AMDI Story

SAMBUTAN HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA 2024 PERINGKAT PPUSMB

Published : 21 June 2024

PROGRAM DERMA DARAH
UNIT PERUBATAN TRANSFUSI PPUSMB, June 21 2024 -



Hari Penderma Darah Sedunia/ World Blood Donor Day (WBDD) buat julung kalinya diadakan di Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) pada tahun ini setelah 11 tahun beroperasi sejak 2013. Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia yang diadakan di Aras 2, Unit Perubatan Transfusi, PPUSMB ini berlangsung sekitar jam 09.00 pagi dan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dr. Siti Salmah Noordin merupakan Ketua Unit Perubatan Transfusi merangkap Pengerusi Program ini. Program diteruskan dengan ucapan oleh Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian, Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim dan diikuti oleh upacara perasmian program.

Photo By Norizan Ishak
Sesi Pemotongan Kek Sebagai Penghargaan Kepada Penderma Darah Tegar


Kemuncak program ialah sesi penyampaian penghargaan kepada 8 orang penderma darah tegar yang telah mendermakan darah mereka sebanyak 16 hingga 32 kali di PPUSMB.  Para penderma ini terdiri daripada kalangan Staf IPPT/PPUSMB, pelajar USM dan masyarakat setempat. Tema sambutan Hari Penderma Darah Sedunia pada tahun ini adalah bertemakan  ‘20 years of celebrating giving: Thank you, blood donors’’ di mana sambutan ini secara rasminya akan disambut serentak di seluruh dunia pada 14 Jun pada setiap tahun.

Penganjuran sambutan Hari Penderma Darah Sedunia adalah bertujuan untuk meraikan penderma darah yang merupakan ‘Hero’ yang tidak dikenali oleh pesakit. Selain itu penganjuran ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat awam mengenai kepentingan menderma darah secara berkala agar darah yang dibekalkan adalah selamat dan berkualiti. Sehingga kini, PPUSMB telah mempunyai lebih daripada 1,849 penderma darah yang berdaftar. Mereka terdiri daripada staf IPPT ataupun USM serta masyarakat setempat.

Photo By Norizan Ishak
Program Derma Darah



Sambutan diteruskan dengan program derma darah. Seramai 15 orang penderma yang terdiri daripada 11 orang Staf IPPT/PPUSMB dan 4 orang masyarakat setempat telah mendermakan darah semasa program berlangsung. Hadir sama ialah Ketua Unit Makmal Diagnostik Klinikal, Dr. Hafizuddin Mohamed Fauzi, para pelajar program Sarjana Perubatan (Perubatan Transfusi) dan kakitangan Unit Perubatan Transfusi PPUSMB.


Teks disediakan oleh:  Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Siti Salmah Noordin
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
21 Jun 2024


Scroll to Top