IPPT Berkolaborasi Dengan Sekolah Kebangsaan Kg To'Bedor, Tasek Gelugor, Pulau Pinang Dalam Program Sains, Teknologi, Enginering dan Matematik (STEM) Information Management Bertemakan Eksplorasi Pembelajaran Masa Hadapan.
Bagi memasyarakatkan aktiviti STEM, satu kolaborasi antara IPPT dan Sekolah Kebangsaan Kg To'Bedor Tasek Gelugor telah dilakukan pada 8 Mei 2024. Kami daripada kumpulan 1 yang diketuai oleh Ts. Dr. Syamimi Shamsuddin dengan tema Syoknya Terokai STEM telah berkongsi beberapa aktiviti STEM yang menarik dengan 30 orang pelajar di sekolah tersebut. Ahli kumpulan yang lain adalah Dr. Rabeta Mohd Salleh, Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi, Dr. Eva Nabiha Zamri, Dr. Ernest Manganting dan Puan Norjana Ismail, kesemuanya daripada Jabatan Kesihatan Komuniti, IPPT. Objektif kumpulan kami adalah memberi pengalaman menarik kepada pelajar melakukan eksperimen STEM melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Seawal 7.40 pagi kami telah bertolak ke sekolah secara berkongsi kereta bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 4 dan 11. Selepas majlis perasmian, aktiviti pertama daripada kumpulan kami yang bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 10.00 pagi adalah Tangan Robotik oleh Dr. Hazwani sebagai fasilitator. Pelajar telah belajar bagaimana tulang dan sendi, ligamen, otot, saraf dan arteri darah dalam tangan manusia berfungsi. Aktiviti membuat Tangan Robotik hanya perlu menggunakan beberapa bahan iaitu pita, gunting, kertas kad, pen, tali dan penyedut minuman. Cara membuat Tangan Robotik adalah pelajar perlu melukis tapak tangan di atas kertas kad dan gunting bentuk tangan tersebut. Kemudian pelajar perlu menampal penyedut minuman dan memasukkan benang ke dalamnya. Kumpulan yang paling cepat menyiapkan tugasan tangan robotik yang berfungsi dengan baik menjadi pemenang.
Aktiviti kedua adalah Kapal Terbang Kertas di mana Dr. Syamimi bertindak sebagai fasilitator. Fasilitator telah menyediakan video dari Youtube untuk pelajar melihat dan memahami cara-cara membuat Kapal Terbang Kertas. Tujuan aktiviti ini adalah untuk menguji jarak terbang Kapal Terbang Kertas dan memperkenalkan pelajar dengan daya seretan yang dihasilkan melalui tekanan udara. Pelajar akan cuba menerbangkan Kapal Terbang Kertas ke dalam lubang dengan markah yang paling tinggi. Dalam aktiviti selama sejam ini, kumpulan dengan markah tertinggi dikira sebagai pemenang. Sebelum pertandingan, pelajar diberi peluang beberapa kali mencuba untuk menerbangkan Kapal Terbang Kertas tersebut ke dalam lubang dengan markah tertinggi dengan jayanya.
Aktiviti ketiga di mana Dr. Eva sebagai fasilitator menerangkan dan membuat demo mengenai elektrostatik. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, elektrostatik adalah cabang bidang fizik yang mengkaji pengaliran arus elektrik statik. Dr. Eva telah berkongsi pelbagai video dan nota melalui projektor termasuk bagaimana cas positif tertarik kepada cas negatif. Beliau juga berkongsi pengetahuan am bagaimana cara untuk menyelamatkan diri daripada panahan kilat. Eksperimen paling menarik yang dikongsikan oleh Dr. Eva adalah penjelasan bagaimana elektron boleh dipindahkan daripada kain penggosok kepada rod lalu menyebabkan rod memiliki cas negatif dan boleh menarik tisu di atas meja. Akhir sekali Dr. Eva telah memberikan beberapa soalan kuiz untuk menguji daya ingatan pelajar dan menyampaikan hadiah saguhati kepada pemenang.
Dan ekperimen atau aktiviti terakhir daripada Dr. Rabeta selaku fasilitator adalah bagaimana menghasilkan lava gunung berapi hanya daripada dua bahan yang boleh didapati di bahagian dapur setiap rumah iaitu cuka dan serbuk penaik atau baking soda. Sebelum itu, Dr. Rabeta telah berkongsi sedikit mengenai isu semasa kejadian letusan Gunung Berapi Ruang Indonesia di luar pulau Sulawesi pada 29 April 2024. Pelajar juga diterangkan bagaimana tindakbalas kimia yang berlaku di antara asid dan bes dalam gunung berapi sehingga menyebabkan letusan lava yang panas melimpahi kawasan sekitar gunung berapi tersebut. Namun kebaikan di sebalik bencana alam ini, tanah kawasan di sekitarnya menjadi subur untuk tanaman. Akhir sekali Dr. Rabeta juga telah memberikan beberapa soalan kuiz untuk menguji daya ingatan pelajar dan menyampaikan hadiah saguhati kepada pemenang.
Kumpulan 1 IPPT juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr. Ernest dan Dr. Syamimi kerana telah sudi menaja 30 beg cenderahati kepada pelajar di bawah kumpulan kami. Juga ucapan terima kasih kepada Puan Norjana yang telah banyak membantu melancarkan segala aktiviti dan eksperimen dalam kumpulan 1. Diharap kerjasama di antara IPPT dan Sekolah Kebangsaan Kg To'Bedor, Tasek Gelugor, Pulau Pinang tidak terhenti di sini. Sudah tentu hasil jangkaan utama adalah terutamanya pelajar di bawah seliaan kami agar lebih berminat belajar STEM selepas ini. Terima kasih kami ucapkan kepada penaja sarapan dan makan tengahari kami. Terima kasih kepada pihak perpustakaan IPPT terutamanya Puan Hasniza Amno yang telah memberi kami peluang kolaborasi ini. Semoga berjumpa lagi di lain hari.
Rujukan:
1.http://feldabersia.pjk.com.my/index.php/jadual-latihan-aktiviti/laporan-aktiviti/956-aktiviti-stem-membuat-tangan-robotik
2.https://www.scribd.com/presentation/587360045/Report-Kapal-Terbang-Kertas
3.Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=elektrostatik
4.https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2024/04/1240877/gunung-berapi-ruang-di-indonesia-meletus-lagi-status-berjaga-jaga-paling
5. https://rubicubedu.blogspot.com/2011/04/erupting-volcano.html