Community

Pengerusi LGU tinjau fasiliti dan kemudahan IPPT, bangga dengan pencapaian selama ini

Published : 09 July 2020


IPPT,BERTAM, July 9 2020 - Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (LGU) Dato’ Dr. Awang Adek Hussin yang baru dilantik ke jawatan tersebut telah mengadakan lawatan ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM bagi melihat dengan lebih dekat fasiliti sedia ada yang terdapat di sini semalam.

Beliau dibawa melihat sendiri kemudahan perubatan yang terdapat di Kompleks Klinikal seperti perkhidmatan radioterapi, brakiterapi serta peralatan perubatan lain yang terdapat di IPPT yang digunakan untuk tujuan merawat pesakit terutamanya pesakit kanser.

Dalam sesi lawatan itu juga, taklimat berkenaan IPPT telah disampaikan oleh Pengarah IPPT Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman.

Awang Adek dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga atas pencapaian yang telah dicapai oleh IPPT dari awal penubuhan hingga sekarang, namun menurut beliau pencapaian yang diperolehi mesti disebarkan kepada pengetahuan orang ramai supaya orang tahu kepakaran kita.

Tambahnya lagi, hubungan dengan pihak media hendaklah baik supaya mereka boleh membantu universiti untuk mewar-warkan kepakaran yang ada.  

“Sebaran maklumat dan berita oleh pihak media sangat penting kerana ia merupakan salah satu kaedah promosi kepakaran, perkhidmatan yang ada dan pada masa yang sama dapat membantu menjana pendapatan universiti,” jelasnya.

Apabila menyentuh tentang perancangan beliau untuk universiti, beliau berkata: “USM dekat di hati saya, USM juga tempat pertama saya memulakan karier saya, jadi sudah tentulah saya ingin melihat USM sentiasa maju dan berjaya.” 

Bagi memastikan USM sentiasa berada di landasan terbaik, beliau akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan melihat kemajuan dan pembangunan USM dari semasa ke semasa. 
 
Dengan kata lain, jawatankuasa ini adalah bertujuan untuk memperkasakan dari segi pembangunan institusi, kelestarian kewangan, projek penjanaan kewangan, peningkatan reputasi dan lain-lain lagi,” katanya lagi.

Turut bersama dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Pengarah Klinikal, Dr. Noor Khairiah A. Karim; Timbalan Pengarah Akademik dan Antarabangsa, Dr. Mohd Hafiz Mohd Zin; Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan, Dr. Hasni Arsad serta pengurusan tertinggi IPPT. - PRO IPPT
Scroll to Top