PUSAT PERUBATAN USM BERTAM, December 20 2024 -
Institut Perubatan Pergigian dan Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) telah menganjurkan Majlis Perasmian Minggu Kelestarian yang berlangsung di Lobi Utama PPUSMB. Minggu Kelestarian ini berlangsung selama seminggu iaitu bermula 16 sehingga 20 Disember 2024 dengan objektif utama program adalah untuk meningkatkan kesedaran warga IPPT, PPUSMB dan USM, serta komuniti setempat terhadap kepentingan biodiversiti, aktiviti kelestarian, penjagaan alam sekitar dan pengurusan sisa. Di samping menggalakkan warga USM dan komuniti setempat mengamalkan konsep pengasingan sisa sekaligus untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan warga USM termasuk warga komuniti setempat dalam aktiviti pengurangan sisa.
Photo By NORIZAN ISHAK
MAJLIS PERASMIAN MINGGU KELESTARIAN 2024
Majlis Perasmian dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah IPPT dan PPUSMB, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin. Pengarah IPPT dan PPUSMB merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh Jawatankuasa Kerja Minggu Kelestarian yang telah bekerja keras untuk menjayakan program yang diadakan sepanjang minggu ini.
Photo By NORIZAN ISHAK
MAJLIS PERASMIAN MINGGU KELESTARIAN 2024
Bakiah Shaharuddin dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah institusi perubatan, pendidikan dan penyelidikan, IPPT dan PPUSMB sentiasa menyokong penuh visi USM untuk menjadi sebuah institusi yang menerajui agenda kelestarian.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian IPPT dan PPUSMB sepanjang tahun ini dalam melaksanakan pelbagai program kelestarian, seperti Jualan Lestari, Program Kitar Semula, Lawatan Lestari, serta usaha pengurangan penggunaan plastik sekali guna di mana secara tidak langsung kesemua aktiviti ini adalah bukti bahawa usaha kecil, apabila digabungkan mampu memberi impak besar kepada kelangsungan alam sekitar.
Photo By NORIZAN ISHAK
MAJLIS PERASMIAN MINGGU KELESTARIAN 2024
Sebagai Pengarah IPPT dan PPUSMB, saya ingin menegaskan bahawa kami akan terus memberikan sokongan penuh terhadap program-program kelestarian di institut ini. Komitmen ini tidak hanya terhenti di sini tetapi akan diperkukuhkan melalui lebih banyak inisiatif di masa hadapan”, tambah beliau. Beliau menyeru semua warga IPPT dan PPUSMB untuk terus berganding bahu dalam memastikan kelestarian menjadi budaya dan amalan harian. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada En. Mohd Fazian Mohd Noordin, Pusat Media dan Perhubungan Awam IPPT atas inisiatifnya dalam menggubah lirik dan lagu Montaj Kelestarian IPPT dan PPUSMB untuk menyemarakkan lagi semangat kelestarian warga IPPT dan PPUSMB.
Photo By NORIZAN ISHAK
MAJLIS PERASMIAN MINGGU KELESTARIAN 2024
Dengan tema ‘Budayakan amalan kelestarian demi kesejahteraan warga USM’, Majlis Perasmian Minggu Kelestarian ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc. Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, USM sentiasa meletakkan komitmen tinggi dan berterusan terhadap penerapan kelestarian dalam pelbagai aspek yang akan menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang diiktiraf di peringkat global dan pelbagai usaha seperti pengurangan penggunaan plastik, pengurusan sisa yang lestari, penjimatan tenaga, pelaksanaan pelbagai program kesedaran alam sekitar dan program Jualan Lestari giat dijalankan secara berkala dalam usaha untuk mengamalkan konsep 5R iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Recycle dan Repurpose.
