Expert Column

5 perkara yang anda patut tahu tentang kanser nasofarinks (kanser belakang hidung)

Muhamad Yusri Musa


Published : 21 July 2020


Kanser nasofarinks atau Nasopharyngeal Carcinoma (NPC) adalah kanser yang tumbuh atau bermula di kawasan yang dipanggil nasopharynx atau belakang hidung  (Imej 1).


Imej 1: Kawasan nasopharynx atau belakang hidung


Kanser ini merupakan kanser kepala dan leher yang paling kerap berlaku dan antara 5 kanser paling kerap berlaku bagi kaum lelaki di Malaysia.

1. Apakah FAKTOR RISIKO kanser nasofarinks?

a)    Genetik - kanser ini paling kerap berlaku dalam kalangan mereka yang berketurunan Cina (49%), diikuti kaum Bidayuh di Sarawak dan lain-lain kaum pribumi Sabah dan Sarawak, dan orang Melayu juga direkodkan memiliki kekerapan yang tinggi. Kanser ini sangat jarang ditemui dalam kaum India. (Clinical Practice Guidelines, KKM).

b)    Jangkitan virus Ebstein Barr (EBV)

c)    Sejarah ahli keluarga pernah mengidap NPC atau kanser.

d)    Faktor gaya hidup dan persekitaran seperti merokok, pengambilan diet ikan masin, pendedahan kepada bahan kimia dan industri yang berpanjangan (melebihi 10 tahun) juga menjadi faktor risiko untuk kanser nasofarinks ini.


2. Apakah GEJALA (Symptoms) yang dikaitkan dengan kanser ini?

a)    Bengkak / benjolan di leher melebihi 2 minggu dan semakin membesar  (rujuk  imej 2)
 



Sumber imej: Muhamad Yusri Musa


b)    Hidung berdarah, tersumbat, mengeluarkan cecair berlendir bercampur darah.

c)    Kurang pendengaran, telinga berdengung (kebiasaannya sebelah).

d)    Sakit kepala, belakang mata atau muka.

e)    Pandangan kabur atau berganda (double vision).

f)    Lain-lain gejala umum seperti kurang sihat, demam berpanjangan, sukar menelan, kurang selera makan dan berat badan menurun.


3. Bagaimana DIAGNOSIS dilakukan jika mengalami gejala yang berkaitan?

a)    Pengesahan diagnosis boleh dilakukan dengan pemeriksaan endoskopi ke dalam rongga hidung dan tisu untuk pemeriksaan histopatologi diambil daripada kawasan nasofarinks yang disyaki ada ketumbuhan.

b)    Penyiasatan pengimejan seperti  Magnetic Resonance Imaging, MRI dan Computed Tomography, CT scan juga akan dilakukan untuk membantu diagnosis.


4. Apakah RAWATAN yang boleh dilakukan?

a)    Antara rawatan terkini yang boleh dilakukan adalah gabungan Radioterapi dan Kemoterapi (Concurrent Chemoradiothrapy, CCRT) dan menggunakan teknologi Intensity Modulated Radiotherapy (IMRT) untuk radioterapi. Pengalaman penulis di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM Bertam  sejak memulakan perkhidmatan radioterapi pada 2015 telah merawat lebih 100 pesakit kanser nasofarinks dengan kadar penyembuhan dianggarkan melebihi 70 peratus (tertakluk kepada tahap). Namun begitu, terdapat pelbagai kaedah lain atau gabungan protokol rawatan yang pelbagai bergantung kepada keupayaan kepakaran dan teknologi yang ada di institusi perubatan tersebut, tahap penyakit dan pesakit.

b)    Kebanyakan pusat-pusat rawatan onkologi dan radioterapi di seluruh negara mampu memberikan rawatan yang tepat untuk kanser nasofarinks. Pesakit tidak perlu bimbang dan risau tentang kaedah rawatan dan komplikasi kerana rawatan dan sokongan yang berterusan akan diberikan kepada pesakit agar mereka dapat menyelesaikan rawatan dengan sempurna dan kembali pulih.


5. Apakah peluang untuk SEMBUH?

a)    Kanser ini merupakan antara kanser yang memiliki kadar kesembuhan yang tinggi berbanding kanser-kanser yang lain. Anggaran kadar penyembuhan yang dilaporkan oleh pelbagai jurnal dan badan antarabangsa adalah pada tahap melebihi 80 peratus untuk kanser tahap 1 dan 2.

Secara rumusannya kanser nasofarinks ini boleh dirawat dengan berkesan serta mempunyai peluang kesembuhan yang amat cerah jika dapat dikesan pada tahap awal (1 dan 2) dan melalui semua proses pemeriksaan dan rawatan yang disediakan. Malahan, pesakit tahap 3 dan 4 juga berpotensi untuk mendapat kesembuhan yang sepenuhnya jika berupaya melalui proses rawatan dengan sempurna.

Rujukan 

1. Clinical Practice Guidelines (CPG), Ministry of Health Malaysia.
2. Nasopharyngeal cancer: EHNS–ESMO–ESTRO Clinical Practice Guidelines for diagnosis, treatment and follow-up

Oleh:
Dr.Muhamad Yusri Musa
Pakar Perunding Otorinolaringologi
IPPT, USM Kampus Bertam


PDF
Scroll to Top