Achievement

Realiti Maya Tiga Dimensi Di Perpustakaan Akademik: USM Mendepani Kemajuan Teknologi Dalam Revolusi Pendidikan Alaf Baru

Published : 28 April 2022

Majlis Pelancaran Metaverse Space Library@IPPT
IPPT, BERTAM, April 28 2022 -

Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) Bertam di sini telah melancarkan Majlis Perasmian Metaverse Space Library@IPPT antara perintis terawal Perpustakaan di Malaysia.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan dalam satu kenyataan, konsep Metaverse mempunyai potensi yang sangat luas. Dalam aspek  pendidikan, Metaverse  boleh menjadi platform pembelajaran dan pengajaran yang merangkumi semua maklumat dan hiburan bersepadu dalam dunia virtual tiga dimensi. Untuk memasuki dunia Metaverse, setiap orang memerlukan peranti khusus seperti set kepala realiti maya (VR set).

Menurut Puan Hasniza Amno, ketua projek ini, di Perpustakaan USM, projek Metaverse Space Library@IPPT yang telah diterajui oleh Perpustakaan IPPT adalah untuk memberi perkhidmatan yang berimpak tinggi dan berlainan dari perkhidmatan konvensional sedia ada melalui platform realiti maya tiga dimensi yang lebih kreatif dan inovatif.  Ia juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan konsep edutainment di dalam perpustakaan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran imersif di mana pelajar berada dalam satu suasana pembelajaran yang interaktif secara virtual.

Faisal Rafiq menggunakan peralatan Metaverse Space Library@IPPT di IPPT USM selepas melancarkan konsep tersebut di IPPT Bertam semalam. Turut kelihatan, Hasniza (kanan) -- FotoBERNAMA

Naib Canselor USM Faisal Rafiq Mahamd Adikan dalam satu kenyataan menyatakan, Perpustakaan IPPT dengan kerjasama Bahagian IT@AMDI telah membangunkan sebuah sistem dalaman atas talian yang dikenali sebagai VR Discovery yang merupakan Sistem Pengurusan Data 3D (VR Discovery) di mana ia dapat membuat transformasi bahan sumber maklumat perpustakaan seperti bahan berbentuk imej, model anatomi, buku elektronik, dokumen dan lain-lain dalam format tiga dimensi (3D). Bahan sumber maklumat tersebut kemudiannya dipaparkan secara automatik ke dalam web portal yang dinamakan GoVR untuk capaian maklumat berformatkan tiga dimensi (3D) yang lebih interaktif oleh pengguna. Seterusnya, keunikan projek ini adalah dengan meneroka dan membawa dunia realiti maya kepada web portal GoVR menggunakan set kepala (Headset). Inisiatif ini dikenali sebagai WebVR. WebVR adalah bertujuan untuk membolehkan pengguna Perpustakaan mengalami kehebatan teknologi imersif realiti maya dalam capaian bahan sumber maklumat Perpustakaan dan dengan yang demikian, meningkatkan lagi kualiti dan keberkesanan pengajaran dan latihan yang dilakukan di institut ini.

Pengarah IPPT, Professor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin menegaskan bahawa kejayaan ini menjadikan USM sebagai universiti pertama yang mendepani dan beradaptasi terhadap teknologi realiti maya tiga dimensi. Dan ia adalah masa depan untuk memacu inovasi dalam bidang pendidikan di Malaysia.

Naib Canselor USM, Professor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan bersama Pengarah IPPT, Pemangku Ketua Pustakawan USM dan  Staf Perpustakaan IPPT


Teks disediakan oleh:

Puan Hasniza Amno (Perpustakaan IPPT)



Scroll to Top