Expert Column

Kepentingan pengambilan ubatan herba secara selamat dan berkesan

Eshaifol Azam Omar
Published : 30 November 2021

Klinik Perubatan Integratif IPPT

Dr. Eshaifol Azam Bin Omar
Kluster Perubatan Integratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia

Perubatan herba telah digunapakai untuk tujuan penyembuhan dan pencegahan penyakit sejak berkurun lamanya. Dalam kalangan sesetengah bangsa dan budaya, contohnya kelompok orang asli dan masyarakat Melayu yang tinggal di kampung pendalaman, mereka masih bergantung kepada pokok herba sebagai sumber utama bahan perubatan. Dengan itu ilmu tentang pengambilan ubatan berasaskan herba ini sudah semestinya disampaikan secara turun-temurun dari satu generasi kepada generasi yang lain secara arif dan berkesan. Walaubagaimanapun, pada era yang serba moden ini penggunaan ubatan herba tidak terhad hanya kepada kelompok yang mengamalkan budaya tradisional dan tinggal di kawasan pendalaman sahaja, malah ia sudah menjadi semakin popular dalam kalangan golongan yang tinggal di kawasan bandar. Akibatnya aktiviti pengkomersilan tumbuhan herba sebagai produk kesihatan dan perubatan telah meningkat secara mendadak sejak lebih kurang 10 hingga 15 tahun yang lalu umpama ‘cendawan yang tumbuh selepas hujan’.

Daun senduduk bulu

Hakikatnya maklumat yang diberikan berkaitan penyediaan dan penggunaan tumbuhan herba sebagai ubatan masih tidak terkawal dan bergantung semata-mata kepada penilaian dan diskripsi pihak pengeluar yang menghasilkan produk-produk tersebut, menyebabkan kualiti dan nilai perubatan sesetengah produk agak meragukan. Ini sudah tentu akan meningkatkan risiko kesan sampingan yang tidak diingini kepada masyarakat dan ketidakberkesanan rawatan daripada pengambilan ubatan herba tersebut. Justeru ia boleh memberi impak yang negatif kepada potensi perubatan herba dalam perawatan penyakit. Maka adalah menjadi satu tanggungjawab sesebuah badan atau organisasi professional untuk memberi garis panduan kepada masyarakat dalam memilih produk herba yang berkualiti, berkesan dan selamat.

Banyak laporan saintifik telah membuktikan tidak semua tumbuhan herba adalah selamat di makan bagi tujuan rawatan penyakit. Hal ini adalah disebabkan kepelbagaian kandungan kimia yang toksik telah dikenalpasti di dalam tumbuhan herba. Tambahan lagi, keberkesanan dan kecelakaan sesuatu produk herba dalam perawatan penyakit bergantung kepada kandungan bahan kimia aktif di dalam tumbuhan herba; cara, frekuensi dan dos pengambilan; serta faktor-faktor kontraindikasi kesihatan yang perlu diambil tahu sebelum memulakan pengambilan produk herba. Maka suatu sistem penilaian dan garis panduan pengambilan produk herba mengikut piawaian yang telah ditetapkan harus diperkenalkan kepada masyarakat umum, malah seharusnya menjadi satu kayu pengukur yang penting untuk menilai dan memastikan keberkesanan dan keselamatan dalam penggunaan perubatan herba.

Oleh yang demikian, IPPT melalui Klinik Perubatan Integratif telah memainkan peranan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pemilihan produk ubatan herba dengan selamat dan berkesan. Selain itu, klinik kaunseling juga disediakan untuk memberi konsultansi, justeru menggalakkan masyarakat memilih dan menggunapakai produk herba yang berkualiti dari aspek keberkesanan dan bebas kesan toksik yang dibuktikan melalui penyelidikan saintifik dan piawaian mutu yang tepat. Diharapkan masyarakat dapat merujuk dan berbincang dengan golongan professional mengenai sebarang isu berkaitan perubatan herba. Sebarang maklumat tentang perkhidmatan di Klinik Perubatan Integratif, IPPT boleh diperolehi melalui talian 04-5622070
Scroll to Top