Collaboration

IPPT DAN PPUSMB BERGANDING BAHU JAYAKAN PROGRAM USM STEM WEEK 2024 UNTUK GENERASI MUDA

Published : 10 November 2024

USM STEM WEEK 2024
USM PULAU PINANG, November 10 2024 -
Program USM STEM Week 2024 bertempat di Dewan Utama Pelajar (DUP) USM pada 09 dan 10 November 2024 anjuran Universiti Sains Malaysia telah berlangsung dengan jayanya.
USM STEM Week 2024 ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan minat dan kesedaran terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar serta masyarakat umum. Melalui program ini, pelajar didorong untuk meneroka bidang STEM sejak usia muda, membina kompetensi yang kukuh, dan mempersiapkan diri sebagai generasi yang mampu bersaing dalam era teknologi dan revolusi industri.

Photo By IPPT
USM STEM WEEK 2024
Bukan itu sahaja, program ini berperanan dalam meningkatkan kualiti pendidikan STEM dengan pendekatan yang inovatif dan praktikal sekaligus menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Seperti kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya,” program ini bertujuan untuk menanam minat dan kemahiran dalam kalangan generasi muda agar mereka menjadi tonggak kemajuan sains dan teknologi negara pada masa hadapan.
Majlis Penutup USM STEM Week di USM telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek. Program ini melibatkan penyertaan seramai 350 pensyarah dan pelajar dari 15 pusat pengajian di USM dengan sasaran seramai 300 pelajar dari negeri-negeri wilayah utara seperti Pulau Pinang, Perak, dan Kedah.
Photo By IPPT
USM STEM WEEK 2024
Aktiviti yang telah dianjurkan termasuklah “Exploring the Power of Radiation,” “Human Body - Inside Out,” “Discover Dental Science,” “Toxicity Trails: Mapping Contaminant Sources in Our Community,” “The Genetic Odyssey: Exploring Our Biological Heritage,” dan “Let’s Do Nutrition.” Selain itu, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM turut menganjurkan pameran bas bergerak KRIS yang menawarkan pemeriksaan kesihatan, pendidikan kesihatan, dan panduan pemeriksaan sendiri payudara.
Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Timbalan Naib Canselor, barisan Pengurusan Tertinggi Universiti, Dekan, dan Pengarah PTJ yang terlibat dalam penganjuran program ini.

Photo By IPPT
USM STEM WEEK 2024
Seramai 60 pensyarah dan staf IPPT USM serta pelajar pascasiswazah dari enam jabatan iaitu Jabatan Pengimejan Bioperubatan, Jabatan Sains Bioperubatan, Jabatan Sains Pergigian, Jabatan Perubatan Klinikal, Jabatan Toksikologi, dan Jabatan Kesihatan Komuniti telah menggembleng tenaga dan kepakaran memberikan komitmen penuh dalam menjayakan pelbagai program STEM dan inisiatif berbentuk hands-on. Jururawat PPUSMB juga bertugas memberikan khidmat nasihat dan sokongan dalam program tersebut.

Photo By IPPT
USM STEM WEEK 2024
Teks disediakan oleh: Profesor Madya Dr. Rafidah Zainon
Teks disunting oleh: Nur Aqilah Tajul Ashikin & Naziroh Shafii
Pusat Media & Perhubungan Awam
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju
Universiti Sains Malaysia
13 November 2024
Scroll to Top