Community

‘Wake Up Tioman!’: Tanggungjawab Sosial Peserta Sangkutan ‘CEO@Faculty’

Published : 28 July 2023

Image 1, Aktiviti pembersihan botol kaca
TIOMAN ISLAND, July 20 2023 -

Peserta CEO@Faculty dari USM

Sekumpulan peserta program sangkutan ‘CEO@Faculty’ 2022/2023 Fasa 1 di bawah anjuran Kementerian Pengajian Tinggi telah berjaya mengembleng tenaga bagi menganjurkan program tanggungjawab sosial universiti ‘Wake Up Tioman!’. Program ini telah berlangsung pada 20 hingga 22 Julai di Kampung Tekek, Pulau Tioman. Program ini turut dijayakan dengan kerjasama Reef Check Malaysia, Lembaga Pembangunan Tioman, Pertubuhan Peladang, Yayasan Universiti Multimedia, Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek, Sekolah Kebangsaan Tekek, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.


Tema program ini ialah ‘Mitigating Climate Change Through Social Innovation’. Antara pengisian program termasuklah aktiviti ‘Coral Restoration’ atau pemulihan terumbu karang, kesedaran berkaitan perubahan iklim, dan pengurusan sisa. Antara pensyarah USM yang terlibat dalam projek ‘Coral Restoration’ ialah Profesor Madya Dr Noorfatimah Yahaya dan Profesor Madya Dr Fatanah Mohamad Suhaimi yang merupakan pensyarah dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), serta Dr Mohd Noor Azim Ab Patar dari Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP).

Aktiviti pembersihan botol kaca

Proses pengisaran botol kaca

Projek CSR ini melibatkan seramai 30 pensyarah dan pegawai dari 9 universiti di seluruh Malaysia, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Projek ini turut mendapat penajaan terkemuka daripada Yayasan Telekom Malaysia dan Malaysia Rail Link.

Menurut Dr Noorfatimah, inisiatif ‘Pemulihan Terumbu Karang’ ini adalah bertujuan untuk mengekalkan pemuliharaan, pemulihan dan pengurusan lestari terumbu karang di Pulau Tioman. Inisiatif dan objektif projek ini adalah selaras dengan visi Draf Rancangan Kawasan Khas Gugusan Pulau Tioman, Pahang 2030. Objektif projek ini adalah untuk memulihkan terumbu karang yang rosak di sekitar Pulau Tioman dengan menanam semula karang dan mewujudkan terumbu baru yang dikhaskan untuk tujuan perlancongan dan perlindungan pantai. Harapan kepada projek ini adalah untuk mengembalikan keseimbangan ekologi ekosistem marin, menyediakan tempat pembiakan dan makanan bagi organisma marin, dan memelihara biodiversiti kawasan ini.

Proses penyediaan blok simen

Penyediaan penyokong terumbu karang

Antara kaedah inovatif yang digunapakai dalam projek ini adalah pendekatan ‘ekosistem-mini’ dengan penggunaan bahan seperti blok simen dan botol kaca lama yang terbuang sebagai penyokong terumbu karang yang akan ditanam. Botol kaca lama yang terbuang dikumpulkan di suatu kawasan khas untuk proses pengisaran. Ini juga sedikit sebanyak dapat membantu mengawal dan menguruskan bahan kitar semula di Pulau Tioman.

Sebahagian peserta CEO@Faculty bagi projek 'Coral Restoration'

Selain itu, Dr Fatanah turut menjelaskan bahawa aktiviti pemulihan terumbu karang itu diharapkan dapat memberi kesedaran dan membantu penduduk sekitar untuk meneruskan aktiviti pemeliharaan terumbu karang dan seterusnya mengurangkan ancaman terhadap terumbu karang. Pendidikan berterusan dan program kesedaran yang melibatkan komuniti tempatan dan masyarakat awam dalam projek pemulihan ini dapat meningkatkan kejayaan jangka panjang bagi usaha kecil ini.

Semoga dengan usaha-usaha seperti ini dapat menyumbang kepada pemulihan terumbu karang di jangka masa panjang dan menjadi sinar harapan dan inspirasi bagi usaha-usaha pemuliharaan terumbu karang di Malaysia dan peringkat global.

Oleh: Prof. Madya Dr Fatanah Mohamad Suhaimi & Prof. Madya Dr Noorfatimah Yahaya



SDG 4 - Ensure inclusive and equitable quality education and promote lifelong learning opportunities for all
SDG 11 - Make cities and human settlements inclusive, safe, resilient and sustainable
SDG 13 - Take urgent action to combat climate change and its impacts
SDG 14 - Conserve and sustainably use the oceans, seas and marine resources for sustainable development
SDG 17 - Strengthen the means of implementation and revitalize the Global Partnership for Sustainable Development
Scroll to Top