Expert Column

Persediaan Sebelum Pengambilan Ujian Darah: Apa Yang Pesakit Perlu Tahu?

Nur Shafiqah Fathasha Mohd Yahya, Salbiah Isa


Published : 19 November 2021

Gambarajah 1: Persediaan sebelum pengambilan ujian darah.


Nur Shafiqah Fathasha Binti Mohd Yahya dan Dr Salbiah Binti Isa
Kluster Sains Gaya Hidup, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia.


Ujian darah adalah antara ujian diagnostik yang kerap dilakukan untuk membantu doktor memahami sesuatu penyakit. Profil sel darah boleh diakses melalui ujian darah untuk mengenal pasti jangkitan kuman atau penyakit berkaitan imun badan. Selain itu, ujian darah juga dapat menilai profil organ-organ di dalam badan untuk memastikan sama ada organ berfungi secara baik atau tidak.

Dianggarkan sebanyak 70-80% keputusan klinikal bergantung kepada ujian darah.  Oleh itu, ketepatan keputusan ujian adalah aspek terpenting yang perlu dititikberatkan kerana ia akan mempengaruhi pegurusan pesakit.  Selain proses analisa, ketepatan keputusan ujian darah juga bergantung kepada prosedur pengambilan sampel ujian. Artikel ini menerangkan proses persediaan pengambilan sampel darah yang pesakit perlu ketahui dan amalkan supaya ketepatan ujian adalah terjamin seterusnya memastikan perawatan tepat dapat diberikan.

PERSEDIAAN SEBELUM PENGAMBILAN UJIAN DARAH

Sebelum pengambilan ujian darah, pesakit perlu mendapatkan tidur dan rehat yang secukupnya (sekurang-kurangnya 7 jam) untuk memastikan tekanan darah, denyutan nadi dan ritma jantung berada pada tahap yang normal.




Gambarajah 1: Persediaan sebelum pengambilan ujian darah.

 
Tekanan darah yang tinggi boleh mempengaruhi keputusan ujian darah. Anda digalakkan untuk datang awal pagi terutama jika melibatkan pengambilan ujian darah yang perlu berpuasa untuk mengurangkan risiko kurang gula atau tidak tahan lapar. Paras gula yang rendah dalam darah akibat berpuasa terlalu lama boleh meningkatkan risiko pengawalan bacaan gula yang tidak seimbang.

Kebiasaanya sampel darah akan diambil dari saluran darah vena di bahagian pelipat siku, oleh itu anda disyorkan untuk memakai pakaian yang sesuai untuk memudahkan proses pengambilan darah. Pengambilan ubat ubatan adalah dibenarkan sebelum pengambilan ujian darah. Anda disyorkan untuk mengambil ubat-ubatan bersama air kosong untuk mengelakkan kesan interaksi ubat. Pengambilan ubat-ubatan bersama air manis seperti kopi, teh atau susu perlu dielakkan kecuali diarahkan oleh doktor atau pegawai kesihatan.
 
PERKARA YANG PERLU DIELAKKAN SEBELUM PENGAMBILAN UJIAN DARAH



Gambarajah 2: Perkara yang perlu dielakkan sebelum pengambilan ujian darah.
 
Pengambilan alkohol dan merokok perlu dielakkan sebelum pengambilan ujian darah. Asid dan nikotin yang terkandung di dalam rokok boleh mempengaruhi keputusan ujian darah. Minuman beralkohol boleh menjejaskan proses kimia-biologi utama dalam badan dan mengubah parameter sel darah merah. Pengambilan alkohol dan merokok boleh menghasilkan keputusan ujian darah negatif palsu, oleh itu perlu dielakkan sebelum pengambilan darah.

Senaman atau aktiviti fizikal yang berat juga boleh menganggu keputusan ujian darah, contohnya ujian kreatinin yang merupakan salah satu parameter penting bagi ujian fungsi buah pinggang. Selain itu, senaman yang berat juga dapat meningkakan enzim kardiak seperti kreatinin kinase. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk mengelakkan dari melakukan senaman berat sebelum pengambilan ujian darah untuk memperolehi keputusan ujian yang tepat.

