USM PULAU PINANG, 21 Ogos 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima kunjungan delegasi dari Xinxiang Medical University (XXMU), China pada 21 Ogos 2024. Lawatan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi dalam bidang perubatan dan penyelidikan.
Lawatan kunjungan dimulai dengan sesi lawatan ke Unit Onkologi Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) di mana delegasi diberikan penerangan berkaitan BrachyAcademy yang dikendalikan oleh Dr. Muhamad Yusri Musa dan Profesor Madya Dr. Gokula Kumar Appalanaido.Kunjungan delegasi diteruskan dengan sesi perbincangan melibatkan pembentangan oleh Profesor Madya Dr. Hasni Arsad, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan IPPT, USM dan Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya, Ketua Penyelaras Kolaborasi USM-XXMU. Sesi ini juga merangkumi dialog bersama pensyarah dan pelajar di bawah jaringan kolaborasi IPPT-XXMU.
Photo By NORIZAN ISHAK
Kunjungan Delegasi
Kemuncak kepada delegasi ini adalah perjumpaan dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dr. Habibah Binti A Wahab mewakili Naib Canselor USM, Professor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang bertempat di Bangunan Canselori, Kampus Induk USM. Acara ini melibatkan sesi pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MOA), kerjasama antara USM dan XXMU bagi tempoh 2024 sehingga 2029, bagi meneruskan kolaborasi yang telah terjalin semenjak tahun 2013, melebihi 10 tahun dalam usaha memperkukuhkan hubungan kerjasama antara kedua-dua buah universiti. Dalam perjanjian kerjasama 10 tahun yang lalu, kolaborasi antara kedua-dua buah institusi ini melibatkan dalam bidang penyelidikan berfokuskan kepada bioperubatan dan klinikal bagi pengajian doktor falsafah.
Photo By NORIZAN ISHAK
KUNJUNGAN
Melalui kerjasama antara USM dan XXMU, kedua-dua pihak bertanggungjawab dalam melatih calon PhD daripada XXMU yang terdiri daripada calon-calon yang disaring oleh XXMU sama ada terdiri daripada para pensyarah mereka sendiri dan juga calon muda bakal pensyarah di XXMU dengan syarat yang ketat di kenakan dalam pemilihan calon oleh pihak XXMU. Calon-calon pengajian PhD dari XXMU ini akan berdaftar pengajian mereka di IPPT USM yang melibatkan penyeliaan bersama antara pihak USM dan XXMU. Pelajar akan berada di XXMU untuk menjalankan penyelidikan dan menyambung penyelidikan mereka pula di IPPT USM Bertam sehingga selesai pengajian PhD mereka.
Sehingga kini, 9 calon telah berjaya tamat pengajian mereka di USM dan dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah oleh USM, manakala lebih daripada 5 orang calon sedang menunggu viva voce.
Sehingga kini, lebih daripada 20 pelajar PhD masih aktif menjalankan kajian mereka melalui kerjasama ini.
Photo By NORIZAN ISHAK
KUNJUNGAN DELEGASI
Sesi pertukaran dokumen MOA telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dr. Habibah Binti A Wahab kepada Naib Presiden XXMU, Profesor Dr. Wang Hui sempena lawatan kerja XXMU ke USM. Hadir sama dari XXMU yang menyaksikan penyerahan ini adalah Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Profesor Dr. Gi Guangjun dan Dekan Hospital Gabungan Kedua, Profesor Dr. Meng Yong. Sesi perbincangan kerjasama antara kedua-dua universiti turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan) IPPT, Profesor Madya Dr. Hasni Arsad; Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya, selaku Ketua Penyelaras; Dr. Nor Hazwani Ahmad sebagai Pembantu Penyelaras; Profesor Madya Dr. Fatanah Mohamad Suhaimi sebagai Ketua Seksyen Inovasi dan Jaringan; Dr. Rafeezul Mohamed serta Ketua Pejabat Pengarah dan Pusat Media & Perhubungan Awam, Puan. Naziroh Shafii.
Habibah dalam ucapannya berkata, IPPT USM-XXMU telah berjaya mengekalkan persahabatan yang kukuh selama lebih sedekad dan ini merupakan suatu pencapaian cemerlang oleh kedua-dua pihak yang telah banyak memberi manfaat kepada pelajar dan pensyarah di kedua-dua universiti.
