BERTAM, PULAU PINANG, 14 Oktober 2024 – Buat julung kalinya, Perkhidmatan Pergigian, Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), telah menganjurkan bengkel klinikal berkaitan teknik menghasilkan reka bentuk gigi palsu separa. Bengkel ini adalah anjuran bersama Jabatan Sains Pergigian dan Perkhidmatan Pergigian, PPUSMB.
Photo By NUR AQILAH TAJUL ASHIKIN
BENGKEL PROSTODONTIK
Bengkel seumpama ini merupakan penganjuran pertama kali di IPPT memandangkan telah terdapat penambahan pensyarah yang berkaitan dalam bidang tersebut dan fasiliti pergigian yang sudah mantap.
Walaupun terdapat pelbagai jenis rawatan untuk menggantikan gigi yang telah dicabut, namun demikian, rawatan gigi palsu separa masih menjadi salah satu pilihan dalam kalangan pesakit disebabkan oleh kos pembuatannya yang lebih rendah berbanding rawatan lain. Jika rawatan gigi palsu separa ini dilakukan dengan baik, ianya juga dapat memberikan keselesaan kepada para pemakai gigi palsu.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memberi fokus kepada ilmu dan kemahiran asas dalam menghasilkan reka bentuk gigi palsu separa di mana bengkel ini melibatkan dua komponen utama iaitu sesi ceramah dan juga sesi latihan menghasilkan reka bentuk gigi palsu separa menggunakan model gigi pesakit.
Photo By NUR AQILAH TAJUL ASHIKIN
BENGKEL PROSTODONTIK
Melalui bengkel ini, semua peserta yang terlibat akan mampu menghasilkan reka bentuk gigi palsu separa dengan lebih yakin dan secara tidak langsung akan memberikan keselesaan dalam pemakaian gigi palsu separa kepada pesakit-pesakit mereka kelak.
Bengkel dimulakan dengan sesi ceramah yang pertama dan kedua iaitu pengenalan kepada Removable Partial Denture dan Surveying yang dikendalikan oleh Dr. Husniyati Roslan, selaku Pengerusi Program merangkap Pensyarah Pergigian di Jabatan Sains Pergigian, IPPT. Seterusnya, sesi ceramah yang ketiga dan keempat pula disampaikan oleh Dr. Juzailah Roffie berkaitan Removal Partial Denture Component dan Precision Attachment for RPD.
Bengkel yang berlangsung di Auditorium Sains@Bertam ini diteruskan lagi pada sesi sebelah petang dengan sesi hands-on bertajuk RPD Design and Drawing yang dikendalikan oleh Dr. Husniyati Roslan, Dr. Juzailah Roffie dan kesemua Juruteknologi Pergigian PPUSMB. Dalam sesi ini, kesemua peserta telah belajar untuk melukis sendiri reka bentuk gigi palsu separa dan mempraktikkan cara-cara yang betul untuk melakukan surveying di atas model gigi.
Bengkel ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan di mana masih ramai yang meminta untuk menyertainya walaupun tempoh pendaftaran telah ditutup. Seramai 63 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Pergigian dan Juruteknologi Pergigian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan klinik pergigian swasta telah hadir menjayakan Bengkel Klinikal “Mastering The Removable Partial Denture Design” yang berlangsung hari ini. Kesemua peserta bengkel ini datang dari negeri Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.
Photo By NUR AQILAH TAJUL ASHIKIN
BENGKEL PROSTODONTIK
Perasmian bengkel telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, Timbalan Pengarah (Klinikal, Kelestarian, & Piawaian). Hadir sama adalah Profesor Madya Dr. Norehan Mokhtar, Ketua Bahagian Perkhidmatan Pergigian dan Dr. Noor Ayuni Ahmad Shafiai, Ketua Jabatan Sains Pergigian.
Teks disediakan oleh: Nur Aqilah Tajul Ashikin & Sharifah Fawziah Al-Gadri Syed Mahdzor
Teks disunting oleh: Dr. Husniyati Roslan
Foto: Nurul Nazihah Mohd Rizal & Nur Aqilah Tajul Ashikin
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
14 Oktober 2024