula sebagai sebahagian daripada gaya hidup lestari. Bengkel ini membuka ruang kepada anda untuk mempelajari teknik pembuatan sabun serbaguna yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Selain dapat mengurangkan pencemaran, anda juga boleh mengurangkan perbelanjaan isi rumah dengan menghasilkan sabun sendiri, sekaligus menjimatkan kos keperluan harian.

Selain itu, kemahiran yang dipelajari dalam bengkel ini boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis sabun lain yang lebih sesuai dengan keperluan peribadi atau keluarga. Malah, sabun mesra alam yang dihasilkan ini juga boleh dipasarkan sebagai produk jualan, membuka peluang kepada komuniti untuk menjana pendapatan tambahan melalui produk kitar semula yang berkualiti.

Aktiviti program Train-the-Trainer Projek Inovasi Lestari


Begitu juga dengan bengkel jahitan, yang bukan sahaja membolehkan peserta menghasilkan barangan berguna untuk kegunaan sendiri tetapi juga memberi asas pengetahuan dalam menjahit, yang boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan lebih banyak produk jahitan lain. Kemahiran ini bukan sekadar menjimatkan kos membeli barangan baharu, tetapi juga berpotensi menjadi sumber pendapatan bagi mereka yang ingin menceburi bidang kraftangan dan jahitan.

Program ini akan dijalankan di Seberang Perai Utara, Tengah, dan Selatan, bagi memastikan lebih ramai komuniti dapat merasai manfaatnya. Setiap peserta akan menerima kit permulaan, serta berpeluang menyertai Pertandingan Inovasi dengan hadiah menarik menanti pemenang.

Maklumat lanjut program ini boleh diperoleh daripada kod QR yang boleh diimbas untuk akses kepada jadual bengkel, bahan pembelajaran, dan informasi tambahan berkaitan bengkel kitar semula ini.

Jom bersama-sama kita menjadikan amalan kitar semula sebagai sebahagian daripada gaya hidup lestari. Dengan menyertai program ini, anda bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran alam tetapi juga membuka peluang untuk menjana sumber pendapatan baharu bagi komuniti anda.

Bersama, kita membentuk masa depan yang lebih hijau dan lestari! 

 


Rakan kerjasama dan maklumat lanjut berkaitan Program Inovasi Lestari


SDG 8 - Promote sustained, inclusive and sustainable economic growth, full and productive employment and decent work for all
SDG 11 - Make cities and human settlements inclusive, safe, resilient and sustainable
SDG 12 - Ensure sustainable consumption and production patterns
SDG 14 - Conserve and sustainably use the oceans, seas and marine resources for sustainable development
Scroll to Top