Community

Penyertaan IPPT dalam Karnival STEM SMJK Jit Sin 2025: Memperkasa Pendidikan STEM di Peringkat Sekolah Menengah

Published : 22 April 2025

Dr. Rabeta sedang menerangkan aktiviti yang dibawa oleh Jabatan Kesihatan Komuniti
DEWAN SMJK JIT SIN, JALAN BINJAI, TAMAN SRI RAMBAI, 14000 BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG, April 22 2025 -

Penyertaan IPPT dalam Karnival STEM SMJK Jit Sin 2025: Memperkasa Pendidikan STEM di Peringkat Sekolah Menengah

DEWAN SMJK JIT SIN, JALAN BINJAI, TAMAN SRI RAMBAI, 14000 BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG, 22-24 APRIL 2025 - Karnival STEM di SMK Jit Sin bertujuan memupuk minat dan kesedaran pelajar sekolah menengah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dan usaha memperkukuh hubungan dengan komuniti, tiga jabatan di bawah Institut Perbatan dan Pergigian Termaju (IPPT) iaitu Jabatan Kesihatan Komuniti, Jabatan Sains Pergigian dan Jabatan Toksikologi telah mengambil bahagian secara aktif dalam menjayakan karnival ini.

Photo By Nurdiana Zainol Abidin
Pelajar sedang membuat lilin daripada minyak masak terpakai


Jabatan Kesihatan Komuniti (JKK) memainkan peranan penting dalam mempromosikan kesihatan awam melalui pendidikan, pencegahan penyakit, dan kelestarian alam sekitar. Aktiviti membuat lilin daripada minyak masak terpakai secara langsung dan tidak langsung berkait rapat dengan prinsip-prinsip ini.

- Kelestarian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam





Pembuangan minyak masak terpakai ke dalam sistem perparitan atau tanah boleh mencemarkan air dan tanah, serta menggalakkan pertumbuhan vektor penyakit seperti lipas dan tikus. Melalui aktiviti ini, pelajar diajar cara mengurus sisa dapur dengan betul dan bertanggungjawab.

- Pendidikan Kesihatan Komuniti

Photo By Hidani Hasim
Pelajar sedang membuat membuat ubat gigi homemade



Aktiviti ini boleh dijadikan platform untuk menyampaikan mesej berkaitan kesan penggunaan berulang minyak masak terhadap kesihatan (seperti penghasilan radikal bebas, risiko kanser, dll.)

- Pemerkasaan Komuniti melalui Ilmu dan Inovasi

Photo By Hidani Hasim
Pensayarah daripada Jabatan Sains Pergigian yang menyertai Karnival Sains di SMJK Jit Sin


Dengan mengajar komuniti cara menukar sisa kepada produk yang berguna, jabatan menyumbang kepada peningkatan literasi kesihatan dan alam sekitar serta pemberdayaan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan lestari.

- Sokongan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)

Photo By Nurul Shahfiza Noor
Pensyarah daripada Jabatan Toksikologi yang terlibat dalam Karnival Sains SMJK Jit Sin


Aktiviti ini selari dengan beberapa objektif SDG yang sering diterajui oleh jabatan kesihatan komuniti, seperti:

    SDG 3: Good Health and Well-being
    SDG 11: Sustainable Cities and Communities
    SDG 12: Responsible Consumption and Production

Selain ini, JKK juga membawa handgrip dynamometer iaitu alat yang digunakan untuk mengukur kekuatan genggaman tangan seseorang. Kekuatan genggaman tangan berkait rapat dengan status kesihatan umum, status pemakanan, dan fungsi fizikal keseluruhan.

Photo By Nurul Shahfiza Noor
Aktiviti interaktif yang menarik daripada Jabatan Toksikologi



Jabatan Sains Pergigian memainkan peranan penting dalam memperkenalkan dan mengintegrasikan elemen STEM secara praktikal dan berimpak tinggi, terutamanya dalam konteks kesihatan mulut dan pergigian. Antara pameran yang telah dijalankan:

- Pameran Ortodontik yang memaparkan maklumat berkaitan ortodontik seperti jenis-jenis braces (pendakap gigi), fungsi dan kaedah rawatan, serta kepentingan penjagaan gigi dan mulut semasa menjalani rawatan ortodontik. Model gigi 3D, simulasi pemakaian braces dan gambar-gambar kes klinikal sebelum dan selepas rawatan turut dipamerkan untuk memberi gambaran visual yang jelas kepada pelajar.

- Demonstrasi Cara Membuat Ubat Gigi Homemade memberi peluang kepada pelajar untuk belajar secara hands-on bagaimana ubat gigi boleh dihasilkan menggunakan bahan-bahan semulajadi seperti baking soda, minyak kelapa dan minyak pati (essential oils). Demonstrasi ini mengaitkan prinsip kimia asas dalam pembuatan produk harian, sekaligus menunjukkan aplikasi sains dalam kehidupan seharian.

- Kuiz Interaktif Berkaitan Ubat Gigi merangkumi soalan-soalan berkaitan komposisi ubat gigi, fungsi setiap bahan, serta kepentingan penjagaan oral. Kuiz dijalankan dalam bentuk interaktif dan menyeronokkan dengan menyediakan hadiah untuk setiap jawapan yang betul.

Photo By Nurul Shahfiza Noor
Pelajar sedang mengambil bahagian di booth Jabatan Toksikologi



Bertemakan “ToxiTeens: Decode the Science of Toxicology” tarikan utama yang dibawakan oleh Jabatan Toksikologi ialah aktiviti interaktif pengenalan kepada sel, yang memberikan gambaran asas tentang struktur dan fungsi sel manusia melalui model visual dan perbincangan mudah faham. Aktiviti ini menjadi asas penting sebelum pelajar memahami bagaimana sel boleh terkesan akibat pendedahan kepada bahan toksik.

Dalam aktiviti seterusnya, toksikologi persekitaran dan pekerjaan, pelajar didedahkan kepada jenis-jenis bahan toksik yang terdiri daripada bahan logam berat yang biasa ditemui di persekitaran rumah, sekolah dan tempat kerja, serta kesannya terhadap kesihatan sel dan organ. Penerangan disampaikan dalam bentuk demonstrasi dan aktiviti hands-on yang menyeronokkan,

Satu lagi tarikan utama ialah aktiviti kuiz interaktif berkaitan kanser, yang menekankan kaitan antara bahan kimia persekitaran, gaya hidup dan risiko pembentukan sel kanser. Kuiz ini bukan sahaja mencabar minda pelajar, malah memberikan maklumat penting tentang pencegahan dan kesedaran awal terhadap penyakit ini.

Photo By Nurdiana Zainol Abidin
Karnival STEM SMJK Jit Sin 2025



Pameran dan aktiviti yang dijalankan telah berjaya menarik perhatian ratusan pelajar dan guru, yang memberi maklum balas positif terhadap pendekatan pembelajaran yang lebih terbuka, menyeronokkan dan praktikal.

Pihak IPPT amat berbesar hati atas jemputan pihak sekolah serta kerjasama yang diberikan sepanjang karnival ini berlangsung. Aktiviti seumpama ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang bidang sains kesihatan, malah membantu mencungkil minat dan bakat muda dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Teks disediakan oleh : Profesor Madya Dr. Rabeta Mohd Salleh, Hidani Hasim dan Nurul Shahfiza Noor


SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
SDG 11 - Make cities and human settlements inclusive, safe, resilient and sustainable
SDG 12 - Ensure sustainable consumption and production patterns
Scroll to Top