PPUSMB, BERTAM, May 16 2023 - PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI SAINS MALAYSIA, BERTAM, PULAU PINANG: 12 Mei 2023 – Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB) hari ini melakar sejarah apabila berjaya melakukan pembedahan vaskular yang pertama di sini.
Pasukan pembedahan yang diketuai oleh Dr. Rosnelifaizur Ramely - Pakar Bedah Vaskular kunjungan dari HUSM dibantu oleh Dr. Fitreena Anis Amran - Pakar Bedah Am PPUSMB, Dr. Firdaus Luthfi - Pakar Bedah Hospital Seberang Jaya (pakar yang merujuk pesakit) dan Dr. Zainab Abdul Ghaffar - Pakar Bius PPUSMB melakukan pembedahan ke atas pesakit yang mengalami masalah 'Left brachiocephalic fistula aneurysm'.
Sejak penjenamaan semula PPUSMB pada bulan September 2022, pusat perubatan ini telah menjalankan pembedahan fistula untuk pesakit kegagalan buah pinggang di bawah pakej eksekutifnya.
Pembedahan fistula ini adalah satu prosedur dimana salur darah vena pesakit disambung ke salur darah arteri pesakit untuk tujuan dialisis.
Sejak itu, PPUSMB telah melebar luaskan perkhidmatannya dengan menyediakan perkhidmatan pakar bedah vaskular secara kunjungan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) iaitu Dr. Rosnelifaizur Ramely pada setiap bulan.
Kes-kes pembedahan vaskular dan fistula yang rumit diteliti oleh beliau dan pembedahan dilakukan samada di PPUSMB ataupun di HUSM mengikut kesesuaian kes.
Bagi kes pembedahan vaskular yang pertama kali dilakukan di PPUSMB, pembedahan yang dilakukan ke atas pesakit ini adalah 'Left BCF Aneurysectomy and End to End anastomosis'.
Tujuan pembedahan ini adalah untuk mengecilkan kembali saiz anuerysm salur vena pesakit yang telah kembang sebesar 12cm dan mengelakkan aneurysm pesakit pecah.
Kes membaik pulih saluran darah ini merupakan kes pertama yang dilakukan di PPUSMB dan pesakit juga merupakan pesakit pertama yang menjalani rawatan hemodialysis di PPUSMB di bawah seliaan Dr Siti Khairizan.
Pembedahan telah berjaya dilakukan dalam jangkamasa 4 jam. Seusai sudah pembedahan, pesakit di pantau di Unit Rawatan Rapi PPUSMB bagi memberikan rawatan terbaik buat pesakit dan memantau sebarang komplikasi dari pembedahan.
Pesakit dibenarkan balik pada hari ke-empat selepas pembedahan.
Teks oleh: Dr. Fitreena Anis Amran
Disunting oleh: Naziroh Shafii
Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam
16 Mei 2023
SDG 3 - Ensure healthy lives and promote well-being for all at all ages