BERPUASA SEBELUM PENGAMBILAN UJIAN DARAH

Keperluan berpuasa sebelum pengambian ujian darah bergantung kepada jenis ujian darah yang diambil. Pegawai perubatan atau doktor akan memaklumkan jika anda perlu berpuasa. Jika anda dikehendaki untuk berpuasa, anda perlu berpuasa selama 8-10 jam sebelum pengambilan ujian darah. Sepanjang tempoh berpuasa, semua jenis makanan dan minuman lain tidak dibenarkan. Hanya air kosong sahaja yang dibenarkan semasa berpuasa.

 CONTOH UJIAN DARAH YANG PERLU BERPUASA



Gambarajah 3: Contoh ujian darah yang perlu berpuasa.
 

Terdapat beberapa jenis ujian darah yang memerlukan anda untuk berpuasa antaranya ialah ujian glukosa darah, ujian insulin, ujian kolestrol darah dan ujian transferase gamma-glutamil.

Ujian glukosa darah mengukur tahap gula dalam darah untuk mendiagnosa penyakit diabetes mellitus. Tahap glukosa di dalam darah melebihi 7.0 mmol/L selepas berpuasa, merupakan kriteria untuk mengesahkan penyakit diabetes mellitus.

Ujian insulin pula untuk mengukur kepekatan insulin yang dihasilkan oleh sel beta pankreas. Ujian insulin membantu mendiagnosis insulinona (islet sel tumor) dan juga hipoglisemia (paras gula rendah dalam darah). Keperluan insulin bagi pesakit diabetes jenis 2 juga ditentukan melalui ujian insulin.

Kuantiti lemak atau kolesterol dalam darah akan dinilai melalui ujian kolesterol darah. Pesakit yang mempunyai masalah kolesterol tinggi tidak menunjukkan sebarang simptom awal seperti sesetengah penyakit lain. Oleh itu, tahap kolesterol di dalam tidak dapat diketahui tanpa melakukan ujian darah.

Ujian transferase gamma-glutamil (GGT) pula penting bagi pesakit yang menghidapi penyakit hati seperti kanser hati, sirosis hati dan jangkitan virus hepatitis kronik. Aras GGT yang tinggi dalam darah menunjukkan fungsi hati telah terjejas oleh penyakit tersebut.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUKARKAN PROSES PENGAMBILAN SAMPEL DARAH

Prosedur pengambilan sampel darah bergantung kepada teknik kemahiran dan keadaan tubuh badan dan juga faktor persekitaran. Tubuh badan manusia bersifat dinamik dan boleh berubah mengikut faktor keadaan persekitaran tertentu.

Kekurangan cecair di dalam badan menyebabkan salur darah sukar untuk timbul dan menyukar proses pengambilan sampel darah. Selain itu, suhu persekitaran yang sejuk boleh menyebabkan salur darah mengecut dan sukar untuk dilihat. Pesakit kronik, obesiti, golongan tua dan pesakit pediatrik (kanak-kanak dan bayi) juga boleh mengalami kesukaran sewaktu pengambilan ujian darah.

Kesukaran dalam proses pengambilan darah boleh menyebabkan hemolisis (sel darah pecah) dan penghasilan darah beku dalam sampel darah. Keadaan ini boleh menyebabkan gangguan dalam proses analisa sampel, oleh itu menghasilkan keputusan darah yang tidak tepat. Dalam keadaan ini, pesakit mungkin perlu menjalani semula pengambilan ujian darah, bergantung di atas nasihat doktor yang merawat.  

 KEPUTUSAN UJIAN DARAH

Masa menunggu untuk keputusan ujian darah bergantung kepada beberapa faktor. Ujian yang rumit mengambil masa yang lebih lama untuk dianalisa berbanding dengan ujian yang mudah dianalisisa, oleh itu akan mengambil masa yang lebih lama untuk memperolehi keputusan ujian.

KESIMPULAN

Persediaan pengambilan darah yang optimum merupakan salah satu aspek penting yang dapat mempengaruhi keputusan ujian darah. Namun persediaan yang berlainan diperlukan untuk ujian yang berlainan. Sila dapatkan nasihat daripada doktor yang merawat sekiranya pesakit memerlukan informasi lebih lanjut berkenaan dengan persediaan pengambilan sampel darah.



PDF
Scroll to Top