Pusat Perubatan USM Bertam iaitu di bawah Unit Imejan, Onkologi dan Radioterapi, Unit Perubatan Nuklear serta Jabatan Pengimejan Bioperubatan IPPT telah menganjurkan Program Young Physicist Camp 2024 bertempat di Ruang Lobi, PPUSMB, IPPT USM. Program ini turut mendapat kerjasama dari Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara (PSNCWU) dan Persatuan Fizik Perubatan Malaysia (MAMP).
Photo By NORIZAN ISHAK
Program Young Physicist Camp 2024
Program ini diadakan bersempena sambutan Minggu Kesedaran Radiasi dan seiring dengan tema sambutan Hari Fizik Perubatan Antarabangsa (IDMP) pada tahun ini yang bertemakan ‘Inspiring the Next Generation of Medical Physicists’. Program ini bertujuan untuk menerapkan minat yang mendalam di kalangan para pelajar tingkatan 3,4, dan 5 terhadap bidang fizik dan memberi pendedahan kepada pelajar tentang aplikasi fizik dalam perubatan (untuk diagnosis dan rawatan penyakit).
Young Physicist Camp 2024 dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh Profesor. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim selaku Timbalan Pengarah (Klinikal, Kelestarian & Piawaian), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM. Kemudian, diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada wakil PSNCWU, Encik Ahmad Soffian Abdul Rahman, Penolong Pengarah PSNCWU.
Program diteruskan dengan aktiviti Physics Explore Race & Demonstrasi, terdiri daripada tujuh stesen yang perlu dilalui oleh para pelajar mengikut kumpulan yang telah dibahagikan. Pelajar perlu menyelesaikan beberapa tugasan berbeza di setiap stesen dalam masa 20- 30 minit, dan perlu melalui setiap stesen bagi menyelesaikan tugasan kumpulan.
Photo By NORIZAN ISHAK
Program Young Physicist Camp 2024
Sesi kedua ialah Bicara Kerjaya yang diadakan pada sesi sebelah petang dengan topik kerjaya yang berkaitan ‘Fizik dalam Perubatan’. Sesi ini merangkumi empat Trek Kerjaya, iaitu Pengimejan Diagnostik/Radiologi, Radioterapi, Perubatan Nuklear, dan Kejuruteraan Bioperubatan. Semasa sesi ini, pelajar-pelajar juga didedahkan dengan lebih dekat tentang realiti dunia kerjaya di setiap unit dan bagaimana setiap peralatan radiasi ini berfungsi.
Turut berlangsung adalah lawatan ke Bas Pameran Sains Bergerak dari PSNCWU ‘Science on Wheels’ yang terbuka kepada orang awam serta anak-anak staff yang berminat untuk mengunjunginya. Program ini melabuhkan tirainya dengan penyampaian hadiah kepada para peserta yang terlibat dalam Young Physicist Camp 2024.
Photo By NORIZAN ISHAK
Program Young Physicist Camp 2024
Program ini telah disertai oleh 100 peserta merangkumi 68 pelajar sekolah menengah Tingkatan 3, 4, 5 dan guru pengiring dari pelbagai sekolah sekitar Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah termasuk orang awam yang mengunjungi bas pameran PSNCWU. Dengan penganjuran program ini, secara tidak langsung dapat menerapkan minat para pelajar terhadap bidang fizik dan memberi pendedahan terhadap aplikasi fizik dalam pelbagai bidang khususnya bidang perubatan dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Teks Disediakan Oleh: Sharifah Fawziah Al-Gadri Syed Mahdzor & Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks Disunting oleh: Dr. Noor Diyana Osman
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju