IPPT, May 17 2023 - UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, PULAU PINANG, 17 Mei 2023: Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) pulang dengan Pingat Emas dan Perak bagi Kategori 2: Inovasi Bahan Pengajaran dan Pembelajaran dalam pertandingan Innovations In Teaching And Learning Competition 2023 (INTELEC2023).
Pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) bertemakan Teach And Learn With Passion, Innovate With Purpose, Inspire For A Lifetime! melibatkan 140 peserta daripada 72 penyertaan.
Pertandingan ini bertujuan untuk melahirkan idea dan inovasi baharu dalam konteks pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam perkembangan dunia pendidikan yang kompetitif. Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori 1: Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran dan Kategori 2: Inovasi Bahan Pengajaran dan Pembelajaran.
Hadir menerima Hadiah Pingat Emas adalah Prof. Madya Dr. Norehan Mokhtar selaku Ketua Pasukan bersama ahli kumpulannya iaitu Dr. Gururajaprasad KL Rao, Dr. Fakhitah Ridzuan, Syaidatul Salmah Nurbalqis Saiful dan Muhammad Idham Abd Hamid. Tajuk yang dipertandingkan adalah MAR-ORTHO-EDU: Markerless Haptic Enabled Mobile Augmented Reality System for Ortodontic Education mengetengahkan idea penggunaan aplikasi mudah alih untuk pembelajaran ortodontik. Sistem ini membolehkan pelajar ortodontik mengakses aplikasi pada telefon mudah alih mereka, yang menyediakan pengalaman pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.
MAR-ORTHO-EDU juga memanfaatkan disonansi kognitif, iaitu perasaan ketidakselarasan antara pengetahuan yang ada dan pengalaman yang sedang berlangsung. Dengan menggunakan teknologi Augmented Reality (AR), sistem ini membantu pelajar ortodontik memahami dan menghubungkan konsep-konsep kompleks dengan lebih baik.
Objektif utama MAR-ORTHO-EDU adalah meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dan mencapai kecekapan klinikal yang lebih tinggi. Dengan menggunakan sistem ini, pelajar dapat berlatih dalam persekitaran yang personal dan mudah diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat. Ini membolehkan mereka mempelajari ortodontik dengan lebih efektif dan memperoleh kemahiran klinikal yang diperlukan dalam bidang pergigian.
Manakala bagi Hadiah Pingat Perak pula dimenangi oleh pasukan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya bersama ahli pasukan iaitu Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Dr Nurhuda Mohamad Ansor, Pn Nurul Huda Abdul Jais dan Pn Salmiza Zakaria dengan tajuk The Continuous Education in Biomedical Sciences at IPPT (CEBioMeds@IPPT): An Innovative Teaching and Learning Platform To Promote a Lifelong Education mengetengahkan idea pembangunan CEBioMeds@IPPT yang merupakan modul yang berstruktur untuk Kursus Pembangunan Profesional dalam bidang Sains Bioperubatan.
Modul ini merangkumi pelbagai kursus antara disiplin yang diatur dalam beberapa pakej modul secara atas talian. CEBioMeds dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan IPPT yang melibatkan pembangunan platform atas talian serta modul-modul pembelajaran yang merangkumi topik-topik sains terkini merentasi sempadan pembelajaran secara konvensional.
Ia direka khas untuk memenuhi keperluan pelajar penyelidikan pasca siswazah di IPPT dan USM, yang membenarkan mereka mendaftar pada bila-bila masa dan dari mana-mana tempat pelajar berada. Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan program latihan yang terstruktur yang dapat menghasilkan graduan penyelidikan yang berkemahiran tinggi dan sesuai dengan pasaran kerja. Maklumat lanjut berkaitan dengan CEBioMeds adalah di platform https://cebiomeds.amdi.usm.my/
Teks oleh: Naziroh Shafii, Norehan Mokhtar, Badrul Hisyam Yahaya
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju