RUANG LEGAR ARAS 3, PPUSMB., March 21 2025 -
BERTAM, PULAU PINANG, 21 MAC 2025 - Bahagian Perkhidmatan Pergigian, Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) hari ini telah menganjurkan Program Sambutan World Oral Health Day (WOHD) bertempat di Ruang Legar Aras 3, PPUSMB.
Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia disambut setiap tahun pada 20 Mac dan merupakan inisiatif global dalam usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran berkaitan penjagaan oral.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Norehan Mokhtar selaku Ketua Perkhidmatan Pergigian seterusnya ucapan perasmian Hari Kesihatan Pergigian Sedunia yang telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Pengarah IPPT/PPUSMB.
Bertemakan “A Happy Mouth Is A Happy Minds”, Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia peringkat IPPT/PPUSMB ini merupakan satu acara penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penjagaan kesihatan oral, malah ianya juga dapat dijadikan sebagai platform untuk menggalakkan amalan kesihatan mulut yang baik dalam kalangan masyarakat.
Kemuncak kepada Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia ini adalah semasa gimik perasmian majlis yang dilakukan sebagai simbolik perasmian berlangsungnya Hari Kesihatan Pergigian Sedunia peringkat IPPT/PPUSMB. Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang sepanjang bulan Mac dan April 2025 termasuklah Siri Ceramah untuk Mempromosikan Kesihatan Pergigian, Program Libatsama Komuniti, Tazkirah Ramadhan dan Pertandingan Video Tiktok Kreatif sempana sambutan WOHD.
Hadir sama adalah Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim, Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian; Profesor Madya Dr. Siti Noor Fazilah Mohd Noor, Timbalan Pengarah Pembangunan Projek Khas merangkap Pensyarah Pergigian; Ketua-ketua Bahagian Perkhidmatan, Ketua-ketua Unit, Pakar-pakar dan pegawai-pegawai utama IPPT/PPUSMB.
Teks disediakan oleh: Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Profesor Madya Dr. Norehan Mokhtar
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media dan Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
21 Mac 2025