Achievement

Program Kenali Masalah Kesihatan Gender bersama Remaja Sekolah

Published : 14 August 2023

Image 1, Foto Kenangan bersama Pelajar SMK Dato' Onn di dalam Program Mengenal Kesihatan Gender
SMK DATO' ONN, July 26 2023 -

        Jabatan Kesihatan Komuniti, Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT) telah dijemput sekali lagi oleh pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Onn untuk menyampaikan topik baru berkaitan masalah kesihatan gender yang telah menimbulkan pelbagai reaksi dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat terutamanya remaja.

        Objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan dan informasi kepada golongan remaja sekolah berkaitan masalah kesihatan berkaitan gender dan impaknya dari segi perubatan. Program ini telah disertai oleh empat pensyarah di IPPT, diketuai oleh Dr. Eva Nabiha Zamri (Pensyarah bidang Kesihatan Komuniti) bersama-sama Dr. Nur Arzuar Abdul Rahim (Pakar Pediatrik), Dr. Mohd Afifuddin Ahmad (Pensyarah bidang Psikospiritual), Dr. Husnaida Abdul Manan@Sulong (Pensyarah Anatomi) dan Pegawai Agama Pusat Islam Universiti Sains Malaysia, Dr. Muhammad Lattifi bin Mahadzir telah menjadi fasilitator program.

        Seramai 80 orang pelajar yang terdiri daripada tingkatan 1 sehingga tingkatan 5 telah menyertai program yang berlangsung di Dewan An-Najah dan Pusat Sumber sekolah. Setiap pelajar dibahagikan kepada kumpulan kecil dan bergerak dalam satu pusingan. Pada setiap stesen, terdapat topik yang berbeza yang disampaikan oleh fasilitator. Program juga turut dibantu oleh Jururawat Puan Firdaus Farhani Abu Bakar dan Jururawat Puan Azizah Ismail dari Klinik Pakar Perunding Pusat Perubatan USM Bertam. Pendekatan perbincangan kumpulan kecil yang berfokus ini telah memberi peluang kepada setiap peserta bersoal-jawab secara terus dengan fasilitator. Ia merupakan suatu metod yang efektif bagi mendekati jiwa remaja sekolah.

 

Stesen 1: Psikospiritual remaja dalam menghadapi zaman media-sosial turut  dikupas oleh Dr. Muhamad Latiffi Mahadzir dan Dr. Mohd Afifuddin Mohamad

Stesen ini memberi tumpuan kepada psikospiritual pada diri remaja lelaki dan remaja perempuan dan ianya amat penting dalam pembinaan sahsiah dan moral pelajar.

Stesen 2: Implikasi kesihatan remaja dan penyakit berjangkit di bincangkan oleh fasilitator Dr. Eva Nabiha Zamri

Stesen ini mengupas isu-isu dan memberi pendedahan berkaitan penyakit berjangkit yang perlu diberi perhatian oleh remaja lelaki dan remaja perempuan.

Stesen 3: Kenali anatomi anda telah disampaikan oleh Dr. Husnaida Abdul Manan@Sulong

 Stesen ini memberi peluang pelajar mempelajari istilah-istilah perubatan dan maklumat ringkas berkaitan perkembangan organ remaja lelaki dan remaja perempuan.

Stesen 4: Perkembangan akil baligh dan perubahan kematangan remaja lelaki dan remaja perempuan diulas oleh fasilitator Dr. Nur Arzuar bin Abdul Rahim

Melalui stesen ini, para pelajar berpeluang memahami lebih mendalam berkaitan perkembangan akil baligh, perubahan kematangan remaja lelaki dan remaja perempuan serta perkara-perkara yang perlu diberi perhatian berkaitan masalah perubatan. Setiap kumpulan perlu meluangkan masa selama 30 minit di setiap stesen sebelum bergerak ke stesen seterusnya. Sesi soal jawab dan kuiz diadakan pada 5 minit terakhir sebelum mereka bergerak ke stesen berikutnya.


Di akhir program, pelajar telah mengisi borang maklum balas program. Berikut adalah hasil analisa dari maklum balas yang telah diberikan oleh para pelajar.

  • Majoriti peserta (80%) telah memberi rating keseluruhan baik dan sangat baik bagi penganjuran program ini.
  • Pihak urusetia juga menerima cadangan untuk diselitkan aktiviti berpasukan semasa perbincangan bersama fasilitator di stesen. Di samping itu ada yang mencadangkan agar tempoh masa dipanjangkan pada setiap stesen.

      Hasil post-mortem program dalam kalangan fasilitator pula mencadangkan agar setiap stesen di adakan di dalam kelas yang berasingan, akan mengurangkan risiko kebisingan berbanding diadakan di dalam dewan. Mini pameran atau persembahan audio visual juga boleh diadakan bagi menarik minat pelajar. 

        Secara keseluruhan, program ini telah berjalan dengan baik dengan objektif tercapai. Pihak Jabatan Kesihatan Komuniti ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Cikgu Abdul Rahman bin Ishak, Penolong Kanan Pentadbiran, dan Cikgu Mariatul Kebtieah bt Nawawi, Kaunselor SMK Dato' Onn di atas jemputan bagi menjayakan program ini.

Teks Disediakan oleh : Dr Eva Nabiha Zamri






SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
SDG 4 - Ensure inclusive and equitable quality education and promote lifelong learning opportunities for all
SDG 17 - Strengthen the means of implementation and revitalize the Global Partnership for Sustainable Development
Scroll to Top