Collaboration

KUNJUNGAN DELEGASI XINXIANG MEDICAL UNIVERSITY (XXMU) PERKUKUH HUBUNGAN KERJASAMA SELAMA LEBIH 10 TAHUN BERSAMA USM

Published : 14 April 2025

KUNJUNGAN DELEGASI XXMU KE USM 2025
BILIK PERSIDANGAN CANSELORI, USM PULAU PINANG, April 10 2025 -
USM PULAU PINANG, 10 April 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima kunjungan rasmi delegasi dari Xinxiang Medical University (XXMU), China dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik yang telah terjalin selama lebih satu dekad melalui Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM.
Delegasi XXMU diketuai oleh Presiden, Profesor Dr. Ren Wenjie, bersama lima pegawai kanan universiti termasuk Profesor Dr. Yao Zhaoyang (Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan Sains dan Teknologi), Profesor Dr. Gao Jianhui (Dekan Hospital Afiliasi Ketiga), Profesor Dr. Chang Tingmin (Timbalan Dekan Hospital Afiliasi Pertama), dan Profesor Dr. Zhou Pingxin (Timbalan Pengarah, Pejabat Pembinaan Disiplin).
Kehadiran delegasi disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat yang mewakili Naib Canselor, Professor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed. Turut hadir adalah Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Jaringan) merangkap Koordinator Kolaborasi USM-XXMU mewakili Pengarah IPPT; serta beberapa tokoh akademik dan pentadbiran utama dari IPPT, Pusat Pengajian Sains Farmasi, INFORMM, dan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan.
Majlis dimulakan dengan sesi ramah mesra dan dialog bersama delegasi yang diadakan di Bilik Persidangan Canselori, disusuli ucapan aluan oleh Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya yang menyorot sejarah kerjasama dua hala yang bermula sejak 2013.
Menurut beliau, kerjasama ini memfokuskan kepada penyelidikan dalam bidang bioperubatan dan klinikal, khususnya bagi pengajian peringkat kedoktoran (PhD). Program bersama ini menyaksikan calon-calon PhD dari XXMU – yang dipilih melalui proses saringan ketat – menjalani penyelidikan di kedua-dua institusi dengan penyeliaan bersama.
Sehingga kini, lebih 40 calon PhD telah dilatih dengan sumbangan sebanyak 42 penerbitan berimpak tinggi, serta jaringan kolaborasi yang melibatkan 27 pensyarah USM dan 20 penyelia dari XXMU.
Presiden XXMU, Profesor Dr. Ren Wenjie dalam ucapannya menyatakan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan USM serta rasa bangga terhadap pencapaian hasil kerjasama. Beliau turut menyuarakan harapan agar hubungan strategik ini dapat diperluaskan ke bidang lain yang bersesuaian.
Ucapan utama disampaikan oleh Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, yang menekankan bahawa hubungan kukuh antara IPPT USM dan XXMU selama lebih sedekad adalah pencapaian cemerlang yang memberi manfaat kepada pelajar, penyelidik dan institusi secara menyeluruh. Beliau turut menyeru agar pertukaran ilmuwan dan penyelidik diperkasa melalui program mobiliti yang berterusan serta diperluaskan ke pusat pengajian lain di USM.
Seruan ini disambut positif oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Profesor Madya Dr. Nurzalina Abdul Karim Khan yang memaklumkan bahawa terdapat dua pensyarah telah menyatakan minat untuk memulakan kolaborasi penyelidikan bersama XXMU. Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) INFORMM, Profesor Madya Dr. Venugopal turut menyambut baik usaha kolaborasi dalam bidang penyakit berjangkit, kanser dan pertukaran pelajar. Sementara itu, Profesor Dr. Vikneswaran A/L Murugaiyah dari Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan menyuarakan minat untuk menjalin kerjasama dalam penyelidikan berkaitan pemulihan memori.
Dalam sesi tersebut, Profesor Dr. Gao Jianhui memaklumkan bahawa XXMU bakal dijenamakan semula sebagai Henan Medical University dalam masa terdekat, membuka lebih banyak ruang kerjasama dengan penglibatan pakar-pakar dalam pelbagai bidang.
Sementara itu, Profesor Dr. Yao Zhaoyang menyatakan hasrat untuk memperkukuh kolaborasi dalam bidang perubatan serta melahirkan bakat baharu yang bakal menyumbang kepakaran di Henan Medical University. Beliau turut membuka peluang untuk kerjasama dalam bidang pendidikan, farmasi, perubatan tradisional China (TCM), neurosains dan sains bioperubatan.
Kunjungan ini dijangka membuka lembaran baharu dalam bidang penyelidikan, akademik dan inovasi antara USM dan XXMU. Ia sekali gus mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh jaringan antarabangsa serta meneguhkan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi terkemuka di rantau ini.
Inisiatif kolaboratif ini juga berpotensi besar menyumbang kepada kemajuan sains kesihatan dan perubatan di peringkat global, memberikan impak yang bermakna kepada masyarakat sejagat.
Teks disediakan oleh: Nur Aqilah Tajul Ashikin
Teks disunting oleh: Naziroh Shafii dan Prof. Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya
Foto: Norizan Ishak
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
10 April 2025
Scroll to Top