Jabatan Perubatan Klinikal, IPPT bersama Pusat Darah Negara (PDN) telah mengadakan sesi temuduga bagi pemilihan pelajar Program Pasca-siswazah Pakar Perubatan (Perubatan Transfusi) bagi sidang akademik 2024/2025. Program Sarjana Perubatan (Perubatan Transfusi) merupakan program pasca siswazah selama 4 tahun yang melahirkan pakar perubatan dalam bidang perubatan transfusi. Di akhir kursus 4 tahun ini , calon akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Perubatan (Perubatan Transfusi).
Seramai 47 orang pelajar telah menghadiri sesi temuduga secara bersemuka, namun ada calon dari Sabah yang terpaksa hadir secara maya kerana isu logistik yang tidak dapat dielakkan. Pihak IPPT besar hati atas kehadiran Dr. Mohammad Masrin Md Zahrin selaku Pengarah Pusat Darah Negara (PDN) yang baru dilantik sebagai panel penemuduga. Turut hadir sebagai panel adalah Profesor Dr. Narazah Mohd Yusoff, Dr. Idaleswati Nor Mohamed dan Dr. Sharifah Azdiana Tuan Din. Panel pemilihan pelajar ini dipengerusikan Dr. Suria Emilia Suhana Othman Tan selaku Ketua Jabatan Perubatan Klinikal yang merupakan “host” bagi program kepakaran ini.
Calon pelajar yang terpilih untuk menghadiri proses temuduga diwajibkan menghadiri peperiksaan MedEX (Peperiksaan Pra-kemasukkan Pakar Perubatan) untuk menapis calon yang terbaik. Peperiksaan ini ditubuhkan oleh Majlis Dekan Perubatan Malaysia sebagai satu sistem yang seragam untuk semua program kepakaran di Malaysia. MedEX ini dilaksanakan bersama dengan Majlis Peperiksaan Malaysia (MEC) dibawah Akta 225. Keputusan peperiksaan MedEX ini mempunyai tempoh sah sehingga tiga tahun. Rata-rata calon pelajar yang ditemui menyatakan rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk menghadiri sesi temuduga. Persaingan adalah sengit antara semua calon kerana kuota penerimaan kemasukkan pelajar yang terhad.
Salah seorang calon ditemuduga secara maya