Collaboration

Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Kepada Peraturan Usechh 2000 Dan Pendedahan Bising 2019 Oleh Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) Pulau Pinang Di IPPT

Published : 20 February 2023

Wakil OSHE IPPT dan Wakil Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang
KOMPLEKS PENYELIDIKAN HAIWAN, February 16 2023 -

Seksyen Makmal Penyelidikan Berpusat (CRL) telah menerima lawatan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang pada 16 Februari 2023 lalu. Pihak DOSH Pulau Pinang yang diketuai oleh Pn. Rusnah binti Nanyan tiba di Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC) pada pukul 10:15 pagi dan disambut oleh Dr. Maisarah Nasution Waras, Ketua Unit OSHE IPPT.

Lawatan dimulakan di Bilik Seminar ARC dengan Dr. Maisarah memberikan taklimat ringkas berkenaan pengungsian bangunan kepada semua tetamu dan staf yang hadir dan diteruskan dengan taklimat pengenalan tentang pengurusan dan fungsi Seksyen Makmal Penyelidikan Berpusat oleh En. Mohd Basir Selvam Abdullah selaku Ketua Seksyen yang juga mewakili Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan. Antara yang hadir ke taklimat ini adalah semua Pengurus Makmal di CRL, CDL dan Staf Seksyen Kejuruteraan IPPT. Turut hadir bersama juga adalah staf dan wakil dari UKKP Kampus Induk.

Setelah selesai sesi taklimat, pihak DOSH Pulau Pinang dibawa melawat ke Makmal CRL 1, Makmal CRL 2, Stor Kimia Berpusat dan Bilik GENSET. Lawatan penguatkuasaan DOSH Pulau Pinang pada kali ini adalah untuk melaksanakan penguatkuasan dan pematuhan kepada peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan iaitu  Peraturan Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan (USECHH 2000) dan Pendedahan Bising (2019).  Ketika sesi lawatan dijalankan, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan oleh pihak DOSH Pulau Pinang kepada Pengurus-pengurus makmal agar dapat memantapkan lagi pematuhan kepada akta dan peraturan keselamatan dan kesihatan perkerjaan (KKP) serta pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di semua makmal di IPPT.

Secara keseluruhannya, pihak DOSH Pulau Pinang berpuas hati dengan tahap pematuhan peraturan-peraturan USECHH 2000 dan Pendedahan Bising 2019 dan berharap agar amalan ini dapat dimantapkan lagi pada masa akan datang.

Nota: Unit OSHE IPPT daripada Pejabat Pengarah IPPT ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak pengurusan CRL dan Seksyen Kejuruteraan serta semua pihak yang terlibat  atas kerjasama yang diberikan dalam sesi lawatan DOSH pada kali ini. Semoga semangat yang ditunjukkan dapat memacu IPPT untuk mencapai visi dalam menjadikan IPPT sebagai tempat kerja yang selamat dan sihat serta kondusif untuk semua pekerja dan pelajar.

Teks oleh: Azleen Binti Mat Sharif (CRL), Norhiman Ahmad (CRL & Unit OSHE IPPT) dan Dr Maisarah Nasution Waras (Unit OSHE IPPT)

Scroll to Top