“Sejak penandatanganan rasmi kerjasama ini pada 2013, lebih daripada 25 pelajar PhD telah mengambil bahagian dalam penyeliaan bersama antara kedua-dua buah universiti ini, menghasilkan lebih 30 penerbitan bersama dalam jurnal profail tinggi dan penganjuran bersama seminar bioperubatan yang dianjurkan secara atas talian.” katanya.
Menurutnya lagi, melalui kerjasama aktif ini akan meningkatkan lagi mobiliti pelajar dan kakitangan melalui program pertukaran, latihan amali, dan pengalaman pembelajaran secara langsung di kedua-dua universiti, USM dan XXMU dan secara tidak langsung, inisiatif sebegini akan menggalakkan lagi persefahaman silang budaya dan memupuk pembangunan bakat profesional untuk semua pihak yang terlibat.
Bersesuaian dengan Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) yang mempunyai kepakaran dalam perawatan kanser, kerjasama ini dilihat mampu memberikan pendedahan yang komprehensif kepada pelajar perubatan XXMU untuk melihat perkembangan perawatan kanser terutamanya kanser payudara, tekak dan hidung, usus, lidah dan hati di IPPT sesuai dengan IPPT sebagai satu-satunya pusat latihan brakiterapi antarabangsa di Asia.
Menurut Badrul Hisham yang merupakan Penyelaras Kerjasama IPPT USM-XXMU, pihak XXMU berminat untuk mengadakan kerjasama yang lebih meluas melibatkan pelajar ijazah perubatan di XXMU untuk mendapat pendedahan luar terutamanya di Malaysia melalui bantuan USM.
Photo By NORIZAN ISHAK
KUNJUNGAN DELEGASI
Selain itu, pihak XXMU juga berminat untuk bekerjasama dengan pihak USM dalam pembangunan kurikulum baharu dalam bidang Perubatan, Pergigian, Kejururawatan dan Rehabilitasi.
Manakala bagi bidang penyelidikan pula, melalui perjanjian yang diperbaharui ini terdapat 5 penumpuan bidang tujahan kerjasama antara IPPT USM-XXMU yang turut akan menjadi asas kepada pemilihan pelajar yang akan diselia bersama kedua-dua pihak iaitu:
i. Breast Cancer Translational Program at IPPT (BCTRP@IPPT)
ii. Emerging Infectious Disease: Preparation for Disease X
iii. Advanced Management of Liver Malignancies (Liver-ENRICH)
iv. Dimentia Multidisciplinary Research Program of IPPT (DMR-IPPT)
v. Heart Failure Research Program
Delegasi ini dijangka membuka peluang baharu untuk kerjasama penyelidikan, akademik, dan inovasi dalam bidang sains kesihatan dan perubatan antara USM, Malaysia dan XXMU, China. Ia juga mencerminkan komitmen USM dalam memperkasakan hubungan antarabangsanya dan memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang terkemuka di rantau ini.
Tambah Badrul Hisham, teknologi dalam bidang kajian bioperubatan yang dimiliki oleh XXMU dan kepakaran yang dimiliki oleh para pensyarah mereka yang dilatih oleh universiti terkemuka dunia merupakan kelebihan yang patut diambil oleh para pensyarah di USM dalam meningkatkan jaringan kerjasama antarabangsa terutamanya negara China melalui kerjasama ini supaya keterlihatan penyelidik dan USM lebih menyerlah melalui penerbitan yang berimpak tinggi oleh jurnal-jurnal terkemuka dunia.
Menurutnya lagi, pihak IPPT USM berbesar hati dengan komitmen dan kesungguhan daripada pengurusan pentadbiran XXMU yang terus memberi kepercayaan kepada USM dengan memeterai pembaharuan kerjasama untuk 15 tahun ini dan semoga kerjasama ini akan terus berkembang di antara kedua-dua buah institusi di rantau Asia.
Melalui Inisiatif kerjasama ini, secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kemajuan sains kesihatan dan perubatan di peringkat global, sekaligus memberi impak manfaat yang tinggi kepada masyarakat.
Teks disediakan oleh: Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
21 Ogos 2024