TOWNHALL PENGARAH 2024
Auditorium SAINS@BERTAM, May 31 2024 -

KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 31 Mei 2024: “BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN SAMA DIJINJING” tajuk utama perutusan sempena Majlis Townhall Pengarah 2024 pada hari ini bertujuan untuk menyampaikan perkembangan terkini IPPT dan PPUSB, strategi serta amanat daripada Pengarah kepada semua warga staf bagi meletakkan sasaran dalam mendepani cabaran semasa sebagai sebuah institusi.
Majlis yang berlangsung di Auditorium Sains@Bertam ini dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Fitri Amidi Ahmad dan seterusnya ucapan Perutusan Pengarah oleh YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan selaku Pengarah Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) membahaskan perkembangan dan cabaran USM@Bertam 2024 – 2025.


                                                                                                                                                                                        Photo By NORIZAN ISHAK
                                                                                                                                                                                     TOWNHALL PENGARAH 2024                                                                                                                                                                                                                                                                                   

Faisal Rafiq dalam perutusannya berkata, IPPT dan PPUSMB kini telah dikenali ramai dan menjadi tumpuan. Untuk itu, pelbagai perancangan pembangunan fizikal, inisiatif atau program telah dirangka dan bakal dilaksanakan di USM@Bertam bagi tahun 2024 sehingga 2025 bagi menampung keperluan seiring dengan perkembangan institusi ini.
Antara topik utama yang dibahaskan adalah mengenai pembangunan fizikal melalui peruntukan RMK12 yang perlu dilaksanakan segera iaitu wad tambahan 20 katil, peralatan klinikal, tangki air 1.5ML, dapur sepusat, 25 wad onkologi, dan RM30 juta lebih untuk peralatan.


Selain itu, Faisal Rafiq turut menyeru pihak Pengurusan IPPT dan PPUSMB supaya persediaan untuk RMK13 mengambilkira maklumbalas staf dari pelbagai kategori supaya dapat memberikan input yang luas terhadap keperluan pembangunan di IPPT dan PPUSMB.
Antara lain yang menjadi agenda pembangunan utama tahun 2024 – 2025 menggunakan lain-lain peruntukan adalah menyediakan Pusat Transit Rehab, Pusat Perubatan Intergratif, surau, pusat paliatif, sukan  (padang dan gym), solar dan pusat dialisis.
Manakala antara Inisiatif/Program yang dalam perhatian adalah program USM+1 pre-klinikal (15 pelajar), program sarjana, peningkatan pesakit, dana melalui perkhidmatan (MRI), PERKESO-USM, latihan dan pendedahan staf, pokok dan lanskap, program kebajikan staf, PPUSMB dan panel insurans, serta pelan induk pembangunan USM@Bertam.


Seiring dengan perkembangan ini, antara cabaran utama yang perlu didepani bersama adalah isu-isu berkaitan dengan banyak aktiviti yang berlaku serentak yang mana memerlukan koordinasi dan keterlibatan semua (PPUSMB, IPPT, Perolehan, JPPF, PPKT, JK, EHS), kenaikan mendadak jumlah pesakit dari pelbagai latarbelakang dengan jangkaan lebih tinggi (higher expectations) terhadap perhubungan awam dan khidmat pelanggan, adab dan profesionalisma staf. Antara lain seperti penjanaan kewangan berterusan dan pengurusan kewangan yang cermat melalui EHS, PERKESO,  projek-projek RFP seperti pusat dialisis (ruang penjanaan untuk staf juga).


Selain itu, perlu diberi perhatian adalah keperluan penambahan dan penggantian staf serta impak kenaikan gaji kakitangan. Keperluan UKKP di mana akta baru telah berkuatkuasa, keperluan ruang & dana.  Kenaikan bilangan pelajar pascasiswazah dan pra-siswazah.  Turut diberi perhatian adalah kemajuan kerjaya staf akademik dan bukan akademik.
Bagi mendepani cabaran-cabaran ini, Faisal Rafiq menyeru supaya semua staf bersedia mental dan fizikal, saling bantu-membantu, serta peka akan keperluan semasa dan merancang pelan penggantian, sokongan dan latihan.


“Ini adalah penting untuk mara ke hadapan bagi mencapai sasaran tiga tahun akan datang sebagai Pusat Perubatan, Pusat Penyelidikan, Pusat Perkhidmatan, Pusat Pembelajaran, Kebajikan Staf, Kemajuan Staf dan Kedudukan Kewangan yang stabil”, ujar beliau.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru supaya semua staf berganding bahu kekalkan momentum dan pandangan positif terhadap USM@BERTAM, menjaga nama baik institusi, saling ringan tulang dan tidak berkira, mengamalkan pendekatan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk kemaslahatan semua, peka dengan perkembangan institusi, serta mencari ruang untuk menyumbang dan bekerja secara kolektif.


Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi penyampaian Sijil Hadiah Sanjungan kepada para akademik yang telah mengharumkan nama IPPT dan PPUSMB dalam Kategori Penerbitan Jurnal. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan daripada Pengarah dan seluruh warga Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) serta Pusat Perubatan USM Bertam kepada semua penerima anugerah yang berjaya merangkul Hadiah Sanjugan bagi tahun 2022.
Sijil-sijil disampaikan kepada semua penerima melalui Penulis Utama dan antara penerimanya adalah Dr. Intan Juliana Abd Hamid, Prof. Madya Dr. Norehan Mokhtar, Prof. Madya Ts. Chm. Dr. Noorfatimah Yahaya, Dr. Mohammad Farris Iman Leong Abdullah, Dr. Teoh Soo Huat, Dr. Siti Salmah Noordin, Prof. Madya Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz, Dr. Nik Nur Syazni Nik Mohamed Kamal, Dr. Nur Arzuar Abdul Rahim, Dr. Citartan Marimuthu, Prof. Madya Ts. Chm. Dr. Lim Vuang Hao, Ts. Chm. Dr.Nur Nadhirah Mohamad Zain, Dr. Emmanuel Jairaj Moses, Dr. Nawal Radhiah Abdul Rahman, Dr. Hazwani Ahmad Yusof @ Hanafi, Prof. Madya Dr. Ch'ng Ewe Seng, Prof. Madya Dr. Ahmad Munir Che Muhamed dan Dr. Nurul Shahfiza Noor.
Faisal Rafiq kemudiaanya mengakhiri majlis ini dengan melancarkan plak Lencana Khidmat Pelanggan PPUSMB sebagai salah satu inisiatif untuk memupuk budaya mesra pelanggan. Seramai 300 orang staf PPUSMB akan menerima lencana ini dalam masa terdekat.
Antara yang hadir sama ke majlis ialah Timbalan Pengarah Akademik & Antarabangsa, Dr. Ida Shazrina Ismail; Ketua Pejabat Pengarah & Pusat Media dan Perhubungan Awam, Puan Naziroh Shafii dan Ketua Pentadbiran, Encik Yusmadi Norashid dan Ketua-ketua Jabatan.  Majlis turut dipancarkan secara maya melalui platform webex.

                                                                                          Photo By NORIZAN ISHAK
                                                                                         TOWNHALL PENGARAH 2024


                                                                             Photo By NORIZAN ISHAK
                                                                            TOWNHALL PENGARAH 2024

Teks disediakan oleh:  Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Naziroh Shafii
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
31 Mei  2024

Scroll to Top