Pengalaman mendaki gunung berapi Bromo dan melihat pemandangan matahari terbit dinihari oleh sekumpulan pelajar Program Mobiliti Kepakaran Perubatan Transfusi, IPPT ke Surabaya adalah suatu yang amat sukar dilupakan. Aktiviti ini merupakan antara ‘bucket list’ yang dirancang sepanjang kami berada di Surabaya, Indonesia yang bermula 3 Disember sehingga 9 Disember 2023 yang lepas. Seramai 15 orang pelajar sarjana perubatan (Perubatan Transfusi) dari IPPT diiringi oleh 2 orang pensyarah pengiring telah menyertai lawatan ini. Program mobiliti ini adalah hasil inisiatif “matching grant” diantara Pusat Mobiliti dan Koloborasi Antarabangsa (IMCC) USM bersama IPPT.
Kami mula bergerak dari hotel penginapan di Surabaya ke Bromo lewat tengah malam menaiki van menggunakan pakej yang telah ditempah beserta pemandu pelancong yang akan membawa kami. Pejalanan dari Surabaya ke “check point” Taman Negara Bromo mengambil masa hampir 2 jam menelusuri jalan berbukit yang berlengkok-lengkok di samping cuaca awal pagi yang sejuk. Sampai sahaja kami di “check point” Taman Negara Bromo maka bermulakan pengalaman indah kami. Untuk ke puncak tertinggi bagi melihat pemandangan matahari terbit kami perlu menggunakan kenderaan jeep atau pacuan 4 roda. Kenderaan biasa memang tidak boleh. Kenderaan Jeep ini agak sempit, rendah siling atapnya, hampir boleh terhantuk kepala jika tidak berhati-hati. Pemanduan kenderaan jeep ini juga memerlukan pengalaman dan kemahiran, kerana bukan mudah untuk kami menelusuri kabus tebal yang seolah-olah berjalan di dalam awan. Pada masa yang sama, kelihatan juga lampu-lampu dari kenderaan jeep lain yang berlumba-lumba untuk sampai segera ke puncak. Pengalaman yang sangat mengujakan. Jalan hendak ke puncak ini pula, berlengkok-lengkok macam ular, belum lagi terhenjut-henjut akibat tanah yang tidak rata. Mujur dalam kalangan kami tiada yang muntah-muntah. Sampai di check point puncak kami di sambut oleh pelbagai gerai jualan. Ada yang menjual makanan dan minuman, perkhidmatan sewaan baju sejuk dan jualan sarung tangan pun ada. Yang paling penting, tandas juga disediakan, tapi kena bayarlah. Sempat juga kami mengopi dan makan gorengan yang dijual sementara tunggu solat subuh.
Kenderaan Pacuan 4 roda yang digunakan sepanjang trip Gunung Bromo
Pada tepat jam 5.00 pagi, kelihatan warna kuning kemerahan diufuk menandakan matahari sudah hendak terbit. Ini antara pemandangan matahari terbit yang paling cantik yang pernah kami alami. Kehadiran pelancong tempatan dan luar negara yang ramai di puncak, menyebabkan kami perlu kreatif mencari “spot” yang paling menarik dan selesa untuk bergambar sambil menikmati pemandangan matahari terbit. Pemandangan gunung berapi Bromo dibawah cahaya matahari terbit amatlah indah di tambah pula rezeki kami dapat melihat putihnya awan karpet yang menyelimuti dataran pergunungan Bromo menyebabkan kami terkesima, bagai lukisan yang amat luar biasa. Sebenarnya fenomena awan karpet ini jarang sekali berlaku akibat faktor cuaca dan kehadiran kami ketika itu amatlah bertuah.
Pemandangan matahari terbit disekitar dataran Gunung Berapi Bromo yang sungguh menakjubkan
Kepulan asap dari kawah gunung Bromo yang kelihatan sayup dari lokasi kami ini sungguh cantik. Hati terus berzikir tanda syukur atas kebesaran Ilahi. Jari-jari pula tak lekang mengetik di “smartphone” masing-masing bagi merakam memori indah. Hilang seketika segala keresahan jiwa apabila dapat melihat keindahan ciptaan Tuhan ini. Gunung berapi Bromo ini dalam bahasa jawa dikenali sebagai “brahma”. Bagi masyarakat yang beragama hindu di sini, gunung ini dianggap suci oleh penduduk tempatan. Setiap tahun, mereka sering mengadakan ritual keagamaan untuk menenangkan gunung berapi ini. Gunung berapi Bromo ini tingginya 2329 meter dari aras laut. Tidaklah tinggi sangat, kita mampu mendakinya. Sebenarnya ada banyak lagi gunung berapi yang bersebelahan dan berkumpul dekat satu tempat seperti suatu kluster gunung berapi, salah satu gunung yang tertinggi di situ, adalah gunung Semeru, gunung yang tertinggi di pulau jawa. Sangat berbaloi untuk kita semua dapat berkesempatan beriadah di sana. Jom.
