BERTAM, November 10 2020 -

Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah memperoleh kejayaan berganda apabila dua kumpulan yang menyertai Konvesyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) USM 2020 mendapat Naib Johan dalam kategori masing-masing.

Pada konvensyen kali ini, IPPT menghantar dua kumpulan untuk mempersembahkan idea inovasi dan kreativiti mereka. Kumpulan Fast bagi Kategori Teknikal manakala penyertaan sulung Kumpulan Dito bagi Kategori Pengurusan.

Menurut ketua kumpulan Dito, Dr Ramzalinda Abd Rahman, mereka tidak menyangka penyertaan sulung ini memberi kejayaan dengan penarafan emas kepada kumpulan mereka yang masih baru dalam penyertaan KIK dan tidak pernah menyertai apa-apa pertandingan lain sebelum ini.

“Pada awalnya, terdapat pelbagai cabaran dan halangan dalam menjayakan projek kami kerana kekangan masa dengan kerja hakiki. Kami hampir sahaja patah semangat dan berasa mahu menarik diri daripada menyertai Konvensyen KIK pada tahun ini,” katanya.

“Namun, atas dorongan fasilitator kumpulan kami, kami bangkit dan meneruskan perjuangan. Alhamdulillah, kami berjaya mendapat pengiktirafan emas pada hari ini yang sangat memberikan kepuasan kepada kami,” tambahnya lagi.


Kumpulan Dito melaksanakan projek sistem buku temujanji bagi pesakit yang memerlukan rawatan gigi palsu yang lebih sistematik, kemas dan mudah untuk diurus.

Bagi kumpulan Fast pula, mereka mempertaruhkan projek C-Savior sebagai projek inovasi mereka. C-Savior adalah satu inovasi yang direka khas untuk menyejukkan kulit kepala untuk merendahkan suhu di kawasan kepala dengan menggunakan gel yang telah disejukkan bagi mengekalkan suhu 12-20 darjah celcius di dalam topi selama 3 jam.

Pesakit disarankan untuk memakai C-Savior selama 30 minit sebelum, semasa dan selepas rawatan kemoterapi dijalankan. Keadaan ini akan mengurangkan aliran darah ke folikel rambut yang boleh menghalang atau meminimumkan keguguran rambut berlaku semasa rawatan kemoterapi. Ia dibuat daripada bahan terpakai seperti ais subtitude, bahan buangan ‘coldchain’ makmal dan kain payung terpakai.

Untuk rekod, Kumpulan FAST pernah memenangi Anugerah Emas 5 Bintang dalam Annual Productivity and Innovation Conference and Exposition (APIC) 2019 yang diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre pada tahun lalu. Menerusi produk inovasi C-Savior ini, mereka juga tersenarai dalam 20 Kumpulan Terbaik Sektor Awam Persekutuan.

Berikut adalah keputusan penuh bagi penyertaan Kumpulan KIK IPPT:

 

        Kumpulan FAST

  • Penarafan Emas
  • Persembahan Terbaik
  • Naib Johan Kategori Teknikal

        Kumpulan DITO

  • Penarafan Emas
  • Naib Johan Kategori Pengurusan



Konvensyen ini diadakan secara atas talian ‘online’ bersama kumpulan-kumpulan lain yang bertanding dari USM Kampus Kesihatan Kubang Kerian, USM Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal, IPPT dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai juri.

 

Pendaftar USM, Dr. Musa Ali turut menyampaikan ucapan aluan secara atas talian kepada semua peserta dalam konvensyen anjuran Pusat Transformasi Insan (PTI) USM ini. 

Scroll to Top