Achievement

Tidak Sangka Boleh Berjalan Semula Selepas Stroke

Published : 08 March 2023

En Au Boon Hong sebelum menjalani program NCC menggunakan kerusi roda untuk bergerak
PPUSMB, March 7 2023 -

Encik Au Boon Chong berusia 55 tahun, pernah bekerja sebagai juruteknik kren, mengalami serangan angin ahmar atau ‘stroke’ di sebelah kiri badannya pada 10 hb April 2022.

Akibat serangan stroke tersebut, beliau tidak boleh berjalan dan menyukarkan beliau untuk melakukan aktiviti seharian. Beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk ke sana sini. Ini merencatkan kualiti kehidupan beliau. Encik Au Boon Chong telah dirujuk oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menjalani program Rehabilitasi Neuro-robotics & Cybernics (NCC) di Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB), Kepala Batas, Pulau Pinang. Unit Rehabilitasi PPUSMB ini dilengkapi dengan Suit Robot HAL® (Hybrid Assistive Limb), peralatan teknologi neurorobotik terkini dari Cyberdyne Inc. Jepun. HAL® Robot Suit ialah robot jenis cyborg pertama di dunia yang dicipta oleh Prof. Dr. Yoshiyuki Sankai, Ketua Pegawai Eksekutif Cyberdyne Inc. untuk membantu orang yang lumpuh atau lemah anggota badan akibat kecederaan atau gangguan pada Sistem Saraf Pusat seperti Kecederaan Saraf Tunjang, Strok, Kecederaan Otak Traumatik, Multiple Sclerosis dan Penyakit Neurodegeneratif untuk mendapatkan semula keupayaan untuk berjalan. Sut robot menambah baik, menyokong dan meningkatkan mobiliti anggota badan pemakai melalui teknologi sibernik yang menggabungkan interaksi antara manusia, mesin dan maklumat.


Selepas diperiksa oleh terapis di PPUSMB, didapati Encik Au  tidak boleh berjalan kerana mengalami kelemahan otot di sebelah kanan badan dan memerlukan bantuan maksimum untuk berdikari. Beliau telah memulakan program rehabilitasi NCC pada 2/6/2022. Pesakit ini hanya mengambil masa 2 minggu untuk berjalan semula selepas mengikuti program ini dan dibenarkan keluar pada 15/7/2022.


Progres pemulihan beliau amat memberangsangkan di mana beliau telah mencapai kebolehan keseimbangan, koordinasi dan peningkatan pada kekuatan otot. Skor “Functional and Transferring” pada mulanya hanya 1/5 telah meningkat kepada skor penuh iaitu 5/5. Manakala “Berg Balance Scale” dari 13/56 telah meningkat kepada 51/56. Bagi ujian “Tug, Up and Go (TUG)” iaitu ujian yang menentukan risiko jatuh dan mengukur kemajuan imbangan, duduk untuk berdiri dan berjalan, pesakit ini telah mencapai skor 12 saat, berbanding sebelum ini pesakit ini tidak mampu langsung menjalani ujian ini.

 

Kejayaan yang membanggakan ini adalah hasil program NCC di PPUSMB yang menggunakan teknologi Suit Robot Cyberdyne HAL® yang direka untuk mengesan isyarat bio-elektrik yang lemah melalui elektrod atau sensor pada permukaan otot kaki dan menganalisis isyarat melalui sistem kawalan pada sut robot. Terapi di PPUSMB adalah terlatih dengan program dan modul yang diiktiraf oleh pakar Rehabilitasi Sukan di peringkat antara bangsa.  Dedikasi terapis dan pesakit semasa menjalani program ini telah terbukti di mana pesakit ini telah boleh berjalan semula dan menguruskan dirinya tanpa sebarang bantuan. Dengan ini, tahap kualiti hidup pesakit telah meningkat dan tentunya ini memotivasikan beliau untuk meneruskan kehidupan dengan lebih positif.

 

Jika anda ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Neuro-robotics and Cybernic Clinic

No tel: +604-5622362




Teks disediakan oleh:


PM Dr. Bakiah Shaharuddin

Penyelaras

Corporate Business Office, IPPT







Scroll to Top