Kelenjar adrenal adalah kelenjar endokrin berbentuk segitiga yang terletak di atas buah pinggang di bahagian atas rongga abdomen

Pengenalan

Sindrom Cushing adalah keadaan kesihatan yang disebabkan oleh tahap hormon kortisol yang tinggi dalam tubuh untuk tempoh masa yang lama. Kortisol adalah salah satu hormon yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal (Gambarajah 1) yang berfungsi untuk mengatur pelbagai proses dalam tubuh manusia seperti metabolisme, tekanan darah, dan respons terhadap tekanan atau stres. Keadaan ini boleh terjadi dalam semua peringkat umur dan jantina.

Punca

Sindrom Cushing boleh berlaku disebabkan oleh dua punca utama:

Punca Luaran (Eksogen): Ini berlaku apabila seseorang mengambil steroid dalam dos yang tinggi untuk tempoh yang lama, sama ada sebagai rawatan untuk keadaan seperti asma, allergi kronik, rheumatoid arthritis, penyakit kerangan usus atau sebagai sebahagian daripada rawatan kanser.
Punca Dalaman (Endogen): Ini berlaku apabila kelenjar adrenal menghasilkan terlalu banyak kortisol. Punca dalaman yang paling biasa adalah adenoma hipofisis, iaitu tumor kecil yang berkembang di dalam kelenjar pituitari yang berupaya mengawal fungsi kelenjar adrenal untuk merembeskan kortisol dalam amaun yang berlebihan.

Tanda dan Gejala

Orang yang mengalami sindrom Cushing mungkin mengalami beberapa tanda dan gejala berikut (Gambarajah 2):

Gambarajah 2 : Tanda dan gejala sindrom Cushing


Peningkatan berat badan: Pengumpulan lemak berlaku terutamanya di bahagian perut, wajah, dan leher. Ini menyebabkan obesiti abdomen, wajah yang bulat (moon face) dan bonggol kerbau (buffalo hump) di bahagian belakang pangkal leher.
Kulit tipis dan mudah berdarah: Kulit mungkin menjadi nipis dan mudah mendapat lebam atau luka.
Peningkatan risiko jangkitan: Oleh kerana kortisol yang tinggi boleh melemahkan sistem imun, maka individu yang mengalami sindrom Cushing akan lebih berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kuman.
Gangguan keseimbangan glukosa dalam darah: Kortisol yang tinggi boleh mengganggu pengaturan (homeostasis) glukosa dalam darah, dengan itu boleh menyebabkan terjadinya penyakit diabetes jenis 2 (type 2 diabetes mellitus).

Diagnosa

Terdapat 2 jenis ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan sindrom Cushing.

·        Ujian makmal

Pemeriksaan paras kortisol dalam air kencing dan kortisol dalam air liur pada lewat malam merupakan ujian saringan untuk mengesan sindrom Cushing. Jika ujian saringan positif, ujian pengesahan seperti ujian penindasan deksametason semalaman (dexamethasone suppression test) perlu dilakukan. Pengukuran paras ACTH dalam darah juga akan dilakukan bagi membantu menentukan punca rembesan kortisol yang tinggi.

·        Ujian imbasan imejan

Ujian pengimejan seperti MRI dan CT scan juga diperlukan untuk melihat keadaan kelenjar pituitari atau adrenal jika terdapat ketumbuhan atau kanser yang menjadi punca rembesan kortisol yang berlebihan.

Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa tafsiran ujian ini harus dilakukan oleh ahli profesional penjagaan kesihatan yang berpengalaman dalam menguruskan sindrom Cushing. Ini kerana diagnosis boleh menjadi rumit dan memerlukan pertimbangan yang teliti terhadap konteks klinikal dan keputusan ujian.

Rawatan

Rawatan bagi Sindrom Cushing bergantung kepada punca sindrom tersebut:

·        Punca Luaran: Biasanya melibatkan pengurangan dos steroid secara berperingkat atau menggunakan alternatif rawatan lain jika mungkin. Pengurangan dos steroid secara berperingkat adalah penting bagi mengelakkan paras kortisol menurun secara mendadak selain memastikan badan pesakit dapat menyesuaikan diri terhadap perubahan yang berlaku.

·        Punca Dalaman: Boleh melibatkan pembedahan untuk membuang tumor, terapi radiasi, atau pengurusan lain yang ditentukan oleh pakar endokrinologi.

Prognosis dan Pengurusan Jangka Panjang

Dengan rawatan yang betul, kebanyakan individu dengan Sindrom Cushing mempunyai harapan yang cerah untuk pulih. Walau bagaimanapun, pengurusan jangka panjang diperlukan untuk memantau tahap hormon dan mencegah komplikasi jangka panjang seperti osteoporosis atau penyakit kardiovaskular.

 

Kesimpulan

Sindrom Cushing adalah keadaan endokrin yang kompleks yang disebabkan oleh pengeluaran kortisol yang berlebihan dalam badan. Pemahaman tentang punca, gejala, prosedur pengesanan, dan pilihan rawatan adalah penting untuk pengurusan dan pemulihan kesihatan individu yang mengalaminya.



SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
Scroll to Top