Collaboration

Kerjasama Antara IPPT USM dan HADIS Childrens Therapy Centre Melalui ‘Program Kesedaran Terapi Carakerja (OT): Kenali dan Ketahui Hak Anak Anda Dari Perspektif Pakar’

Published : 25 October 2023

Pennyampaian cenderahati kepada Dr Muhammad Faris Iman Leong Abdullah
INSTITUT PERUBATAN DAN PERGIGIAN TERMAJU, USM, October 21 2023 -

Satu program kesedaran Terapi Carakerja (Occupational Therapy) telah diadakan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia pada 21 Oktober 2023 yang lalu. Program yang bertajuk ‘Kenali dan Ketahui Hak Anak Anda Dari Perspektif Pakar’ mengetengahkan ceramah serta perkongsian daripada Pakar Perubatan Psikiatri, Dr Muhammad Farris Iman Leong Abdullah dan Terapis Carakerja, Puan Aminah Ahmad Fozi.



 Program ini merupakan program anjuran bersama HADIS Childrens Therapy Centre dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM. Seramai lebih 60 peserta yang telah hadir untuk mendapatkan informasi serta mendengar perkongsian daripada pakar, serta berkongsi maklumat dan pengalaman menguruskan anak-anak berkeperluan khas ini. Peserta terdiri daripada golongan ibu bapa, penjaga dan guru-guru PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi).

 

Program diserikan dengan ucapan aluan oleh Dr Ainul Mohsein Abdul Mohsin, Pengarah Jaringan Masyarakat, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Sains Malaysia. Memetik ucapan oleh Dr Ainul, beliau menyatakan bahawa setiap anak mempunyai keistimewaan dan keunikannya tersendiri. Ibu bapa, guru atau penjaga juga harus mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan untuk membantu anak-anak menjalani kehidupan yang bermakna, khusunya anak-anak berkeperluan khas. Beliau juga berharap agar program seumpama ini, sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan untuk mengenali dan memahami keperluan anak-anak dalam membantu mereka mencapai potensi penuh.


 

Dr Muhammad Farris Iman Leong Abdullah, dalam sesi ceramahnya telah berkongsi berkaitan ciri-ciri dan perbezaan antara ADHD, Autisma, masalah pertuturan serta masalah komunikasi yang sering dihadapi oleh kanak-kanak berkeperluan khas. Beliau turut menjelaskan kepentingan menjalankan diagnosis untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak ini dan seterusnya mengenalpasti hak dan keupayaan mereka dalam menjalani kehidupan seharian.


 

Menurut Puan Aminah Ahmad Fozi, yang juga merupakan Pengarah HADIS Childrens Therapy Centre, program sebegini amatlah penting untuk memberi kesedaran serta pendedahan kepada ibu bapa, guru-guru serta penjaga mengenai ‘red flags’ berkaitan perkembangan kanak-kanak serta intervensi yang dapat dilakukan bagi menambah kualiti kehidupan kanak-kanak tersebut.  

 

Program tersebut turut menampilkan perkongsian wakil waris pelajar di HADIS Childrens Therapy Centre. Beliau berkongsi pengalaman daripada proses penerimaan sehinggalah intervensi yang dilakukan kepada anaknya. Turut hadir, Prof Madya Dr Fatanah Mohamad Suhaimi, Ketua Seksyen Inovasi dan Jaringan, IPPT, USM. Diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta.  


                                                                 

                                                                                                                                         

Scroll to Top