Dr. Noorsuzana Mohd Shariff
Noorsuzana Mohd Shariff1,
Zirwatul Adilah Aziz 1,2, Abdul Hadi Mohamad3
1Jabatan Kesihatan Komuniti, Institut Perubatan
dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia, 13200, Kepala Batas, Pulau
Pinang.
2Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Sungai Buloh,
Selangor
3Malaysian Institute of Information Technology, UNIVERSITI
KUALA LUMPUR, 1016, Jalan Sultan Ismail 50250 Kuala Lumpur
Tuberkulosis atau lebih dikenali sebagai batuk kering bukanlah suatu penyakit asing, malah penyakit endemik ini telah lama menjadi bebanan kesihatan awam dan merupakan penyebab kematian utama dalam kategori penyakit berjangkit di dunia. Pelbagai rangka strategik telah dilaksanakan di peringkat global bagi memerangi penyakit sebaran droplet udara ini. Antaranya ialah strategi Stop TB 2006 yang mensasarkan visi dunia dalam menghentikan penularan TB sebelum tahun 2015 dan kini strategi End TB yang terus mensasarkan penurunan kadar kes baru, kosong peratus kematian disebabkan oleh TB dan pencegahan kesan buruk ke atas pesakit diakibatkan TB. Malang sekali, prestasi penurunan kadar kes TB baru dan kadar kematian TB menunjukkan penurunan yang amat perlahan di kebanyakan negara dan keadaan ini diterukkan lagi dengan penularan pandemik COVID-19 yang secara langsung memberi impak kepada operasi pengurusan klinikal TB di lapangan, juga mengakibatkan ramai pesakit yang bergejala tidak tampil ke klinik untuk diagnosis awal disebabkan kekangan situasi semasa pandemik dalam negara. Hal ini dibuktikan dalam dua buah kajian terkini yang dijalankan di Johor Bahru dan Kuala Lumpur yang membandingkan kadar notifikasi kes dalam tahun 2020 dengan data notifikasi lima tahun sebelumnya. Data di Johor menunjukkan bahawa terdapat penurunan kadar notifikasi sehingga hampir 12% pada tahun 2020, manakala data di Kuala Lumpur menunjukkan penurunan notifikasi hingga 5%. Hal ini memberi gambaran bahawa terdapat peningkatan kes yang tidak dapat dikesan atau kes-kes yang lewat di diagnosis yang sekiranya berterusan dalam jangka masa panjang akan merosakkan segala usaha dalam menghentikan TB dalam komuniti.
Praktis semasa dalam
pengesanan kes dan kontak TB di Malaysia menggunakan dua pendekatan utama iaitu
pengesanan pasif dan pengesanan aktif. Majoriti daripada pesakit di Malaysia
dikesan melalui pengesanan pasif dimana pesakit yang bergejala dan disyaki TB
tampil sendiri ke klinik untuk saringan. Kelemahan bagi kaedah pengesanan pasif
ialah ia bergantung tinggi pada kesedaran awal pesakit akan tanda-tanda TB dan
keterbukaan pesakit untuk mendapatkan rawatan awal di pusat rawatan TB yang
terdekat. Oleh itu, pemerkasaan pada pengesanan aktif perlu dilakukan agar kadar
pengesanan dapat ditingkatkan dalam komuniti. Analisis jaringan sosial (Social
Network Analysis) dilihat berpotensi dalam membantu dari aspek pengesanan
aktif ini. Analisis jaringan sosial mampu melengkapi teknik pengesanan semasa
yang telah digunakan oleh inspektor kesihatan di lapangan.
