Expert Column

Mata Pun Boleh Alergik?

Bakiah Shaharuddin
Published : 08 December 2021

allergic conjunctivitis

 

Prof Madya Dr Bakiah binti Shaharuddin

Pakar Oftalmologi, Kluster Perubatan Regeneratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia

 Mata anda merah dan gatal - apa penyebabnya?

Alahan atau alergik mata (allergic conjunctivitis) adalah tindak balas imun tidak diingini yang berlaku apabila mata terdedah kepada bahan-bahan tertentu yang mengakibatkan gejala mata gatal, kemerahan atau tidak selesa. Bahan-bahan ini dipanggil alergen. Alergen adalah protein yang terdapat pada habuk, debunga, bulu haiwan, atau protin dalam makanan seperti kacang, telur, makanan laut, dan lain-lain yang boleh menimbulkan reaksi auto imun kepada sebahagian manusia.

Di antara gejala alahan mata adalah termasuk; mata gatal atau pedih, mata berair, mata merah, kulit kering dan bersisik atau kelopak mata bengkak. Gejala-gejala ini boleh terdapat pada satu mata atau kedua-dua belah mata.

Bagaimanakah alahan mata boleh dikesan?

Pakar mata mungkin merujuk anda kepada pakar alahan untuk menentukan diagnosis sebenar. Pakar alahan biasanya akan melakukan ujian tusukan kulit ‘skin prick test” untuk menentukan punca alahan anda. Sejumlah kecil alergen akan dicucuk masuk di bawah kulit untuk melihat sama ada ia merangsang tindak balas pada tempat tusukan. Benjolan merah dan bengkak adalah kesan tindak balas tersebut. Ini membantu pakar alahan mengenal pasti alergen yang anda paling sensitif.

Rawatan untuk alahan mata

Cara terbaik untuk merawat sebarang bentuk alahan adalah langkah-langkah pencegahan daripada terdedah kepada alergen.  Langkah-langkah pencegahan termasuk mengawal diri dari makanan tertentu contohnya; tidak menggunakan karpet bagi mengurangkan habuk, kerap menukar cadar atau sarung bantal, membersihkan langsir atau ‘blinds’ dengan kerap, tidak memelihara haiwan seperti kucing atau burung, dan lain-lain langkah berdasarkan alergen yang berkaitan.

Sekiranya alahan mata terjadi, terdapat beberapa rawatan yang boleh melegakan gejala. Ubat-ubatan ini diambil samada secara oral, disembur ke dalam hidung atau ubat titisan mata.

Antara ubatan secara oral adalah; antihistamin seperti loratadine (Claritin) atau diphenhydramine (Benadryl), dekongestan seperti pseudoephedrine (Sudafed) atau oxymetazoline (Afrin) dan juga steroid seperti prednisolone dalam kes yang serius dan selepas diarahkan oleh doktor.

Ubat titisan mata yang kerap digunakan mengandungi antihistamin seperti olopatadine hydrochloride  dengan jenama Pataday atau Patanol. Ubat lain mengandungi anti-radang bukan steroid (NSAIDs) seperti ketorolac (Acular, Acuvail). Manakala ubat steroid seperti Predforte atau Maxidex, dengan preskripsi doktor. Air mata tiruan juga boleh membantu. Sesetengah ubat titisan mata mesti digunakan setiap hari, manakala yang lain boleh digunakan mengikut keperluan untuk melegakan gejala.

Selain alahan, mata merah dan gatal juga mungkin disebabkan oleh keadaan lain seperti jangkitan, mata kering atau keradangan. Satu cara untuk mengetahui sama ada anda menghadapi alahan berbanding dengan jangkitan mata, ialah anda akan mengalami reaksi alahan lain, seperti bersin, hidung tersumbat (rhinitis) atau kulit yang gatal dan bersisik (eczema). Sebahagian besar pesakit yang mempunyai alahan mata juga merupakan pesakit asthma (lelah).

  •  Jangkitan - Mata anda terdedah kepada jangkitan virus, bakteria dan kulat yang boleh menyebabkan mata gatal. Salah satu jangkitan mata yang sangat biasa ialah konjunktivitis. Ia sangat cepat berjangkit, terutamanya yang disebabkan virus.
  •  Mata kering - Mata anda mungkin kurang mengeluarkan air mata yang cukup dan ini menyebabkan mata anda kering dan gatal. Satu punca biasa adalah faktor umur yang lanjut. Penyakit seperti diabetes, thyroid, lupus dan arthritis juga boleh menyebabkan mata kering. Ubat-ubatan tertentu juga boleh menyebabkan mata kering.

Pesanan Akhir

Jika anda mempunyai alahan, anda mungkin akan mengalami gejala alahan mata apabila terdedah kepada alergen tertentu. Walaupun tiada ubat untuk alahan, rawatan boleh membantu melegakan gejala yang tidak menyenangkan dan mengelakkan dari komplikasi yang lebih serius. Ubat-ubatan oral, semburan dan titisan mata adalah berkesan dalam kebanyakan kes. Dapatkan nasihat dari doktor bagi rawatan yang selamat dan optima. 

Penulis Artikel

Prof Madya Dr Bakiah binti Shaharuddin

Pakar Oftalmologi, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM




Scroll to Top