Community

SEMINAR MENINGKATKAN NILAI KOMERSIAL MADU MELALUI UJIAN KUALITI (SIRI 2)

Published : 13 August 2024

Brosur seminar
SEMINAR ROOM, ARC AND CENTAL RESEARCH LAB (CRL), July 25 2024 -

SEMINAR MENINGKATKAN NILAI KOMERSIAL MADU MELALUI UJIAN KUALITI (SIRI 2) yang bertemakan ‘Dari Ladang ke Pentas Dunia’ telah dianjurkan dengan jayanya oleh CRL Testing Unit (CTU) pada 25 Julai 2024 bertempat di Bilik Seminar dan Makmal Penyelidikan Berpusat, Kompleks Penyelidikan Haiwan. Penganjuran seminar pada kali ini merupakan kesinambungan daripada seminar Siri 1 yang telah dianjurkan pada awal tahun 2020.

Seminar kali ini memfokuskan topik keselamatan madu bermula pada awal proses penghasilan madu sehingga kepada aspek-aspek keperluan kualiti untuk tujuan pemasaran, pengkomersialan, industri dan juga   eksport ke peringkat antarabangsa khusus kepada penternak, pengusaha dan usahawan tempatan di Malaysia. Seminar ini juga menjadi platform perkongsian ilmu secara dua hala kepada masyarakat tentang khasiat madu daripada bukti kajian saintifik, kesihatan dan perubatan.  Para peserta juga akan diperkenalkan dengan Makmal Pengujian Madu atau CRL Testing Unit (CTU) yang telah beroperasi selama 10 tahun dalam perkhidmatan pengujian kualiti madu di IPPT, USM. Menjadi harapan penganjur agar kupasan topik berinformasi dan menarik dalam tempoh sehari seminar dijalankan dapat menarik ramai pengusaha madu, usahawan dan penyelidik di kawasan utara Malaysia khasnya dan juga di seluruh Malaysia amnya.

Photo By CTU
Para peserta bergambar kenangan bersama penceramah dan penganjur



Dalam ucapan perasmian oleh Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan, Prof Madya Dr Hasni bin Arsad, seminar ini melibatkan pengusaha-pengusaha madu tempatan yang bertujuan untuk memberi pemahaman tentang kepentingan penjagaan kualiti madu dan piawaian-piawaian tertentu yang mereka perlu penuhi untuk mengekalkan kualiti madu.

Tambah beliau, “Apabila madu yang dihasilkan adalah berkualiti dan dibuktikan pula secara saintifik ia dapat meningkatkan permintaan bukan sahaja dalam negara bahkan berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa serta menjana pendapatan para pengusaha,”.

Seminar ini bermula dengan ceramah dari penceramah khas yang diterbangkan dari Kubang Krian Kelantan, Dr. Mohd Zulkifli Mustafa. Dr Zulkifli Mustafa ialah seorang penyelidik saraf yang menjalankan kajian madu untuk meningkatkan daya ingatan dan menangani penyakit otak. Kajian yang beliau jalankan ini mendorong beliau untuk mencari cara bagi mengembangkan pengeluaran madu berkualiti tinggi di Malaysia. Beliau menyampaikan ceramah yang bertajuk Transformasi dalam Penghasilan Madu Premium untuk Pembangunan Sosioekonomi dan Rahsia Khasiat dan Pengkomersilan Madu Kelulut Premium.

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Puan Siti Anarita Mohamad telah menyampaikan ceramah yang bertajuk Label dan Produk Home Based Food. Manakala Puan Hamiza Othman Pegawai Teknologi Makanan dari jabatan yang sama telah menyampaikan ceramah berkaitan Keperluan Pengeksportan Makanan.

Photo By CTU
Para peserta diberi penerangan berkaitan analisis HMF oleh Encik Ahmad Farid.



Para peserta juga diberi penerangan berkaitan CTU oleh Ketua Seksyen Makmal Penyelidikan Berpusat, Puan Rafedah binti Abas. Selain itu, para peserta diberi peluang untuk memasuki makmal dan melihat sendiri demo alatan Gas Chromatography Flame Ion Detector (GC-FID) untuk ujian profil gula dan UV-VIS Spectrophotometer untuk ujian Hydroxymethylfurfural (HMF). Para peserta yang hadir pada hari seminar juga ditawarkan untuk menjalankan analisis madu untuk menguji abu (ash) secara percuma.

 

SDG-3,8,9

Ditulis oleh Syazwani binti Ismail dan Nurulakma binti Zali, 2024


SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
SDG 8 - Promote sustained, inclusive and sustainable economic growth, full and productive employment and decent work for all
SDG 9 - Build resilient infrastructure, promote inclusive and sustainable industrialization and foster innovation
Scroll to Top