Selesai aktiviti melihat matahari terbit, kumpulan jeep kami bergerak pula ke dataran kaki Gunung Bromo, untuk merasai sendiri pengalaman berada di tepi kawah gunung berapi Bromo. Jarak dari “check point” ke kaki gunung berapi agak jauh jika mahu berjalan kaki, lebih kurang 30 minit. Rata-rata kami telah menyewa khidmat naik kuda. Fuh ini juga satu pengalaman yang “thrill”. Di sekeliling dataran gunung Bromo kelihatan seperti gurun padang pasir. Namun pasirnya halus berwarna kelabu kecoklatan. Pasir ini sebenarnya adalah debu daripada gunung berapi yang meletus disekitar. Katanya jika angin bertiup, dataran pasir ini akan berbunyi seolah-olah berbisik. Agaknya itulah sebabnya dataran luas ini turut dipanggil pasir berbisik Bromo.
Gunung Berapi Bromo dan awan karpet yang terbentang
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah apabila kami sampai di kaki gunung Bromo, kami dapat pengalaman bau sulfur dari kawah gunung berapi yang busuk. Di kaki gunung Bromo ini juga terdapat peniaga yang menjual air dan makanan. Jika ingin merasai pengalaman sarapan di sini, makan indomee pasti mengujakan. Di kaki gunung Bromo, kami dapat menyaksikan sendiri, bentuk muka buminya yang amat berbeza seolah-olah berada di planet asing. Suasana yang mendung akibat cahaya matahari yang terhalang akibat asap gunung berapi yang tebal yang keluar secara berterusan kerana ia masih aktif memberikan kami suatu pengalaman yang berbeza. Makin tinggi kami mendaki, ke arah kawah gunung Bromo , bau sulfur juga semakin kuat. Yang penting jangan lupa pakai penutup muka. Kami melalui celahan jalan yang berdebu hitam, di kiri dan kanan kami ada benteng tanah yang berlapis-lapis yang terjadi oleh debu dan lumpur yang bertimbun sejak berabad-abad lamanya.
Sempat lagi kami bergambar di tepi kawah gunung berapi Bromo
Sekumpulan pelajar yang terlibat bergambar berlatar belakang Gunung Bromo
Kami tak gayat bergambar di tepi kawah gunung berapi.
Sampai ke kaki kawah gunung Bromo, kami harus pula menaiki tangga. Perlukan stamina yang tinggi untuk menaiki anak tangga yang berjumlah 243 ini untuk sampai ke tepi kawah gunung Bromo. Ada pelbagai mitos berkaitan anak tangga ini. Ada yang mengatakan jumlahnya boleh jadi berbeza. Apapun, mujur ada “check point” tempat untuk kita berhenti berehat di perjalanan menaiki tangga itu, tanpa menghalang orang lain untuk naik ke atas. Sampai sahaja di tepi kawah gunung Bromo, suatu pemandangan yang menakjubkan lagi menginsafkan, melihat asap gunung berapi Bromo berkepul-kepul, bunyi geruhan kawah seperti ombak yang mendidih. Jauh ke dalam kawah gunung berapi pula kelihatan belerang sulfur yang kekuningan. Ada yang mengatakan belerang sulfur gunung berapi ini boleh dijadikan bahan untuk membuat kosmetik. Melihat kawah gunung berapi Bromo yang menjunam jauh ke bawah membuahkan perasaan yang berbaur takut, teruja, puas hati dan juga “healing”.. atas kebesaran tuhan yang menciptakan alam ini. Sebenarnya di sekeliling kawah gunung Bromo ini, kita boleh berjalan-jalan kerana ia mempunyai trek untuk pejalan kaki, cumanya, agak bahaya, kerana tiada pagar. Ini merupakan suatu pengalaman yang tidak akan kami lupakan- melihat kawah gunung berapi dihadapan mata sendiri, kerana di Malaysia, kita tidak mempunyai gunung berapi. Perjalanan jauh kami untuk kali ini amatlah berbaloi. Semoga kami dapat ke sini lain untuk kesempatan yang akan datang.243 anak tangga yang perlu didaki untuk ke tebing kawah Gunung berapi Bromo