Community

Majlis Makan Malam Amal Pink October 2023 Anjuran IPPT Dan PPUSMB Bantu Kutipan Dana Tabung Pembinaan Bangunan Paliatif Kepala Batas

Published : 25 October 2023

Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda kepada Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Bin Mohamed, Naib Canselor USM
BERTAM RESORT PENANG, October 21 2023 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) berganding bahu anjurkan Majlis Makan Malam Amal sempena kemuncak sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pink October) 2023.

Majlis Makan Malam Amal ini diadakan bertujuan untuk membantu PPUSMB mengutip dana bagi pembinaan Bangunan Paliatif Kepala Batas yang dijangka menelan belanja sebanyak RM3juta.

Majlis diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Seri Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM dan wakil Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang iaitu Yang Berusaha Dr. Mohd Ikhmal bin Fadzil, Pegawai Khas (Pengajian Tinggi) Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Naib Canselor dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada jawatankuasa penganjur yang telah mengambil inisiatif mengadakan program amal ini untuk membantu kutipan dana tabung ini. Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada MAKNA dan semua pihak NGO serta pihak yang terlibat untuk mengumpul dana bagi pembinaan bangunan paliatif ini.

Beliau menyeru agar lebih ramai para dermawan tampil menghulurkan bantuan untuk pembinaan Bangunan Paliatif ini yang akan dilengkapi dengan ruang yang selesa dan kemudahan yang diperlukan oleh pesakit dan penjaga supaya bangunan ini dapat dibina dengan segera demi untuk kelestarian dan kesejahteraan masyarakat.

“USM telah membangunkan sebuah program penyelidikan tujahan iaitu Breast Cancer Translational Research Program at IPPT (BCTRP@IPPT) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya.  Program penyelidikan translasional ini telah dilancarkan pada 20 Jun 2022 untuk menghasilkan penyelidikan yang berfokus dalam bidang kanser payudara untuk mencari penemuan baharu dalam merawat kanser” kata Abdul Rahman.

 Abdul Rahman dalam ucapannya turut memaklumkan PPUSMB mempunyai Pakar Bedah payudara yang mempunyai kepakaran dalam ‘breast reconstruction techniques’  terlatih di Korea  iaitu Dr. Fitreena Anis Amran dan Dr. Hasmah Hussein.

 Bukan sekadar itu, PPUSMB juga mempunyai fasiliti untuk mengesan kanser bukan sahaja dari segi klinikal, malah PPUSMB juga mempunyai perkhidmatan radiologi dan imejan seperti mesin ultrasound, CT scan, MRI, PET Scan dan pengimejan menggunakan nuclear radio-aktif. Perawatan yang diberikan di PPUSMB adalah setanding dengan lain-lain pusat onkologi di Malaysia.

 Naib Canselor turut berbangga dengan kejayaan PPUSMB yang bukan sekadar salah sebuah pusat onkologi kerajaan di Wilayah Utara,  malah pusat perubatan ini merupakan sebuah pusat Akademi Brakiterapi yang diiktiraf dunia.

“Kecemerlangan PPUSMB dalam bidang brakiterapi menerima pengiktirafan oleh badan profesional brakiterapi yang berpangkalan di Belanda, BrachyAcademy yang memberi akreditasi kepada PPUSMB sebagai Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa BrachyAcademy pada tahun 2020.   Kepakaran brakiterapi dalam rawatan kanser diketuai oleh Profesor Madya Dr. Gokula Kumar A/L Appalanaido, Dr. Muhamad Yusri Musa, pakar bedah Head & Neck, dan Profesor Madya Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz, pakar Fizik Perubatan serta dibantu oleh lain-lain ahli pasukan dari bidang fizik,  radiologi,  pakar bedah onco-plastik payudara, pakar bedah hepatobiliari,  pakar urologi serta pakar pergigian khusus yang terlibat secara aktif dan membantu dalam prosedur brakiterapi wajar dibanggakan” ulas Naib Canselor.

Majlis Makan Malam Amal Pink October 2023 turut diserikan dengan ucapan YBrs. Dr. Mohd Ikhmal bin Fadzil, wakil Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Beliau berkata pada masa ini, tiada pusat rawatan paliatif di Utara Semenanjung Malaysia yang khusus untuk menampung keperluan pesakit kanser. Oleh yang demikian, inisiatif yang diambil oleh PPUSMB dan USM untuk membina Bangunan Paliatif Kepala Batas ini adalah satu usaha murni dalam menyediakan khidmat komuniti yang selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) negara iaitu dalam SDG 3 Good Health wajar mendapat sokongan padu daripada seluruh masyarakat Malaysia.

Dengan adanya pusat paliatif ini, ianya memberi peluang kepada penjaga yang keletihan fizikal dan psikologi untuk berehat sebentar dengan perkhidmatan respite care. Malah, bangunan ini akan turut menyediakan penjagaan hospis dan persekitaran yang kondusif untuk pesakit dan keluarga pada hari-hari terakhir kehidupan pesakit. Adalah dijangkakan pusat ini akan menjadi platform untuk menyatukan penyedia penjagaan paliatif dari seluruh Pulau Pinang untuk latihan kakitangan, latihan penjaga dan aktiviti sukarelawan.

 


Mohd Ikhmal turut mengucapkan tahniah dan sepenuh penghargaan kepada Universiti Sains Malaysia, Jawatankuasa Penganjuran Majlis Makan Malam Amal Pink October 2023 yang mempunyai objektif murni mengumpulkan dana bagi pembinaan Bangunan Paliatif Kepala Batas, Pulau Pinang yang akan didirikan di tapak Pusat Perubatan USM Bertam. Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak NGO, badan-badan korporat dan swasta serta semua pihak yang menyokong usaha ini.




SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
SDG 17 - Strengthen the means of implementation and revitalize the Global Partnership for Sustainable Development
Scroll to Top