KUALA LUMPUR, September 23 2020 -
Delegasi Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai Naib Canselornya, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hari ini mengadakan perjumpaan khas bersama Institut Jantung Negara (IJN) Holdings Sdn. Bhd. bagi merangka kolaborasi antara kedua-dua pihak di utara tanah air.
IJN Holdings Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim menyifatkan kolaborasi itu dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak untuk masa hadapan dalam bidang kesihatan dan perubatan berkaitan jantung.
Menurut beliau lagi, IJN yang mula beroperasi sejak 1992 ingin terus mengorak langkah menerusi kepakaran dan bidang yang diterajuinya selama ini untuk negara.
Perbincangan antara kedua-dua pihak lebih menjurus kepada kolaborasi IJN untuk membuka cawangannya di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) di Bertam.
Faisal Rafiq yang mencadangkan supaya kolaborasi tersebut diadakan di IPPT kerana kelebihan yang dimiliki oleh IPPT dapat menampung keperluan IJN untuk membuka cawangan di sini dan kapasiti untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada umum melalui perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak.
USM melalui IPPT turut memiliki makmal jantung (Cardiac Lab) berciri On-The-Go dan USM juga melalui Hospital USM telah mula mengoperasikan makmal jantung intervensinya (Phillips Biplane Coronary Angiography Azurion Series).
Dalam perjumpan ini, delegasi USM turut diwakili oleh Pengarah Pembangunan Korporat Strategik, Hj. Muhamad Sabri Said; Bendahari USM, Kamarul Ariffin Ngah; dan Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor, Mohd Rashid Abdul Rejab.
Terdahulu pada hari sebelumnya, Naib Canselor telah bertemu dengan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad di Putrajaya dan telah memaklumkan mengenai rancangan penubuhan fasiliti tersebut.
Data yang diperolehi turut menyatakan Pulau Pinang menjana RM500 juta hasil melalui pelancongan perubatan (medical tourism) Malaysia bagi tahun 2017 dan penduduk di utara Semenanjung berjumlah lebih 4 juta orang.