Photo By NORIZAN ISHAK
MAJLIS PERASMIAN MINGGU KELESTARIAN 2024
Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa sehingga hari ini, IPPT dan PPUSMB telah berjaya mengumpul sejumlah 1.7 tan kertas dan kotak serta 1.5 tan pakaian terpakai telah berjaya dikumpulkan melalui program Jualan Lestari, dengan lebih RM 3,700 dana terkumpul yang akan digunakan untuk menyokong aktiviti kelestarian di IPPT dan PPUSMB.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak IPPT dan PPUSMB atas penarafan 5 daun Pejabat Hijau USM 2024 yang diterima baru-baru ini.
“Tahniah dan syabas juga kepada pasukan Aplikasi IT@AMDI atas pembangunan Sistem EcoSustain, sebuah platform yang mempermudahkan pelaksanaan, pemantauan dan perekodan aktivit-aktiviti kelestarian seperti pengurusan bahan kitar semula dan e-waste. Saya bangga kerana IPPT dan PPUSMB bukan sahaja memberikan sumbangan dalam bidang kesihatan, penyelidikan dan pendidikan, tetapi turut menjadi peneraju dalam aspek kelestarian”, katanya.
Dato’ Seri Naib Canselor Universiti Sains Malaysia turut melancarkan aplikasi EcoSustain selepas menonton tayangan Montaj Aktiviti Kelestarian IPPT dan PPUSMB.
Sesi penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Kempen ‘No Single-Use Plastic’ turut diberikan semasa Majlis Perasmian ini berlangsung.
Kemuncak Majlis adalah semasa sesi penanaman 5 anak pokok sebagai Gimik Perasmian Minggu Kelestarian IPPT dan PPUSMB.
Photo By NORIZAN ISHAK
MAJLIS PERASMIAN MINGGU KELESTARIAN 2024
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc. turut meluangkan masa melawat Unit Onkologi & Radioterapi yang baru menerima alatan fizik, sistem "Integral Quality Monitor (IQM)" yang pertama di Asia Tenggara. Alat ini digunakan bagi ujian jaminan kualiti modaliti pemecut linear, LINAC serta verifikasi dos yang tepat kepada pesakit kanser yang mendapatkan rawatan di sini.
Beliau turut membuat lawatan ke Unit Perubatan Nuklear untuk melihat mesin “Positron Emission Tomography With Computed Tomography” atau lebih dikenali sebagai mesin “PET-CT” yang pertama di pasang di USM.
PET-CT merupakan modaliti pengimejan kuantitatif yang utama dalam Perkhidmatan Perubatan Nuklear. Penggunaannya meliputi perkhidmatan klinikal, akademik dan penyelidikan. PET-CT adalah teknologi terkini yang lebih tepat berbanding dengan pengimejan yang lain terutamanya untuk pesakit onkologi bagi menentukan 'cancer staging', 'response to therapy' dan 'surveillance'. Sebagai satu-satunya universiti yang menawarkan program Sarjana Perubatan (Perubatan Nuklear), sudah pasti PET-CT adalah alat yang perlu ada untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, perkhidmatan PET-CT amat diperlukan bagi tujuan penyelidikan dalam pelbagai bidang sebagai pusat onkologi yang terulung di negara ini seiring dengan visi dan misi PPUSMB/IPPT.
Turut berlangsung semasa Majlis Perasmian adalah sesi ceramah kelestarian yang disampaikan oleh Timbalan Penyelaras II, Unit Kelestarian Kampus mewakili Penyelaras Unit Kelestarian Kampus Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Encik Ahmad Wafi Sahedan.
Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Kampus, dan Pengerusi Jawatankuasa Minggu Kelestarian Peringkat IPPT dan PPUSMB 2024, Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, Pegawai-pegawai Utama IPPT dan PPUSMB, Pegawai-pegawai Kelestarian dan warga kerja IPPT dan PPUSMB.
Teks disediakan oleh: Nur Aqilah Tajul Ashikin & Sharifah Fawziah Al-Gadri Syed Mahdzor
Teks disunting oleh: Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
20 Disember 2024