Praktis semasa di
lapangan mengaplikasikan pengesanan aktif melalui saringan khas (contohnya
saringan kesihatan pekerja, saringan kajian khas atau saringan klinik diabetes)
dan saringan kontak rapat pesakit TB. Menyentuh mengenai saringan kontak rapat
pesakit TB, kebanyakan kontak yang disenaraikan oleh pesakit sebagai kontak rapat
adalah mereka yang merupakan ahli keluarga yang tinggal bersama. Bilangan
kontak yang dikesan juga adalah kurang daripada sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia, iaitu bagi seorang kes indeks TB perlu dikesan sekurang-kurangnya
sepuluh orang kontak rapat supaya pengesanan kontak yang mungkin telah
dijangkiti dapat dicapai dengan optimum. Melalui praktis semasa ini, ada ruang kosong
yang dikenalpasti iaitu dari aspek pengesanan kontak kasual di lapangan. Kontak
kasual ini adalah mereka yang bukan merupakan ahli keluarga yang tinggal
serumah tetapi mempunyai perkaitan dengan kes indeks melalui jenis perhubungan
yang lain, seperti rakan sekerja, rakan sekolah, tinggal di kawasan kejiranan
yang sama atau berkongsi pengangkutan awam yang sama setiap hari.
Analisis jaringan sosial
yang merupakan suatu bidang ilmu sains sosial telah digunakan secara meluas
dalam mengkaji perhubungan-perhubungan kasual dalam memahami tingkahlaku
manusia dan kesannya kepada sokongan sosial, antropologi, ekonomi, perniagaan komunikasi,
sains computer, psikologi dan tidak terkecuali kesihatan. Dalam kes penyakit-penyakit
berjangkit, teknik ini boleh dilakukan melalui penambahan soal selidik jaringan
sosial yang menilai perhubungan-perhubungan antara pesakit, selain daripada perhubungan
isi rumah, yang seterusnya dianalisa menggunakan parameter-parameter analisis jaringan
bagi mengesan kluster-kluster penyebaran
yang seterusnya dipeta menggunakan teknik sosiogram. Hasil dapatan ini boleh dianalisa
bersama data-data klinikal pesakit serta dikukuhkan lagi dengan penelitian molekular
genotip strain TB setiap pesakit secara khusus.
Aplikasi analisis
jaringan sosial dan penyakit berjangkit telah pernah dilakukan sebelum ini dalam
memahami penyebaran HIV, penyakit-penyakit penularan seksual, juga dalam
memahami penularan TB dalam literatur. Namun begitu, kebanyakan kajian yang mengaplikasikan
teknik analisis jaringan dalam memahami penularan TB dijalankan pada populasi
kecil atau latar tempat yang terhad seperti organisasi pendidikan, atau organisasi
kesihatan tertentu. Masih terdapat kekurangan dari aspek aplikasi analisis jaringan
sosial dalam komuniti pesakit di lapangan yang lebih besar. Oleh itu, satu kajian tempatan di Kuala Lumpur
cuba untuk menjawab persoalan ini bagi cuba membuktikan kesesuaian teknik
analisis jaringan sosial dalam mengenalpasti perhubungan antara kes dalam
komuniti pesakit di Kuala Lumpur. Analisis prelimanari kajian ini mendapati
bahawa terdapat perhubungan antara pesakit melalui alamat tempat tinggal mereka.
Beberapa lokaliti dengan bilangan kes melebihi sepuluh kes aktif telah dikesan.
Penelitian lanjut melalui kaedah molekular diperlukan bagi mengenalpasti sama
ada berlaku penularan semasa (recent transmission) atau ia adalah
kes-kes pereaktifan (reactivation) atau jangkitan semula.
Secara kesimpulan, dinamik
penularan jangkitan penyakit berjangkit pada hari ini memerlukan pendekatan
yang pelbagai bagi memahami corak penularan, seterusnya membantu pihak-pihak berkenaan
dalam mengekang jangkitan dalam komuniti. Lebih banyak kajian diperlukan, khususnya
kajian-kajian tempatan dan dinegera-negara dengan kadar notifikasi kes tinggi
di kawasan Asia Tenggara, agar pemahaman secara lebih komprehensif dapat
dibuat.
Penghargaan
Artikel ini adalah sebahagian daripada output kajian yang ditaja dibawah dana Kementerian Pengajian Tinggi, Fundamental Research Grant Scheme 2019, FRGS/1/2019/SKK05/USM/02/1.
1. Gardy, J. L. et al. (2011) ‘Whole-Genome Sequencing and Social-Network Analysis of a Tuberculosis Outbreak’, New England Journal of Medicine. Massachusetts Medical Society, 364(8), pp. 730–739. doi: 10.1056/NEJMoa1003176.