Community

Projek Kelestarian @ IPPT: Bagaimana Ia Menyokong Konsep 5R dan Ekonomi Kitaran

Published : 10 October 2024

Apa itu Konsep 5R?
PUSAT PERUBATAN USM BERTAM, October 11 2024 -

Apa Itu 5R dan Apa Kepentingannya?

Dalam usaha kita untuk menjaga alam sekitar dan memastikan sumber semula jadi terpelihara untuk generasi akan datang, konsep 5R semakin menjadi keutamaan. 5R adalah langkah mudah yang boleh kita semua ambil untuk menjaga alam sekitar. Ia melibatkan Refuse (Menolak), Reduce (Mengurangkan), Reuse (Menggunakan Semula), Recycle (Kitar Semula), dan Repurpose (Mengubah Suai).

Amalan 5R adalah langkah praktikal untuk mengurangkan sisa dan menjaga kebersihan alam sekitar. Setiap tindakan kecil seperti menggunakan beg pakai semula atau mendermakan pakaian lama boleh memberi kesan besar dalam mengurangkan pencemaran dan pembaziran. Dengan amalan 5R, kita bukan sahaja mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar, tetapi juga memastikan sumber semula jadi dipelihara untuk generasi akan datang.

 

Photo By Siti Razila Abdul Razak
Apa itu Konsep 5R?

Bagaimana Aktiviti 5R Membantu Ekonomi Pekeliling?

Ekonomi Pekeliling atau Circular Economy adalah model ekonomi yang memanjangkan jangka hayat produk dan bahan dengan memastikan ia terus bernilai dan digunakan semula. Ini berbeza dengan ekonomi linear yang berprinsipkan beli, guna dan buang selepas digunakan. Melalui ekonomi pekeliling, barangan dikitar semula, diubah suai, atau digunakan kembali bagi mengelakkan pembaziran dan mengurangkan keperluan menghasilkan produk baharu.

Ekonomi pekeliling berusaha memaksimumkan penggunaan sumber dengan mengitar semula dan menggunakan semula bahan, sambil mengurangkan pembaziran. Ini tidak sahaja menyokong kelestarian alam sekitar, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu dengan mengubah sisa menjadi produk yang berguna. Walaupun begitu, menggalakkan masyarakat mengurangkan pembelian barangan baharu mungkin mencabar kerana keperluan psikologi dan sosial yang berbeza. Namun, hal ini boleh diatasi dengan program pengajaran dan pembelajaran yang mendorong masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih mampan.


Photo By Siti Razila Abdul Razak
Konsep 5R yang menyokong aktiviti 'reuse' dan 'reduce'
 
Aktiviti Sokongan Kelestarian dan Ekonomi Pekeliling di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM
Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kelestarian, IPPT telah melaksanakan pelbagai aktiviti yang menyokong 5R dan ekonomi pekeliling. Antara program yang telah berjaya dijalankan adalah pengumpulan dan penjualan semula pakaian dan barangan terpakai. Program ini telah dilaksanakan pada 25 Mac hingga 4 April 2024 bertempat di Foyer Pusat Perubatan USM Bertam. Sambutan daripada komuniti amat menggalakkan, dan ia berjaya menyokong aktiviti 5R melalui pengumpulan hampir setengah tan fabrik. Pakaian dan barangan terpakai yang dikumpulkan telah dijual semula, manakala yang tidak berkeadaan baik akan dihantar untuk dikitar semula. Keuntungan yang diperoleh daripada program ini akan digunakan sepenuhnya bagi menyokong aktiviti kelestarian di IPPT, USM.


  

Photo By Unit Kelestarian IPPT
Poster Jualan Lestari dan sokongan komuniti setempat terhadap program Jualan Lestari.

Selain menyokong ekonomi pekeliling, program Jualan Lestari ini juga bertujuan untuk meningkatkan akses kepada barangan mampu milik, mengurangkan ketidaksamaan ekonomi, serta memperkukuh kesepaduan komuniti. Projek ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti mengurangkan ketidaksamaan ekonomi (SDG 10), membina komuniti mampan (SDG 11), mempromosikan penggunaan bertanggungjawab (SDG 12), dan mengurangkan kesan negatif ke atas laut (SDG 14) serta ekosistem darat (SDG 15), sambil memupuk keadilan dan etika dalam transaksi (SDG 16).

Photo By Noor 'Akidah Binti Ubaidillah
Poster Projek Pengumpulan Baju Terpakai dan Barangan Fabrik

Meneruskan kejayaan program ini, IPPT akan mengadakan program seumpamanya sepanjang Oktober ini di Sains@Bertam, IPPT, USM, dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Sains & Kejuruteraan (SERC), Kampus Kejuruteraan, USM. Sokongan daripada warga USM dan komuniti setempat melalui sumbangan pakaian dan fabrik yang tidak digunakan lagi adalah sangat diharapkan. Setiap usaha kecil seperti ini membantu menyokong ekonomi pekeliling dan menjaga alam sekitar untuk masa depan yang lebih hijau. Aktiviti pengumpulan barangan terpakai fasa 2 akan diadakan sepanjang bulan Oktober 2024 dan maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi Dr Siti Razila (sitirazila@usm.my) dan Pn Noor Akidah (noure@usm.my).

Photo By Unit Kelestarian IPPT & PPUSMB
Logo rasmi Unit Kelestarian IPPT & PPUSMB


SDG 11 - Make cities and human settlements inclusive, safe, resilient and sustainable
SDG 12 - Ensure sustainable consumption and production patterns
SDG 14 - Conserve and sustainably use the oceans, seas and marine resources for sustainable development
SDG 15 - Protect, restore and promote sustainable use of terrestrial ecosystems, sustainably manage forests, combat desertification, and halt and reverse land degradation and halt biodiversity loss
SDG 16 - Promote peaceful and inclusive societies for sustainable development, provide access to justice for all and build effective, accountable and inclusive institutions at all levels
Scroll to Top