Achievement

Pusat Kecemerlangan Pendidikan (Brachyacademy) Ippt Terima Pengiktirafan Rawatan Kanser Lidah Antara Terbaik Di Dunia Dan Terbaik Di Asia

Published : 16 July 2024

LAWATAN YBM-KPT KE UNIT ONKOLOGI PPUSMB
Pusat Perubatan USM BERTAM, July 2 2024 -


Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hari ini meluangkan masa melawat ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM dan meraikan para pesakit kanser bersama warga staf Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) bersempena dengan Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy (BrachyAcademy Educational Centre of Excellence).

Photo By NORIZAN ISHAK
Lawatan YBM-KPT ke Unit Onkologi PPUSMB


Pusat Perubatan USM Bertam, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) menawarkan perkhidmatan kepakaran perubatan dan pergigian disamping program-program akademik dan penyelidikan dalam pelbagai bidang berkaitan sains perubatan dan kesihatan. Ditubuhkan sejak 2002, kini PPUSMB telah berkembang menjadi sebuah Pusat Perubatan yang menawarkan perkhidmatan onkologi, radioterapi dan brakiterapi untuk merawat kanser terutamanya untuk kanser kepala dan leher, hati, esofagus dan sarcoma. Kaedah terkini hasil inovasi USM iaitu kaedah rawatan Brakiterapi kepada semua golongan masyarakat khususnya kepada para pesakit kanser ini secara tidak langsung telah membuktikan kejayaan IPPT di mana IPPT dan PPUSMB telah menerima pengiktirafan antarabangsa daripada BrachyAcademy yang berpangkalan di Netherlands sejak 2018 sebagai Pusat Pengajaran dan Penyelidikan serta merupakan satu-satunya institusi di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut sehingga kini.

Photo By NORIZAN ISHAK
Lawatan YBM-KPT ke Unit Onkologi PPUSMB


Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy (BrachyAcademy Educational Centre of Excellence) ini dimulakan dengan  sesi lawatan ke Unit Brakiterapi bersama dengan YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi yang seterusnya menandatangani Plak Akreditasi IPPT sebagai BrachyAcademy Educational Centre of Excellence. Brachyacademy, sebuah organisasi antarabangsa yang berpangkalan di Belanda telah dengan rasminya mengisytiharkan IPPT sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy dan IPPT merupakan satu-satunya pusat brakiterapi yang merawat kanser lidah dalam jumlah yang tinggi menggunakan teknik HyBIRT (Hybrid Brachytherapy followed by Intensity Modulated Radiotherapy) dan IPPT berjaya menjadi perintis kepada teknik ini di seluruh dunia.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan aluan oleh YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc. selaku Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia. Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, perkhidmatan ini telah bermula sejak tahun 2015 dan telah merawat lebih 500 pelbagai jenis kes kanser sehingga IPPT dianugerahkan sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy (BrachyAcademy Educational Centre of Excellence).


Photo By NORIZAN ISHAK
Sesi bergambar bersama YBM-KPT



“Pada September 2022, IPPT telah menjenamakan semula kompleks penyelidikan klinikal sebagai Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) yang memfokuskan kepada perawatan kanser, termasuk rehabilitasi robotik dan pergigian sebagai rawatan sokongan dan pemulihan. “Usaha ini dibuat selaras dengan bidang tujahan USM yang telah dikenal pasti bersama Kementerian Pendidikan Tinggi di dalam bidang kanser/ onkologi di mana sehingga tahun 2023, kira-kira 16,642 orang pesakit kanser telah dirawat di IPPT,” katanya.  Tambah Abdul Rahman, kecemerlangan IPPT dalam bidang brakiterapi telah meletakkan IPPT sebagai penerima akreditasi pertama dari Malaysia pada tahun 2020 di mana akreditasi berprestij ini diberikan untuk 5 bidang kanser iaitu ginekologi, esofagus, hati, prostat dan kepala dan leher yang secara tidak langsung membuktikan kepakaran brakiterapi di IPPT mendapat pengiktirafan dunia.
Menurutnya lagi, IPPT telah menerima undangan dan permohonan daripada ahli brakiterapi dari luar negara untuk hadir dan menerima latihan di sini (fellowship training in brachytherapy), sejak menerima pengiktirafan BrachyAcademy. Sehingga kini, IPPT merupakan satu-satunya institusi di Malaysia yang menerima akreditasi ini.
IPPT  telah menerima pengiktirafan antarabangsa daripada syarikat gergasi pembekal peralatan radioterapi dan rawatan kanser iaitu ELEKTA yang berpangkalan di Sweden yang menawarkan geran penyelidikan iaitu 50 set aplikator brakiterapi yang bernilai melebihi RM600,000.

Melalui kemudahan geran yang diberikan, akan dapat membantu lebih ramai pesakit kanser lidah untuk mendapatkan rawatan menggunakan teknik HyBIRT dan IPPT juga akan dapat meneruskan lagi kajian berkaitan dalam usaha untuk meningkatkan lagi kekuatan data klinikal di sini. Seterusnya, perkongsian Kisah Kejayaan Perkhidmatan Brakiterapi USM: Teknik Inovasi Rawatan Kanser Bertaraf Dunia oleh Dr. Muhammad Yusri Musa merupakan Pensyarah Perubatan / Pakar Perunding Otorinolaringologi dan Surgikal Brakiterapi, PPUSMB.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi. Zambry Abd Kadir dalam ucapannya berkata, Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy ini telah meletakkan Malaysia di peringkat dunia yang secara tidak langsung boleh dijadikan sebagai pusat rujukan. “USM berjaya mencapai satu kejayaan yang membanggakan kita semua dan saya akan membawa kejayaan ini ke pengetahuan YAB Perdana Menteri Malaysia bagi merencanakan perkembangan pusat ini supaya ia bukan sahaja dapat menjadi pusat rujukan bagi rawatan kanser di wilayah utara sahaja, malah untuk dikembangkan ke peringkat seluruh negara dan serantau,” kata Yang Berhormat.

Photo By NORIZAN ISHAK
Penyampaian Amanat daripada YBM-KPT



Kemuncak kepada majlis ini adalah semasa sesi penyerahan  Plak Akreditasi IPPT sebagai BrachyAcademy Educational Centre of Excellence daripada BrachyAcademy, The Netherlands kepada USM dan serahan Sijil Pengiktirafan daripada ELEKTA kepada USM sebagai Pusat Perubatan Perintis di Asia Tenggara yang melaksanakan Kaedah Rawatan Preservasi Fungsi untuk Kanser Lidah melalui teknik Brakiterapi unik ciptaan USM (HyBIRT) oleh Mr. Yohei Watanabe, Ketua Pemasaran (Asia & Pacific Japan), ELEKTA.  Seterusnya, serahan Geran Penyelidikan RM660 Ribu Kanser Lidah daripada ELEKTA, The Netherlands oleh Mr. Paul Lee merupakan Pemimpin Barisan Perniagaan (Business Line Leader- Brachytherapy, ELEKTA).

Hadir sama ialah Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti; Profesor Dr. Habibah A. Wahab, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi); Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni); Profesor Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat); Profesor Dato’ Ir. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan,  Pengarah IPPT & PPUSMB USM; wakil daripada ELEKTA iaitu Mr. Yohei Watanabe dan Mr. Paul Lee serta ketua-ketua jabatan IPPT/PPUSMB. Majlis turut dipancarkan secara maya melalui platform youtube.

Teks disediakan oleh :  Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh   :  Dr. Muhamad Yusri Musa
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
2 Julai 2024


Scroll to Top