Community

Program Sekolah Sihat, Aktif, Segak (PROSAS): Inisiatif inovasi sosial IPPT bersama komuniti dalam memerangi obesiti kanak-kanak

Published : 09 November 2022

Medium digital PROSAS
SEKOLAH KEBANGSAAN BERTAM INDAH, SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI, KEPALA BATAS, PULAU PINANG., June 30 2022 -
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2019 melaporkan bahawa sebanyak 15% daripada kanak-kanak di Malaysia adalah obes dan peratusan obesiti adalah paling tinggi dalam kalangan mereka yang berumur lima hingga 14 tahun. Tahun 2020 menyaksikan dimana Malaysia dan seluruh dunia telah berhadapan dengan pandemik COVID-19. Antara sektor yang paling terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 ialah sektor pendidikan negara yang mana kita menyaksikan sesi persekolahan beberapa kali ditangguhkan dan diteruskan menggunakan kaedah atas talian. Sewaktu tempoh dua tahun pandemik ini, sekalipun sesi persekolahan telah dimulakan secara fizikal, namun aktiviti fizikal luar kelas seperti ko-kurikulum, sukan atau Pendidikan Jasmani masih tidak dapat dianjurkan atas faktor keselamatan. Kurang aktiviti fizikal yang berterusan dalam kalangan kanak-kanak ini dikhuatiri akan meningkatkan risiko pelajar kepada risiko obesiti dan komplikasi kesihatan yang lain.



    Atas kesedaran ini, pada tahun 2021, seramai lapan orang ahli akademik di bawah Jabatan Kesihatan Komuniti, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia (Prof. Madya Dr Ahmad Munir Che Mohamed, Dr Hazwani Ahmad Yusof, Dr Rohayu Hami, Dr Noor Mastura Mohd Mujar, Dr Nurdiana Zainol Abidin, Dr Nurul 'Ain Azizan, Dr Nurul Izzah Shari dan Dr Noorsuzana Mohd Shariff (Ketua Projek)) berasa terpanggil untuk menghasilkan satu inovasi sosial melalui pendekatan digital dengan komuniti sekolah tentang amalan gaya hidup sihat yang menekankan kepada aspek pendidikan kesihatan. Projek Libatsama Universiti-Komuniti yang dikenali dengan nama Program Sekolah Sihat, Aktif, Segak (PROSAS) ini telah ditaja oleh Bahagian Jaringan Industri  dan Masyarakat, Universiti Sains Malaysia pada tahun 2021 dan telah berjalan bermula 1 Julai 2021 hingga 30 Jun 2022. PROSAS mengetengahkan empat elemen utama iaitu pemerkasaan guru Pendidikan Jasmani selaku guru sihat PROSAS, penghasilan modul PROSAS, penggunaan kit gaya hidup sihat PROSAS dan aktiviti pencegahan obesiti eksklusif 8-minggu mengikut tema dalam kalangan kanak-kanak dengan berat badan berlebihan melalui senaman indoor, pemantauan diet dan psikologi kesihatan menggunakan Diari Sihat PROSAS yang mudah dilakukan di sekolah atau diaplikasikan oleh pelajar di rumah.



     Program PROSAS ini telah menerima sambutan baik daripada kumpulan sasaran iaitu guru-guru, murid-murid dan ibu bapa dari Sekolah Kebangsaan Bertam Indah, sebuah sekolah berprestasi tinggi di Kepala Batas, Pulau Pinang. Selain daripada kumpulan sasaran di Pulau Pinang, program PROSAS ini telah turut disebarluaskan ke penerima manfaat lain di seluruh Malaysia melalui kerjasama rapat bersama program Bukan Soal Kurus Siri 3 yang telah dianjurkan oleh Pertubuhan Pencegahan Obesiti Dewasa dan Kanak-Kanak Malaysia yang diasaskan oleh jurulatih kecergasan selebriti Malaysia, saudara Kevin Zahri. Hasil program pendidikan kesihatan secara digital ini menyaksikan seramai 40% daripada peserta PROSAS telah berjaya menurunkan berat badan di akhir program. Program PROSAS ini akan diteruskan kesinambungannya disesuaikan dengan keadaan semasa pandemik di Malaysia dan diharapkan mampu memperbaiki tahap kesihatan dan kualiti hidup komuniti setempat dalam jangka masa panjang. 

 


Scroll to Top