Community

Unit Perubatan Integratif di Seminar Perubatan Tradisional dan Komplementari

Published : 19 June 2023

Peserta Seminar Perubatan Tradisional & Komplementari Hospital Kepala Batas
BERTAM, June 15 2023 -

Unit Perubatan Integratif, PPUSM Bertam telah menerima jemputan daripada Unit Perubatan Tradisional and Komplementari (PT&K), Hospital Kepala Batas bagi menjayakan Seminar Perubatan Melayu yang diadakan di Dewan Nilam hospital itu hari ini. Seminar yang dihoskan adalah antara aktiviti tahunan yang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran staf tentang keberadaan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplimentari dan bagi meningkatkan pengetahuan akademik dan maklumat kajian terkini berkait perawatan dalam Perubatan Melayu. Tema yang dipilih ialah “Pemantapan Perubatan Tradisional Melayu ke Arah Perawatan Integratif”.

Seramai lebih 40 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai perubatan, jururawat, paramedik, ahli farmasi dan lain-lain staf menyertai seminar tersebut. Selain penceramah daripada Unit PT&K iaitu Dr Sakinah ‘Am, pegawai perubatan yang memberi input semasa PT&K peringkat kebangsaan, penceramah-penceramah lain yang dijemput termasuklah, Dr Eshaifol Azam Omar, Ketua Jabatan Toksikologi, IPPT USM, Dr Husnaida Abdul Manan@Sulong, Ketua Unit Perubatan Integratif, Pusat Perubatan USM (PPUSM) Bertam , Puan Nur Liana Abu Bakar, Jururawat Terlatih Pos Basik Rehabilitasi, PPUSM Bertam dan Dr Fatimatuzzahra’ Abdul Aziz, Pensyarah Universiti dan Penyelidik, Pusat Pengajian Sains Farmasi yang turut berkongsi ilmu, pengalaman dan dapatan kajian dalam bidang Perubatan Melayu kepada peserta yang hadir. Selain input ceramah, di awal paginya majlis telah dimulakan dengan aktiviti senaman Melayu dibawah seliaan instruktor En Wazir Abu Bakar dan En Khairul Zulkarnain Ahmad Johari yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan dan Juruteknik Perubatan, PPUSM Bertam masing-masing.

"Konsep Perubatan Tradisional Melayu" disampaikan oleh Dr Eshaifol Azam B Omar - Pensyarah Perubatan PPUSM Bertam

"Urutan Strok Berdasarkan Ilmu Warisan Perubatan Melayu disampaikan" oleh Dr Husnaida Bt Abd Manan @ Sulong - Pensyarah Perubatan, PPUSM Bertam

Sedikit pengenalan, Hospital Kepala Batas adalah satu daripada tiga hospital perintis yang telah memberi perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari kepada orang awam iaitu sejak tahun 2007 lagi. Setelah itu, kini terdapat sebanyak lima belas unit sama telah ditubuhkan di seluruh negara. Seminar hari ini telah mengetengahkan topik-topik menarik iaitu Perkembangan Perubatan Tradisional dan Komplimentari di Malaysia, Konsep Perubatan Tradisional Melayu, Integrasi Urut Melayu dalam Pengurusan Rehabilitasi, Urut Strok Berdasarkan Warisan Perubatan Melayu dan Urut Melayu dalam Kesuburan Lelaki.

Semoga lebih banyak perkongsian dijalankan antara kedua-dua pihak demi meningkatkan kesihatan komuniti sejagat.



 



SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages
SDG 4 - Ensure inclusive and equitable quality education and promote lifelong learning opportunities for all
SDG 17 - Strengthen the means of implementation and revitalize the Global Partnership for Sustainable Development
Scroll to Top