Collaboration

MESYUARAT PENYELIDIKAN KOLABORATIF BERSAMA CYTOGENOMIX SDN. BHD. & BIOGENES TECHNOLOGIES SDN. BHD.

Published : 29 April 2025

MESYUARAT PENYELIDIKAN KOLABORATIF BERSAMA CYTOGENOMIX
KOMPLEKS PENYELIDIKAN HAIWAN (ARC), IPPT , April 23 2025 -
BERTAM, PULAU PINANG, 23 April 2025- Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, dan Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) hari ini mengadakan Program Kolaboratif Penyelidikan bersama Industri Cytogenomix Sdn. Bhd. dan Biogenes Technologies Sdn. Bhd yang berlangsung di Kompleks Penyelidikan Haiwan (ARC), IPPT sekitar jam 2.00 sehingga 5.00 petang.
Sesi perbincangan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan) IPPT. Seramai 17 orang pensyarah/staf dan 18 orang pelajar ijazah tinggi hadir bersama dalam sesi ini.
Antara objektif utama Mesyuarat Kolaboratif Penyelidikan Bersama Industri ini adalah untuk menjalinkan jaringan kerjasama dengan meneroka peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan berkaitan diagnostik yang boleh diteroka antara IPPT dan industri.
Selain itu, mesyuarat ini bertujuan membina keterlihatan (visibility) untuk memperkenalkan IPPT kepada industri di samping menawarkan program "Industry on Campus" yang diperkenalkan oleh universiti kepada pihak industri untuk melebarkan sayap perkhidmatan mereka di IPPT yang boleh menjadi penghubung utama antara dunia akademik dan industri untuk memastikan penyelidikan dan pembangunan yang relevan dengan keperluan industri serta menyediakan peluang pembelajaran praktikal kepada pelajar dan sangkutan industri kepada pensyarah.
Di samping itu, penyertaan penyelidik, pelajar/staf USM adalah untuk memudahkan staf dan penyelidikan dalam mengejar penglibatan akademik dengan industri serta untuk menjadikan Pusat Rujukan Sehenti yang berfungsi sebagai pusat rujukan utama bagi industri untuk berhubung dengan universiti.
Kolaborasi ini juga akan mengukuhkan jaringan industri dalam menghubungkan sumber dan kepakaran universiti dengan keperluan industri, meningkatkan dan memperluas hubungan industri di peringkat IPPT di samping menggalakkan perkongsian strategik untuk memupuk dan melaksanakan perkongsian strategik antara IPPT dan industri dengan kepakaran pakar industri dalam membantu pembangunan dan perkembangan penyelidikan di IPPT.
Bukan itu sahaja, jaringan kerjasama ini juga mampu menggalakkan penyertaan pelajar dan staf untuk memberikan kemudahan kepada staf dan pelajar dalam mengejar penglibatan akademik dengan industri.
Antara hasil perbincangan yang dicapai adalah pihak Cytogenomix Sdn. Bhd. amat mengalu-alukan cadangan kolaborasi penyelidikan bersama universiti dalam bidang-bidang berkaitan genom. Selain itu, para peserta turut dapat meningkatkan pengetahuan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak industri yang boleh diteroka sebagai rakan kerjasama industri.
Manakala pihak Biogenes Technologies Sdn. Bhd. pula akan menawarkan penyelidikan bersama universiti dalam bidang berkaitan penghasilan aptamer bagi tujuan diagnostik, latihan sangkutan dan sabatikal serta mengalu-alukan lulusan PhD untuk menyertai syarikat ini.
Teks disediakan oleh : Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh : Naziroh Shafii
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
24 April 2025
Scroll to Top