Community

IPPT USM Lancar Tabung Paliatif Di Majlis Jamuan Hari Raya IPPT

Published : 20 May 2022

Dato' Seri Awang Adek menandatangi plak di Majlis Pelancaran Tabung Paliatif
SAINS@BERTAM, May 20 2022 -
Majlis Pelancaran Tabung Pembinaan Bangunan Paliatif Institut Perubatan Dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin dalam majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di IPPT hari ini.

Perancangan pembinaan bangunan paliatif ini adalah sejajar dengan saranan World Health Organization (WHO) untuk memperbaiki akses kepada usaha perawatan paliatif sebagai komponen asas sistem kesihatan. 



“Saya secara peribadi amat menyokong inisiatif Unit Paliatif IPPT untuk memulakan kutipan dana bagi projek pembinaan bangunan paliatif. Besarlah harapan saya agar projek ini akan mencapai kejayaan sepertimana yang dirancang,” ujar beliau.

Selain itu juga, kemeriahan majlis jamuan Hari Raya IPPT ini ditambah dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan sendiri serta mengiringi beliau, Pengarah IPPT, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin, Dr. Noor Khairiah A. Karim dan pegawai-pegawai jawatankuasa Pengurusan Tertinggi USM dan IPPT.

Objektif utama majlis pelancaran tabung ini dijalankan adalah untuk menumpukan kepada perawatan paliatif bagi meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan pesakit yang menghadapi penyakit serius dan tiada harapan sembuh, membantu meringankan beban sistem kesihatan terhadap penjagaan pesakit paliatif dengan menyediakan ruang khas rawatan dan memberi sokongan dan bimbingan kepada ahli keluarga.



“Pendekatan holistik yang diamalkan oleh perubatan paliatif dapat memastikan sokongan dan persediaan kepada pesakit dan juga ahli keluarga untuk menghadapi simptom dan komplikasi yang akan berlaku sehingga ke akhir hayat mereka,” kata Faisal Rafiq.

Dalam majlis pelancaran tabung ini juga pihak IPPT telah menerima sumbangan dari wakil En Nashirul Mohd Zain, Setiausaha Pertubuhan Pengurusan Jenazah Islam, Hospital Pulau Pinang sebanyak RM 10,000 (Bilik Jenazah), Puan Norina Aziz, Pengurus I-Care Shop - Badan Sokongan Pesakit Kanser sebanyak RM 10, 000 (Bilik Menunggu, Pantri Pesakit dan Famili) dan Puan Zuraini Kamal, Pengerusi Pertubuhan Cancer Survivors Malaysia sebanyak RM 10 000 (Alatan Perubatan).

Perkhidmatan Paliatif ini juga dilihat dapat membuka peluang untuk menjalin kerjasama di antara IPPT dan badan kebajikan, pertubuhan sosial yang terlibat dalam aktiviti sokongan pesakit kanser dan paliatif, syarikat swasta, badan bukan kerajaan, dan juga pasukan perubatan paliatif KKM.



"Marilah kita menyokong usaha murni ini dan menghebahkan kutipan sumbangan dana untuk pembinaan bangunan paliatif IPPT USM demi mewujudkan sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih holistik dan bersepadu," ujar Tunku Kamarul Zaman.

Kos keseluruhan pembinaan bangunan paliatif ini bernilai RM 2.5 juta, bagi bangunan yang berukuran 6,900 kaki persegi dan mempunyai 10 buah bilik.

Seterusnya, perkhidmatan yang disediakan adalah bilik- bilik yang selesa untuk menempatkan pesakit dan ahli keluarga, pegawai dan pakar perubatan, klinik paliatif, bilik prosedur, dewan aktiviti berkaitan paliatif bersama keluarga pesakit dan lain-lain lagi.


Teks: Mahirah Mahyidin/Foto: Norizan Ishak
Scroll to Top