
SAMBUTAN HARI KANSER SEDUNIA 2025
BERTAM, PULAU PINANG, 21 FEBRUARI 2025: Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan, Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) dengan kerjasama Unit Onkologi dan Radioterapi, Bahagian Perkhidmatan Perubatan dan Pembedahan PPUSMB telah menganjurkan Program Sambutan Hari Kanser Sedunia 2025 bertempat di Ruang Legar Aras 3, PPUSMB.
Photo By NORIZAN ISHAK
SAMBUTAN HARI KANSER SEDUNIA 2025
Hari Kanser Sedunia disambut di peringkat antarabangsa pada 4 Februari setiap tahun sebagai inisiatif global yang diterajui oleh Union of International Cancer Control (UICC). Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser serta menggalakkan langkah pencegahan, pengesanan dan rawatannya.
Photo By NORIZAN ISHAK
SAMBUTAN HARI KANSER SEDUNIA 2025
Bertemakan “Bersatu Dengan Keunikan” United by Unique, Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat PPUSMB ini turut menjalin kerjasama dengan pihak LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) dan pihak MAKNA (Majlis Kanser Nasional).
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dr. Jasmin Jalil, Ketua Unit Onkologi dan Radioterapi diikuti oleh Profesor Madya Dr. Muhamad Yusri Musa, Pakar Perunding Otorinolaringologi & Surgikal Brakiterapi merangkap Ketua Bahagian Perkhidmatan Perubatan dan Pembedahan PPUSMB. Majlis Perasmian Hari Kanser Sedunia kemudiannya telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan) Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) yang mewakili Pengarah IPPT/PPUSMB pada hari tersebut.
Photo By NORIZAN ISHAK
SAMBUTAN HARI KANSER SEDUNIA 2025
Kemuncak Sambutan Hari Kanser Sedunia ini ialah gimik perasmian majlis yang dilakukan sebagai simbolik perasmian berlangsungnya Minggu Kesedaran Kanser Sedunia peringkat IPPT/PPUSMB yang bermula dari 21 hingga 28 Februari 2025.
Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati dan seterusnya sesi lawatan ke tapak pameran yang dijalankan di Lobi Utama PPUSMB.
Antara pameran yang dianjurkan termasuk pameran mengenai kanser payudara dan pemeriksaan sendiri payudara (PSP), kanser kolorektal, kanser kepala dan leher serta program penyelidikan. Selain itu, MAKNA (Majlis Kanser Nasional Malaysia) dan LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) turut hadir menjayakan program dengan menawarkan Free HPV DNA Screening, Registration For Mammogram dan Health Screening.
Hadir sama adalah Profesor Madya Dr. Gokula Kumar A/l Appalanaido dan Profesor Madya Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz, Pensyarah Perubatan dari Jabatan Pengimejan Bioperubatan; Dr. Ahmad Fakrurrozi Mohamad, Pensyarah Pergigian dari Jabatan Sains Pergigian; Profesor Madya Dr. Mohd Hafiz Mohd Zain, Ketua Jabatan Pengimejan Bioperubatan ;Dr Siti Mardhiana Mohamad, Ketua Jabatan Kesihatan Komuniti dan Pegawai-pegawai Utama IPPT/PPUSMB.
Teks disediakan oleh: Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh:
Pusat Media dan Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
21 Februari 2025